Download - Buku Program IKIM
p r o g r a m
2 0 1 6
PROGRAM 2016
PUSAT KAJIAN SYARIAH, UNDANG-UNDANG DAN POLITIK
(SYARAK)
1. PERSIDANGAN MEJA BULAT : PRINSIP DAN KAEDAH PERBEZAAN PANDANGAN DALAM KERANGKA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
28 JANUARI 2016
Penyelaras : En. Mohamad A’sim Ismail
Perbezaan pandangan wujud dalam sejarah Islam khasnya setelah kewafatan nabi
Muhammad SAW sehingga sekarang. Perbezaan ini tidak dapat dipisahkan dalam
masyarakat Islam. Ia perlu diperakukan sebagai sumber penting kepada perkembangan
fiqh dan ilmu Islam seiring dengan perkembangan dunia semasa yang turut berubah-rubah
mengikut perubahan masa dan kemajuan zaman moden.
Perbezaan pandangan di kalangan ulama bukan sahaja diperakukan bahkan dihormati
serta perlu dilihat sebagai satu rahmat dan bukan sebaliknya. Dalam konteks perbezaan
pandangan dalam isu-isu di Malaysia, ia memerlukan pemerkasaan dari masa ke semasa
melalui kefahaman konsep mazhab, kepelbagaian mazhab, adab-adab beriktilaf dan
pedoman dalam amalan talfiq dan ijtihad dalam kerangka tradisi ilmu Islam berteraskan al-
Quran dan al-Sunnah.
Dengan mengenal pasti aspek-aspek ini, maka tindakan susulan ke arah mewujudkan
perbezaan dalam tradisi ilmu Islam yang memberi rahmat dan manfaat kepada umat dapat
dihayati. Justeru, muzakarah pakar ini akan membincangkan aspek-aspek penting
berkenaan prinsip dan kaedah perbezaan dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Objektif:
i. Menyorot kepentingan aliran mazhab dan ilmu Islam;
ii. Melihat kepentingan adab-adab perbezaan pandangan; dan
iii. Muhasabah amalan talfiq, taqlid dan ijtihad dalam kehidupan semasa
Implikasi Kewangan : RM5,000
2. MUZAKARAH PAKAR: PENDEKATAN FIQH TA’AMUL (FIQH INTERAKSI) DALAM HUBUNGAN ANTARA PENGANUT AGAMA DI MALAYSIA 25 FEBRUARI 2016 Penyelaras: . Pn. Enizahura Abdul Aziz & Pn. Mastura Mohd Zain
Hubungan antara masyarakat majmuk di Malaysia perlu diurus dengan baik bertujuan untuk
mencapai kerhamonian dan perpaduan yang tulen dan berkekalan. Seharusnya umat Islam
di Malaysia menerajui usaha membina hubungan baik ini agar seiring dengan prinsip asas
Islam dalam memelihara keadilan untuk semua umat manusia. Terdapat riwayat-riwayat
hadith yang menunjukkan bahawa Nabi (s.a.w.) berinteraksi dengan manusia berdasarkan
tahap pemikiran dan suasana serta juga riwayat yang mencatatkan tentang kewujudan
golongan bukan muslim yang hidup dengan harmoni di bawah pentadbiran pimpimpinan
Rasulullah di Madinah. Riwayat-riwayat yang pelbagai ini memberikan suatu bentuk konsep
bagaimana untuk berinteraksi dengan masyarakat bukan muslim. Muzakarah Pakar ini
bertujuan untuk menghuraikan bagaimana menguruskan masyarakat majmuk yang
menganut pelbagai agama mengikut pendekatan yang dinamakan sebagai fiqh ta’amul
(fiqh berkaitan pergaulan dan interaksi) dengan harapan dapat membantu menyediakan
garis panduan bagi pihak kerajaan dan masyarakat umumnya ke arah menjadikan Islam
sebagai agenda membangunkan masyarakat majmuk yang harmoni. Perkongsian idea dan
pengalaman oleh panel jemputan adalah penting kerana ianya akan menyumbang kepada
kefahaman yang lebih baik tentang kaedah berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam.
Objektif:
i. Menjelaskan tentang peranan Islam ke arah membina hubungan baik dalam kehidupan
bersama;
ii. Membincangkan aspek sejarah dan prinsip kepimpinan Islam dalam pembentukan
keharmonian antara penganut pelbagai agama; dan
iii. Menyediakan input mengenai pembinaan garis panduan Fiqh Ta’amul dengan
masyarakat bukan Islam di Malaysia.
Implikasi Kewangan : RM5,000
3. SEMINAR ANTARABANGSA “GAGASAN PEMIKIRAN PERADABAN AL-QUR’AN 2: HAK ASASI MANUSIA” 20-21 APRIL 2016
Penyelaras: En. Md. Asham Ahmad, Cik Wan Roslili Abd. Majid, Pn. Siti Shamsiah Md. Supi
Al-Qur’an merupakan dokumen asas yang menjadi rujukan umat Islam dalam pelbagai aspek, termasuklah pembentukan konsep dan prinsip-prinsip hak asasi manusia dalam Islam. Dengan kata-kata lain, al-Qur’an menerangkan konsep Tuhan dan Pemilik insan, insan dan kemuliaannya, mithaq, hamba (‘abd) dan perhambaan (‘ibadah), tanggungjawab dan taklif, khalifah, kebebasan, dan nasib atau kesudahan.
Petunjuk daripada al-Qur’an inilah yang membentuk tafsiran tentang hak dalam Islam. Tafsiran yang diberikan Islam ini berbeza sama sekali dengan tafsiran yang diberikan oleh barat yang ternyata lebih menekankan aspek kehaiwanan insan. Justeru, menurut barat, diri itulah yang dikatakan memiliki hak. Mengambil kira hakikat bahawa Kaum Muslimin kini sedang menghadapi cabaran pemikiran yang begitu getir dek wabak pensekularan daripada barat, maka amatlah penting seminar seumpama ini dianjurkan.
Objektif:
Seminar yang merupakan cerminan hasrat murni IKIM untuk mengangkat wacana al-Qur’an berhubung dengan konsep dan faham hak asasi manusia ke tahap yang tinggi dan luhur ini bertujuan mencapai matlamat yang berikut:
i. Memperlihat sifat alamiah (universality) gagasan pemikiran al-Qur’an tentang hak asasi manusia;
ii. Mengenal pasti konsep-konsep rujukan daripada al-Qur’an yang mentakrifkan manusia
dan hak asasi;
iii. Menggariskan prinsip-prinsip dan amalan-amalan yang mencorakkan takrifan berkenaan;
iv. Menunjukkan contoh-contoh bagaimana prinsip-prinsip al-Qur’an membantu dalam
memahami dan menyelesaikan permasalahan semasa, khusus berkaitan dengan isu hak asasi manusia; dan
v. Mengumpulkan pakar-pakar dari seluruh rantau Asia Tenggara untuk membahaskan
konflik yang timbul berkaitan dengan hak asasi manusia dan penyelesaiannya yang melibatkan umat Islam khususnya dan manusia sejagat umumnya.
Implikasi Kewangan : RM150,000
4. MUZAKARAH PAKAR “PEMBENTANGAN HASIL KAJIAN PENGHARMONIAN UNDANG-UNDANG : KAJIAN UNDANG-UNDANG BERTULIS” 24-25 MEI 2016
Penyelaras : Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz
Projek Penyelidikan Pengharmonian Undang-Undang yang telah dimulakan pada Mei
2015 dijangka akan disiapkan pada bulan Februari 2016. Sementara itu laporan akhir
kajian dijangka akan diserahkan pada akhir Mac 2016. Ekoran itu, bagi memantapkan lagi
penulisan laporan akhir Kajian, adalah dicadangkan supaya dianjurkan satu Muzakarah
Pakar yang disertai oleh para pemegang taruh atau mereka yang berkepentingan.
Objektif:
i. Menyediakan platform kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil kajian;
ii. Mendapatkan maklum balas daripada para pemegang taruh atau mereka yang
berkepentingan dalam aspek-aspek kajian;
iii. Membantu para penyelidik menyediakan laporan akhir yang lebih mantap melalui
maklum balas daripada para pemegang taruh atau pihak-pihak berkepentingan; dan
iv. Merumuskan isu-isu berkaitan kajian bagi tujuan laporan akhir kajian
Implikasi Kewangan : RM10,000
5. SEMINAR ANTARABANGSA “MAQASID AL-SYARIAH DALAM PENGHARMONIAN UNDANG-UNDANG SYARIAH DAN SIVIL” 23-24 OGOS 2016
Penyelaras : Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Cik Wan Roslili Abd. Majid, Pn. Mastura Mohd Zin
Pengharmonian undang-undang; syariah dan sivil negara ini amat diperlukan dengan
mengambil kira keperluan perundangan yang sesuai untuk semua. Dua perundangan yang
berbeza ini perlu diharmonikan serta digabungkan secara berperingkat-peringkat menurut
keperluan dan situasi semasa. Langkah ini akan dapat membentuk perundangan Malaysia
yang sebenar menurut acuan kita yang berdasarkan undang-undang Islam dan Melayu
tanpa menghilangkan input daripada kebudayaan kaum lain.
Pengharmonian undang-undang dilihat dapat merelisasikan objektif universal untuk semua
agama dan sistem yang dilaksanakan dalam sesebuah masyarakat. Ia bertujuan
melaksanakan keadilan dan memelihara kepentingan serta kesejahteraan hidup
masyarakat. Lebih penting daripada itu, ia menyokong usaha penyatuan masyarakat
pelbagai bangsa yang diimpikan sejak sekian lama. Bagi melaksanakan usaha
pengahrmonian undang-undang negara ini, pendekatan maqasid al-syari'ah dianggap
amat sesuai untuk dijadikan kerangka atau asasnya. Hal ini disebabkan matlamat maqasid
al-syari'ah sendiri bertujuan memberikan pengajaran kepada individu, menegakkan
undang-undang serta melindungi serta memperteguh kepentingan umum umat manusia
(masalih).
Objektif:
i. Menyediakan platform wacana mengenai dua bidang pengkhususan SYARAK, iaitu
Maqasid al-Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang;
ii. Mewacanakan konsep Maqasid Al-Syariah dalam perundangan negara; dan
iii. Membincangkan aspek-aspek penting dalam disiplin undang-undang yang
memerlukan pergharmonian bagi manfaat negara
Implikasi Kewangan : RM150,000
PROGRAM 2016
PUSAT KAJIAN EKONOMI DAN KEMASYARAKATAN
(EMAS)
1. SEMINAR “FARAID DAN PERANCANGAN PEWARISAN DI MALAYSIA: ISU, BIDANG KUASA DAN AMALAN SEMASA” 29-30 MAC 2016
Penyelaras : En. Muhammad Hisyam Mohamad
Hukum Faraid merupakan satu hukum yang amat jelas perinciannya di dalam al-Quran. Pematuhan kepada hukum ini sepertimana yang digariskan oleh al-Quran menjamin keharmonian dan kesejahteraan di kalangan pewaris. Namun hakikat yang dapat dilihat pada hari ini adalah bertentangan dengan matlamat yang ingin dihasilkan oleh hukum faraid ini. Selain mencetus perbalahan di kalangan waris dan pengabaian serta penafian dari segi hak , kegagalan mereka untuk mengurus dan merancang pembahagian pusaka sepertimana yang dianjurkan oleh Shariah menyebabkan banyak harta umat Islam menjadi beku. Selain itu juga terdapat kekangan perundangan terutamanya dari segi bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Shariah yang menyebabkan proses pembahagian pusaka menjadi tidak cekap dan lancar sepertimana yang diharapkan.
Oleh yang demikian adalah penting bagi masyarakat Islam untuk mengetahui cara pengurusan harta pusaka dan merancang pewarisan yang baik dan berkesan. Justeru selain mengetahui aspek pembahagian dari segi hukum, kita juga perlu tahu tentang pengurusan pusaka dari sudut teknikal dan juga prosedur semasa yang digunapakai di negara ini. Ini kerana perancangan pewarisan yang baik bukan terhenti setakat peringkat pembahagian harta semata-mata. Malah ia turut merangkumi aspek pengekalan dan pengembangan harta pusaka supaya kebaikan harta tadi bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pewaris tetapi juga kepada si pemilik harta yang telah meninggal dunia.
Objektif:
i. Memberi pendedahan kepada peserta tentang falsafah dan matlamat sebenar hukum Faraid dalam Islam;
ii. Menghurai tentang kepentingan perancangan pewarisan dan instrumen-instrumen yang boleh digunapakai bagi tujuan tersebut;
iii. Melihat pengurusan harta pusaka dari sudut teknikal dan prosedur yang digunapakai terutama yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah dan Pejabat Tanah; dan
iv. Membincang dan mencari jalan penyelesaian kepada beberapa isu yang sering dikaitkan dengan pengurusan dan pembahagian harta pusaka.
Implikasi Kewangan : RM40,000
2. PERSIDANGAN MEJA BULAT“PENGARUH MEDIA SOSIAL TERHADAP GAYA HIDUP MASYARAKAT” 14 APRIL 2016
Penyelaras : Pn. Nor Hartini Binti Saari & En. Nor Azaruddin Husni Haji Nuruddin
Media sosial merupakan medium utama untuk berkomunikasi yang cukup penting akhir-akhir ini. Semuanya hanya dihujung jari. Sesiapa sahaja boleh berinteraksi dengan memberi pandangan, berkongsi pendapat dan maklumbalas secara terbuka di ruang tanpa sempadan, tanpa dibatasi ruang dan masa. Melalui media sosial segala maklumat dapat diperoleh dengan mudah dan cepat serta dapat memberi kebaikan andai betul cara penggunaannya. Sebaliknya mendatangkan kemudaratan jika disalahgunakan. Apatah lagi keghairahan berkongsi maklumat yang belum tentu benar melalui Facebook, Whatsapp, Instagram, Youtube, twitter dan sebagainya. Ada yang lupa batas-batas agama dosa dan pahala. Segelintirnya pula, ada yang sanggup mencarut, mengutuk, mengumpat, dan berkongsi gambar palsu dengan mudahnya disebarkan melalui media sosial hanya semata-mata untuk tujuan tertentu. Bayangkanlah, apakah yang akan berlaku kepada agama Islam dan negara tercinta jika amalan fitnah dan pembohongan menjadi-jadi di media sosial ini?
Justeru, sebagai umat Islam sewajarnya bertanggungjawab di atas setiap berita yang disampaikan demi memelihara kesahihan fakta, agar tidak mendatangkan pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah dan sebagainya. Oleh itu, beberapa aspek berkomunikasi dengan beradab di media sosial sewajarnya diberi perhatian oleh semua pihak agar dapat menjaga akhlak dan adab-adab ketika berkomunikasi.
Objektif:
i. Mendidik dan menerapkan amalan murni dalam berkomunikasi di media sosial;
ii. Mengupas persoalan dan cabaran semasa berkaitan kesan dan pengaruh media sosial dalam masyarakat;
iii. Menyediakan satu platform untuk mengatasi penyebaran maklumat palsu di media
sosial yang boleh menggugat kestabilan ekonomi dan keselamatan negara;
iv. Merangka pelan tindakan ke arah mempertingkatkan penggunaan media sosial dengan lebih beretika; dan
v. Memberi kesedaran kepada pengguna media sosial menghadapi dunia tanpa
sempadan. Implikasi Kewangan : RM5,000
3. “ISLAMIC PSYCHO SPIRITUAL APPROACHES IN PSYCHOTHERAPY” EXPERT CONSULTATION WORKSHOP FOR 2016 11 OGOS 2016 Penyelaras : En. Khairul Azhar Idris
Approaching various human psychological problem dimensions empirically from the
spiritual perspective has been recognized and offered as a very recent treatment and
prevention modalities. Interestingly, the approaches from this so called spiritual perspective
come from different views and understanding about the basic human natures and the
meaning of their own purposes of life and creation, and hence, results in what should be
the elements of standard psychospiritual therapy. Likewise, this workshop aims to
introduce the elements of applicable evidence based Islamic psychospiritual therapeutic
conceptualization and its spiritual approaches or techniques when dealing with some
clinical problems such as drug abuse, anxiety and mood disorders and marital problems.
Workshop key topics to discuss are:
i. Islamic concepts of human natures from Islamic traditions and knowledge;
ii. Understand the Islamic spiritual elements responsible for maintenance of stable mental
health;
iii. Developing skills and techniques based on Islamic psychospiritual approach in therapy
session;
iv. Developing structural floor plan skills of some mental health problems based on
psychospiritual approach; and
v. Evaluating and reviewing different aspects of psychotherapy approaches that can be
infused with Islamic values and teachings
Implikasi Kewangan : RM5,000
4. SEMINAR PASARAN MODAL ISLAM MALAYSIA (Usaha sama IKIM dan Bursa Malaysia)
27-28 SEPTEMBER 2016
Penyelaras: En. Mohamad Azhar Hashim
Pasaran modal Islam Malaysia merupakan yang terbesar di dunia dengan purata
pertumbuhan tahunan sebanyak 12% sepanjang lima tahun yang lalu. Pada tahun 2014 saiz
Pasaran Modal Islam Malaysia berkembang kepada RM1.59 trilion, iaitu mencakupi sebanyak
58% daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia yang berjumlah RM2.67 trilion atau 2.6
kali ganda saiz ekonomi benar Malaysia. Pada penghujung tahun 2014, sebanyak 74%
syarikat tersenarai Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah dengan permodalan
pasaran melebihi RM1 trilion. Malaysia juga mengekalkan kedudukan sebagai pasaran sukuk
terbesar di dunia, iaitu 66% daripada penerbitan sukuk global.
Namun begitu, satu persoalan yang timbul ialah siapakah yang memperoleh manfaat
daripada saiz Pasaran Modal Islam yang begitu besar ini? Adakah umat pelabur Muslim atau
syarikat-syarikat yang dimiliki umat Islam telah dapat manfaat daripada kejayaan Pasaran
Modal Islam Malaysia? Persoalan ini mungkin timbul kerana rata-rata umat Islam lebih
cenderung kepada sistem perbankan Islam, dan tidak mendapat maklumat yang sewajarnya
tentang pasaran modal Islam.
Objektif:
i. Untuk membuka minda masyarakat Islam tentang kepentingan Pasaran Modal Islam
sebagai satu saluran kewangan pilihan di samping saluran perbankan Islam;
ii. Untuk memberi ilmu pengetahuan tentang produk-produk patuh Syariah yang telah
diwujudkan dan boleh dimanfaatkan dalam Pasaran Modal Islam dan;
iii. Untuk mewujudkan ruangan perbincangan dan rangkaian kerjasama antara para
profesional Pasaran Modal Islam dengan para pelabur dan usahawan Muslim.
Implikasi Kewangan : RM40,000
5. MUZAKARAH PAKAR MENGENAI KEPIMPINAN DAN TADBIR-URUS ISLAM: PENGALAMAN MODEL GEMILANG 10 NOVEMBER 2016 Penyelaras: Dr. Mohd Sani Badron
Pemikiran universal yang terkandung dalam karya silam mengenai kepimpinan dan pengurusan masih banyak dimanfaatkan oleh masyarakat semasa. Umpamanya, The Art of
War oleh Sun Tzu(孫子兵法), yang ditulis 2,000 tahun yang silam, masih giat dipelajari
dalam sukatan mata-pelajaran tentera di negara-negara Asia Timur, seperti Jepun, China, dan Vietnam; di Barat, seperti di Amerika; dan di KGB, Rusia. Begitu juga karya politik The Prince oleh Niccolò Macchiavelli yang ditulis lebih 500 tahun yang silam, dan buku taktikal
The Book of Five Rings (五輪の書) oleh Miyamoto Musashi (宮本 武蔵) yang dikarang
hampir 400 tahun yang sudah, kedua-duanya masih ditekuni hinggalah ke hari ini. Justeru muzakarah pakar ini akan menggali karya-karya model kegemilangan Islam mengenai kepimpinan, pentadbiran, dan pengurusan; contohnya: i. Qābusnāmah oleh Kai Kāʾūs ibn Iskandar (Raja dinasti Ziyāriyyah);
ii. Qutadhgu Bilig oleh Yūsuf Khāṣṣ Ḥājib (Pujangga Istana empayar Uthmaniah dan
Datuk Pengelola Bijaya Rahsia Di-Raja);
iii. Siyar al-Mulūk atau Siyāsat-nāmah oleh Niẓām al-Mulk (Perdana Menteri merangkap
panglima besar angkatan tentera kerajaan Saljuq);
iv. Naṣīḥat al-Mulūk oleh al-Ghazālī (Hujjatul Islam);
v. Baḥr al-Favāʾid oleh penulis yang namanya tidak diketahui pada abad ke-12 Masihi;
vi. Al-Fakhrī fī al-Ādāb al-Sulṭ āniyyah wa al-Duwal al-Islāmiyyah oleh Ibn al-Ṭiqṭ aqā
(sejarahwan Iraq dan Marshall atau Perwira Besar masharakat berketurunan Saidina Ali);
vii. Naṣīḥatü s-Selāṭ īn oleh Muṣṭ afā ʾAlī (Ketua Pegawai Kewangan empayar
Uthmaniah);
viii. Mawʾiẓah-yi Jahāngīrī oleh Muḥammad Bāqir Najm-i Thānī (panglima tentera dan
gabenor wilayah empayar Mughal); ix. Thamarat al-Mahammah atau al-Muhimmah oleh Raja Ali Haji (ilmuwan, sejarahwan,
serta pujangga Melayu); dan, x. Tajus-Salatin oleh Bukhari al-Jauhari (tokoh Pujangga di Istana Sultan Alauddin
Riayat Syah).
Karya-karya tersebut akan dikaji berdasarkan kerangka pemikiran buku Kepimpinan dan Amanat Peradaban terbitan IKIM. Antara yang akan dikenal-pasti adalah prinsip dan amalan dalam urus-tadbir model gemilang Islam; dan, isu-isu cabaran kepimpinan dan pemupukan kawalan diri (self-control atau self-mastery) seseorang pentadbir dan pengurus. Implikasi Kewangan : RM10,000
PROGRAM 2016
PUSAT KAJIAN SAINS DAN ALAM SEKITAR
(KIAS)
1. PERSIDANGAN MEJA BULAT “PENGGUNAAN MEDIA BARU DARI PERSPEKTIF ISLAM”
14 APRIL 2016
Penyelaras : En. Nor Azaruddin Husni Haji Nuruddin & Pn. Nor Hartini
Pelbagai isu yang timbul berkaitan dengan penggunaan media baru masa kini telah
memberi impak besar kepada masyarakat. PMB ini akan membincangkan dan
memperhalusi isu-isu yang berbangikit kesan daripada penggunaan media baru. Isu-isu
tersebut adalah seperti keyboard warriors, budaya penyebaran fitnah, pengeditan gambar-
gambar ke bentuk yang tak sepatutnya, menyebar (viral) kerahsiaan/maklumat sulit,
penghinaan terhadap agama Islam di media baru, penggunaan ayat-ayat suci Al Quran
samada visual atau audio, undang-undang siber, penguatkuasaan, dan lain-lain dalam
kerangka Islami.
Objektif:
i. Membincangkan isu-isu yang berbangkit kesan daripada penggunaan media baru
dalam masyarakat hari ini;
ii. Menganalisis peranan yang dimainkan oleh media baru dalam masyarakat kita yang
berbilang kaum pada hari ini; dan
iii. Mengutarakan cadangan garis panduan berdasarkan penggunaan media baru Islami
bagi menangani isu-isu yang berbangkit.
Output:
i. Merangka satu garis panduan penggunaan media baru menurut perspektif Islam; dan
ii. Penerbitan buku berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan.
Implikasi Kewangan : RM 5,000
2. MUZAKARAH PAKAR “PERSPEKTIF BIOETIKA ISLAMI DALAM ISU-ISU ARAHAN AWAL PERUBATAN (AMD)”
10-11 MEI 2016
Penyelaras : Dr. Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh
Pelbagai isu yang berkaitan mengenai arahan perubatan awal kini mendapat perhatian
pembuat dasar, pengamal perubatan dan ahli akademik. Seminar ini akan membincangkan
dan memperhalusi isu-isu seperti arahan DNR (Do Not Resuscitate), pemberhentian
rawatan (withdrawal of treatment), tidak memberi rawatan (withholding of treatment), kualiti
hidup pesakit dan lain-lain dari kerangka bioetika Islami.
Objektif:
i. Menganalisis peranan yang dimainkan oleh bioetika Islami dalam menangani isu-isu
berkaitan arahan perubatan awal;
ii. Membincangkan isu-isu arahan perubatan awal dari perspektif etika-perundangan-
perubatan Islam; dan
iii. Mengutarakan cadangan garis panduan berdasarkan bioetika Islami bagi menangani
isu-isu arahan perubatan awal.
Output seminar:
i. Input polisi kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan
Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia dan Majlis Bioetika Negara; dan
ii. Penerbitan buku berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan.
Implikasi Kewangan : RM 10,000
3. BENGKEL “PEMBANGUNAN MODUL PENDIDIKAN DAN KESEDARAN ALAM SEKITAR : PERINGKAT SEKOLAH (SIRI 1)” 2 JUN 2016
Penyelaras : Cik Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pendidikan alam sekitar merupakan aspek penting yang perlu diberi penekanan sejak
seawal bangku sekolah lagi. Justeru, bagi memastikan proses pendidikan alam sekitar lebih
terkesan kepada para pelajar, maka penelitian dan penambahbaikan ke atas modul-modul
sedia ada perlu dilakukan agar ia lebih menyeluruh dan mantap dalam usaha memberi
kesedaran secara berterusan terhadap aspek pelestarian alam sekitar.
Objektif:
i. Meneliti aspek-aspek penting yang perlu diterapkan dalam modul pendidikan dan
kesedaran alam sekitar yang bersesuaian dan berkesan di peringkat sekolah;
ii. Membincangkan dan membangunkan modul secara bersama oleh peserta dan
fasilitator melalui LDK (Latihan Dalam Kumpulan); dan
iii. Menghasilkan modul pendidikan dan kesedaran alam sekitar yang komprehensif dan
mantap kepada golongan pelajar peringkat sekolah.
Implikasi Kewangan : RM 40,000
4. SEMINAR “BEKALAN AIR NEGARA : KE ARAH PELESTARIAN BERASASKAN PRINSIP ISLAMI”
26-27 JULAI 2016
Penyelaras : Pn. Azrina Sobian
Seminar ini akan membicarakan tentang :
i. Sumber bekalan air semasa di Malaysia dan unjuran kegunaan air masa hadapan;
ii. Isu-isu utama dalam penggunaan dan pengekalan bekalan air negara bagi pelbagai kegunaan;
iii. Sumber bekalan air alternatif yang ada di negara ini dan ke arah penjagaan dan penggunaan lestari;
iv. Kaedah pendidikan penggunaan air daripada pelbagai sudut termasuklah pendidikan berasaskan agama (serta budaya); dan
v. Cadangan-cadangan praktikal bagi memastikan kelestarian pengurusan bekalan air negara.
Implikasi Kewangan : RM 40,000
5. BENGKEL “ISLAM DAN NEUROETIKA” 25 OKTOBER 2016
Penyelaras : Dr. Mohd. Zaidi Ismail & Pn. Norkumala Awang
Hadiah Nobel 2014 dalam bidang Fisiologi atau Perubatan dianugerahkan atas penemuan
dalam bidang neurosains. Jika dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,
penganugerahan tersebut semakin memperkukuh kedudukan bidang ini sebagai suatu
cabang sains semasa yang bukan sahaja diberikan perhatian utama tetapi juga amat pesat
dimajukan dalam Dunia Kini.
Objektif:
i. Meneliti lebih lanjut dua jurusan neuroetika yang saling berkaitan: satunya yang digelar
oleh sesetengah pihak sebagai the ethics of neuroscience (yang banyak bertindan
dengan bioetika) manakala yang satu lagi the neuroscience of ethics (yang melibatkan
kajian falsafah tentang minda);
ii. Merumuskan pendirian terbaik yang berteraskan Islam berhubung persoalan-persoalan
dan pegangan-pegangan utama dalam kedua-dua jurusan neuroetika di atas;
iii. Melakarkan tema dan isi kandungan utama yang dapat dibangunkan menjadi bahan
rujukan (seperti buku panduan) perihal neuroetika untuk orang-orang Islam yang terlibat
dalam bidang neurosains; dan
iv. Mewujudkan jalinan kerjasama pintar dan bermakna ke arah penghasilan bahan
rujukan yang dimaksudkan di atas.
Implikasi Kewangan : RM 5,000
UNIT PROGRAM INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA
2, LANGGAK TUNKU OFF JALAN DUTA
50480 KUALA LUMPUR
Telefon : 03-62046322/323
Whatsapp : +60127176200
Faks : 03-62046201
Emel : [email protected]
FB : Institut Kefahaman Islam Malaysia