falsafah matematik dalam pembentukan kbsr dan kssr

14
THE HISTORY AND PHILOSOPHY OF MATHEMATICS (KMP 6073) FALSAFAH MATEMATIK DALAM PEMBENTUKAN KBSR DAN KSSR OLEH : FATIMAH ANITH MUNIRAH BINTI MOHD BADRI (M20142001316)

Upload: fatimah-anith-munirah

Post on 27-Sep-2015

67 views

Category:

Documents


15 download

DESCRIPTION

3 falsafah matematik (intuisisme, logikisme dan formalisme) menjadi asas kepada pembentukan kurikulum matematik KBSR dan KSSR.

TRANSCRIPT

Falsafah Matematik Dalam Pembentukan KBSR Dan KSSR

THE HISTORY AND PHILOSOPHY OF MATHEMATICS(KMP 6073)

FALSAFAH MATEMATIK DALAM PEMBENTUKAN KBSR DAN KSSR

OLEH :FATIMAH ANITH MUNIRAH BINTI MOHD BADRI(M20142001316)

NAMA PENSYARAH :PROF. MADYA DR. HJ. NOOR SHAH BIN HJ. SAAD

ISI KANDUNGAN

BILPERKARAMUKA SURAT

1

2

3

4

5

6

1.0 Pendahuluan

2.0 Intuisisme2.1 Apa itu Intuisisme?2.2 Intuisisme dalam pembentukan KBSR2.3 Intuisisme dalam pembentukan KSSR

3.0 Logikisme3.1 Apa itu Logikisme?3.2 Logikisme dalam pembentukan KBSR3.3 Logikisme dalam pembentukan KSSR

4.0 Formalisme4.1 Apa itu Formalisme?4.2 Formalisme dalam pembentukan KBSR4.3 Formalisme dalam pembentukan KSSR

5.0 Kesimpulan

6.0 Rujukan

3

5 6

6 7

8

9

10

1.0PENDAHULUAN

Akta Pelajaran 1961 telah membentuk sebuah sistem yang dikenali sebagai Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR). KLSR merupakan asas atau panduan pengajaran di dalam bilik darjah. Jawatankuasa Penyemak Mata Pelajaran telah ditubuhkan dan dikenali sebagai Laporan Rahman Talib. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi mengkaji semula polisi pendidikan kebangsaan dalam Laporan Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran Pelajaran 1957.

Laporan Rahman Talib telah mencadangkan beberapa aspek pendidikan antaranya :i) Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di setiap sekolah.ii) Peperiksaan awam diadakan dalam Bahasa Melayuiii) Semua calon mesti lulus Bahasa Melayu sebelum masuk ke sekolah menengahiv) Kelas peralihan diadakan bagi pelajar dari SRJK(C) dan SRJK(T) yang ingin bertukar ke sekolah menengah aliran Melayu atau Inggeris

Pada 1971, sistem pelajaran mengalami pengubahsuaian untuk memenuhi perkembangan ekonomi bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi. Sistem pendidikan pada tahap ini dirancang supaya memberi sumbangan penting bagi menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa.

Pada 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) telah menggariskan cadangan baru untuk memantapkan sistem pendidikan. Seterusnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada 1988 bagi menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Bermula 1991 hingga sekarang, pelbagai akta telah diperkenalkan sebagai langkah mempertingkatkan kualiti Sistem Pendidikan Kebangsaan sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat.

Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) untuk mengatasi kelemahan yang terdapat dalam KLSR. Pada 1993, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Walaupun namanya telah berubah, namun kandungan kurikulum tersebut masih sama.

Matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara. KBSR disemak semula pada 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). KSSR dijalankan secara berperingkat bermula dengan Tahun 1 2011.

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Kurikulum ini diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Melalui kurikulum ini, murid diberi peluang melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi mereka. Kurikulum ini menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran. Sebagai usaha membentuk pelajar seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baharu akan menjadikan sukan sebagai subjek mata pelajaran.

Perkembangan dalam pendidikan Malaysia menuntut perubahan yang seiring dengan arus globalisasi. Perubahan ini menyebabkan kurikulum matematik juga turut berubah. Namun, dari manakah datangnya asas pembentukan kurikulum matematik itu sendiri?

2.0INTUISISME

2.1Apa itu Intuisisme?

Intuisisme bermaksud keupayaan seseorang untuk memahami suatu masalah tanpa penaakulan formal, sama ada yang bersifat induksi ataupun deduksi. Pengetahuan yang diperoleh melalui intuisi, sering dikaitkan dengan pengetahuan yang datang serta merta, jelas dan diyakini kesahihannya.

Intuisisme Brouwer menyatakan bahawa matematik berasal dan berkembang di dalam fikiran manusia. Ketepatan dalil-dalil matematik tidak terletak pada simbol-simbol di atas kertas, tetapi terletak dalam akal fikiran manusia. Hukum-hukum matematik tidak ditemui melalui pemerhatian terhadap alam, tetapi ditemui dalam fikiran manusia.

2.2Intuisisme dalam pembentukan KBSR

Merujuk kepada objektif kelima dalam KBSR; kurikulum matematik sekolah rendah membolehkan murid untuk berkebolehan mengunakan kemahiran dan pengetahuan matematik untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian dengan berkesan dan penuh tanggungjawab.

Dalam falsafah intuisisme, konsep matematik akan dijanakan dalam dua cara iaitu mengingat semula daripada pengetahuan sedia ada dan meneliti masalah sebelumnya yang seakan sama.

Penyelesaian masalah adalah satu teknik penting dalam matematik dan perlu diterapkan dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ia merupakan satu kemahiran berfikir, yang membenarkan idea-idea terhasil secara sistematik dan logik. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid membuat keputusan, aktiviti-aktiviti yang bersesuaian amat digalakkan supaya kemahiran ini menjadi kukuh di dalam jiwa murid.

Murid boleh menggunakan pelbagai strategi untuk menyelesaikan masalah. Ini penting kerana pengalaman, sikap, kepercayaan dan kesediaan belajar murid mempengaruhi strategi menyelesaikan masalah. Oleh itu, pengalaman dan latar belakang murid boleh dijadikan tanda aras kepelbagaian persoalan yang dikemukakan.

2.3Intuisisme dalam pembentukan KSSR

Kurikulum matematik KSSR menitikberatkan 6 kemahiran dalam matematik yang harus dikembangkan dan dipupuk dalam kalangan murid. Kemahiran tersebut adalah :a) Kemahiran Matematikb) Kemahiran Menganalisisc) Kemahiran Menyelesaikan Masalahd) Kemahiran Membuat Penyelidikane) Kemahiran Berkomunikasif) Kemahiran Menggunakan Teknologi

Menurut falsafah intuisisme, menyelesaikan masalah matematik yang sebenarnya melibatkan pemikiran separa sedar. Intuisi berlaku apabila seseorang itu dapat menyelesaikan suatu masalah matematik tanpa tahu dan faham bagaimana mereka menyelesaikan masalah tersebut tetapi tidak akan dapat menerangkan atau menjelaskan kepada orang lain bagaimana masalah ini dapat diselesaikan.

Salah satu ciri dalam Kemahiran Menyelesaikan Masalah adalah keupayaan murid untuk bersifat terbuka dan menggunakan pendekatan berbeza untuk menyelesaikan masalah yang sama dan menyelesaikan masalah dengan yakin walaupun penyelesaian tidak ketara.

3.0LOGIKISME

3.1Apa itu Logikisme?

Logikisme ialah teori falsafah mengenai status sesuatu kebenaran dalam matematik iaitu sama ada bersifat logik atau analisis. Ia menyatakan teori iaitu matematik sebagai pengembangan kepada logik yang mana sebilangan atau semua unsur matematik juga boleh diturunkan kepada logik.

3.2Logikisme dalam Pembentukan KBSR

Pemikiran dan penaakulan secara logik adalah asas bagi memahami dan menyelesaikan masalah Matematik. Perkembangan dalam penaakulan Matematik berkait rapat kepada perkembangan intelektual dan komunikasi murid-murid. Murid digalakkan untuk meramal dan meneka dalam proses mencari penyelesaian.

Objektif kelapan dalam kurikulum matematik KBSR menyatakan murid harus berkebolehan membina pengetahuan secara sistematik, heuristik, dengan tepat dan berhati-hati. Pengetahuan ini bukan sahaja melibatkan teori dan konsep asas malah merangkumi pengetahun bersifat logik.

Salah satu tajuk yang melibatkan pengetahuan bersifat logik dalam bidang Nombor dan Operasi ialah penganggaran dan penghampiran. Penganggaran memerlukan pemahaman yang mendalam tentang nombor dan penguasaan fakta asas.

3.3Logikisme dalam Pembentukan KSSR

Salah satu proses dalam kurikulum matematik KSSR ialah menaakul. Penaakulan merupakan asas penting untuk memahami matematik dengan lebih berkesan dan menjadikan pengertian tentang matematik lebih bermakna. Penaakulan berupaya mengembangkan bukan sahaja kapasiti pemikiran logikal malah turut meningkatkan kapasiti pemikiran kritis yang juga merupakan asas kepada pemahaman matematik secara mendalam dan bermakna. Bagi mencapai objektif ini, murid harus dilatih dan dibimbing untuk membuat konjektur, membuktikan konjektur, memberi penerangan logikal, menganalisa, membuat pertimbangan, menilai dan memberi justifikasi terhadap semua aktiviti matematik.

Contohnya, dalam melakukan operasi tambah, kita sedia maklum bahawa 4 + 2 = 6 adalah benar. 2 + 4 = 6 juga adalah benar. Maka, dapat kita simpulkan bahawa 4 + 2 = 2 + 4 adalah benar. Konsep inilah yang digunakan dalam objektif pembelajaran matematik KBSR dan KSSR. Murid - murid perlu tahu bahawa 4 + 2 dan 2 + 4 menghasilkan jumlah yang sama iaitu 6.

4.0FORMALISME

4.1Apa itu Formalisme?

Fahaman formalisme melihat matematik sebagai suatu disiplin formal yang simbolik yang diwakili oleh simbol-simbol tanpa berpandukan kepada pelbagai pengertian. Fahaman formalism melihat alam nyata ini hanya terdiri daripada objek-objek yang terhingga sahaja yang boleh disusun dalam bentuk unsur nombor-nombor terhingga.

4.2Formalisme dalam Pembentukan KBSR

Objektif keenam kurikulum matematik KBSR menyatakan murid harus berkebolehan menggunakan bahasa matematik dengan betul. Penggunaan bahasa matematik ini termasuklah dapat memahami dan menggunakan simbol-simbol matematik dengan tepat dan bersistematik. Tafsiran yang betul dan tepat penting dalam membuat perkaitan antara satu bidang matematik dengan bidang yang lain.

Sebagai contoh, murid berupaya membuat perkaitan antara pecahan perseratus dengan peratus, %. Walaupun pecahan dan peratus telah dipecahkan kepada dua tajuk yang berbeza, namun perkaitan antara kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. 4.3 Formalisme dalam Pembentukan KSSR

Salah satu kemahiran matematik yang dititikberatkan dalam kurikulum matematik KSSR adalah mengekstrak makna dari suatu penulisan matematik. Ini termasuklah kebolehan mentafsir simbol-simbol matematik yang digunakan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan matematik.

Contohnya, membuat perwakilan dalam penggunaan formula. Simbol-simbol seperti p bagi mewakili panjang dan l mewakili lebar atau t mewakili tinggi digunakan dalam mencari luas segi segi empat atau segitiga.

Luas segi empat, A = panjang x lebarl

A = p x lp

5.0KESIMPULAN

Dalam suasana masyarakat majmuk yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, budaya dan fahaman tentunya perkara yang berkaitan dengan peraduan nasional perlu diberi perhatian serius.

Golongan masyarakat awam memahami matematik sebagai ilmu pengiraan, sedangkan pengiraan hanya melibatkan cabang aritmetik sahaja yang merupakan komponen kecil matematik. Walaupun ketiga-tiga mazhab mempunyai perbezaan pendapat dalam mengemukakan apakah matematik itu, namun kita tidaklah dengan mudah boleh menyalahkan pendapat-pendapat tersebut. Kajian secara menyeluruh perlu dibuat untuk menganalisis keunggulan dan kekuranganya sebelum diaplikasikan dalam kurikulum di Malaysia. Ini memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan fikiran untuk memahaminya secara benar.

Kurikulum Matematik KBSR dan Kurikulum Matematik KSSR merupakan dua modul yang berbeza. Akan tetapi matlamat serta konsepnya tetap sama dan tidak pernah berubah iaitu untuk melahirkan murid-murid yang cemerlang dan berjaya dari segi semua aspek sama ada jasmani, emosi, rohani, intelek mahupun sahsiah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kementerian Pendidikan sememangnya peka terhadap kualiti PdP dalam bilik darjah. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan tahap dan mutu PdP matematik. Namun, kejayaan di sebalik sesuatu kurikulum adalah bergantung kepada usaha dan kerjasama semua pihak. Peranan ahli matematik adalah untuk sentiasa membuat kajian dan memperkenalkan inovasi pendidikan yang berkualiti dalam pelbagai bidang bagi menghasilkan PdP yang lebih berkesan dan memberi impak yang berpanjangan kepada generasi akan datang.

7.0RUJUKAN

Abdul Latif Samian (1992). Sejarah Matematik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Fatah Hasan (2007). Mengenal Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2010). Dokumen Standard Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Matematik Tahun 1 : Bahagian Pembangunan Kurikulum

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, Matematik: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Mohd Daud Hamzah (1995). Perkembangan Kurikulum Sekolah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mok Soon Sang (1997). Matematik KBSR dan Strategi Pengajaran. Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Seow Siew Hua (1995). Pengajaran Matematik KBSR. Selangor : Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Pengenalan kepada KSSR:http://apps2.moe.gov.my/kurikulum/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=311&Itemid=477&lang=en&showall=1

10