inovasi sistem pengimejan lot berasaskan google...
TRANSCRIPT
INOVASI SISTEM PENGIMEJAN LOT BERASASKAN GOOGLE EARTH
(SPLASH)
PEJABAT DAERAH DAN TANAH KERIAN
1.0 PENGENALAN
Pejabat Daerah dan Tanah Kerian menjalankan urusan-urusan yang berkaitan dengan
hal ehwal tanah dan daerah. Pejabat ini seperti mana pejabat-pejabat daerah yang lain
di seluruh Malaysia dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu Pejabat Daerah dan Pejabat
Tanah.
Pejabat Tanah Kerian mempunyai 5 unit iaitu Unit Pendaftaran, Unit Hasil, Unit
Pembangunan Tanah, Unit Pelupusan Tanah dan Unit Teknikal & Penguatkuasaan.
Urusan pejabat tanah bermula dari permohonan untuk memiliki tanah sama ada secara
Lesen Pendudukan Sementara atau Hakmilik, penukaran syarat nyata tanah,
mendaftarkan setiap urusan tanah di dalam geran hakmilik, mengutip cukai dan
melaksanakan penguatkuasaan di mana berlakunya perlanggaran apa-apa undang-
undang berkaitan tanah. Di dalam melaksanakan kesemua perkara berikut, kebanyakan
urusan bergantung kepada kecekapan dan kelancaran Penolong-Penolong Pegawai
Tanah (PPT) untuk memberi laporan berkaitan tanah dengan cepat dan tepat.
Penolong-Penolong Pegawai Tanah melaksanakan banyak urusan seperti membuat
laporan tanah untuk penyediaan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menghadiri
mesyuarat-mesyuarat berkaitan, melaksanakan penguatkuasaan, membuat rondaan
bahan batu dan menjalankan kerja-kerja penyelesaian ukur tanah. Penolong-Penolong
Pegawai Tanah ini melakukan kerja-kerja pejabat dan pada yang sama melakukan
kerja-kerja lapangan yang menuntut banyak masa.
2.0 LAPORAN INOVASI
2.1 Tujuan Projek Inovasi
Projek inovasi ini bertujuan untuk memudahkan urusan laporan dan pemantauan tanah
yang dilakukan oleh PPT. Dengan menggunakan sistem ini, PPT boleh mendapatkan
gambaran secara kasar tentang keadaan lot-lot tanah yang berada di dalam Daerah
Kerian. Sistem ini juga bertujuan untuk meminimumkan kerja-kerja luar kerana
kebanyakan tanah terutamanya yang berada di pusat-pusat bandar akan dapat dilihat
dengan mudah di samping mengurangkan masa untuk melakukan kerja-kerja luar.
Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kerja di lapangan juga adalah penting di
dalam proses penyediaan laporan tanah yang sempurna. Sistem ini membantu untuk
proses penyediaan laporan di dalam meringkaskan kerja, memudahkan urusan
pemantauan dan mengurangkan masa keluar ke lapangan.
2.2 Proses Pelaksanaan Inovasi
Perlaksanaan inovasi ini dilakukan secara dalaman dengan menggunakan ilmu yang
dimiliki oleh PPT di dalam bidang berkaitan seperti bidang tanah dan Teknologi
Maklumat. Tiada sumber luar yang digunakan dan sistem yang digunapakai juga dimuat
turun dari internet. Sistem ini pada mulanya adalah berdasarkan ‘try and error’ dan ia
menjadi stabil dari semasa ke semasa.
Idea kepada pelaksanaan inovasi adalah berdasarkan kepada : -
Aplikasi Sistem Google Earth
Aplikasi Sistem Google Earth adalah perisian percuma yang boleh dimuat turun melalui
laman web Google. Google Earth adalah sebuah sistem yang memberikan gambaran
terperinci kepada peta dunia, di mana semua maklumat infrastruktur dan bentuk muka
bumi dapat dilihat dengan mudah. Google Earth adalah penambahbaikan kepada
sistem Google Maps, di mana pandangan satelit di dalam sistem Google Maps masih
lagi kabur dan tidak terperinci. Melalui Sistem Google Earth, jaringan infrastruktur
seperti lebuh raya, jalan keretapi dapat dilihat dengan mudah. Begitu juga bentuk
kepelbagaian muka bumi serta gambaran satelit bangunan-bangunan yang telah dibina
di sesuatu kawasan.
Sistem PDUK
Sistem Pangkalan Data Ukur Kadaster pula adalah sebuah sistem yang dibangunkan
oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan untuk tujuan menjana koordinat bagi pengukuran
tanah. Sistem ini dibangunkan selaras dengan dasar JUPEM yang berhasrat untuk
menyediakan perkhidmatan ukuran kadaster secara berdigit sepenuhnya melalui
penggunaan aplikasi Geo Information System (GIS) di mana koordinat tegar melalui
sistem terdahulu iaitu Jilid Kiraan tidak lagi sesuai kerana sifatnya yang tidak konsisten
dengan PDUK. Koordinat Sistem melalui kaedah PDUK menjadikan kerja ukuran
kadaster lebih cepat kerana ia menggunakan software, yang mana ia memudahkan
Juruukur Tanah Berlesen membuat semakan. Sistem PDUK adalah salah satu cara
yang digunakan oleh JUPEM di dalam usaha untuk melaksanakan Sistem Kadaster
Berkoordinat (CCS) bagi sistem yang akan digunapakai di seluruh Malaysia yang
dinamakan National Digital Cadastral Database (NDCDB). Walaupun begitu. Dari
semasa ke sistem PDUK ini ditambahbaik oleh JUPEM dan pada masa ini sistem baru
telah ada menggantikan PDUK yang menjadikan PDUK tidak digunakan lagi.
Gabungan kedua-dua sistem inilah yang memungkinkan terjadinya sistem MapInfo
Google Earth. Kelebihan yang terhasil ialah kedua-dua perisian ini diperolehi secara
percuma, maka kos kewangan untuk membangunkan sebuah sistem baru dapat
dikurangkan. Umum mengetahui bahawa untuk memastikan sesebuah sistem dapat
berjalan dengan baik dan sempurna, kadangkala pelaburan yang terpaksa dikorbankan
berjumlah jutaan ringgit, dan kadangkala juga keputusannya tidak mencapai hasil yang
diharapkan. Dengan sebab itulah sistem ini boleh dikatakan mempunyai prospek yang
cerah kerana pelantar penggunaannya telah sedia ada dan boleh diubahsuai dari
semasa ke semasa.
Di antara kelebihan sistem ini ialah ia dapat mengukur tanah secara maya melalui peta
yang disediakan di dalam Google Earth. Plot-plot ukuran ini dilakar di atas peta Google
Earth, yang mana Google Earth menyediakan gambaran satelit bagi semua kawasan di
seluruh dunia. Dengan menggunakan kaedah ini, pengendali dapat mengenalpasti
secara kasar tentang kedudukan permohonan dan lot-lot yang telah disediakan, serta
dengan mudah dapat mencarinya kembali apabila diperlukan. Pengendali juga boleh
mendapatkan gambaran secara rambang tentang keadaan muka bumi kawasan
berkenaan, sama ada ia terletak di pinggir sungai, di kawasan berbukit bukau atau di
tengah-tengah hutan belantara. Malah di dalam beberapa kes, kawasan yang sukar
dimasuki seperti hutan belantara terutamanya di Mukim Beriah dan Selinsing dapat
dikenalpasti dengan mudah. Dengan akses yang sedemikian, kadangkala pengendali
yang terdiri dari Penolong-Penolong Pegawai Tanah tidak perlu lagi melakukan lawatan
tapak kecuali hanya untuk memastikan semula kedudukan kawasan yang berkenaan.
2.3 Proses sebelum dan selepas
Sebelum perlaksanaan sistem ini, PPT tidak mempunyai masa yang cukup untuk
menyiapkan semua kerja yang diarahkan. Ini kerana setiap laporan tanah memerlukan
PPT untuk turun ke lapangan sebelum membuat laporan yang lengkap. Adakalanya
proses turun ke lapangan menjadi sia-sia kerana PPT tidak mendapat gambaran yang
jelas dengan keadaan tanah sama ada ia berbukit, hutan, semak dan berpaya. Ini
menyebabkan PPT terpaksa mengulang kerja yang sama beberapa kali dengan
membuat persiapan sama ada dari segi logistik, kenderaan dan sebagainya.
Selepas sistem ini dilaksanakan, PPT akan mendapat gambaran kasar berkenaan lot-
lot tanah yang hendak dilaporkan. Oleh yang demikian, laporan akan menjadi mudah
kerana kelengkapan logistik dan lain-lain dapat disiapkan berdasarkan kepada
gambaran di dalam peta Google Earth.
Selain dari itu, bagi kes-kes yang melibatkan perlanggaran syarat nyata tanah terutama
dari pertanian ke bangunan, PPT hanya dapat melihat melalui peta sedangkan sebelum
ini memerlukan rondaan yang kerap dan teliti.
3.0 IMPAK INOVASI TERHADAP KUMPULAN SASAR/PERKHIDMATAN/
JABATAN/AGENSI/NEGARA Impak inovasi ini terbahagi kepada dua iaitu :-
a) Pelanggan
Sistem ini memberi gambaran yang jelas kepada sesuatu kawasan hanya dengan
menggunakan komputer sahaja. Sekiranya seseorang pemohon ingin melihat kawasan
yang dipohon dengan gambaran kasar, pengendali hanya perlu mencetaknya untuk
ditunjukkan kepada pemohon. Berbanding sebelum ini yang menggunakan syit lito yang
tidak mempunyai gambaran sebenar sesuatu kawasan, pemohon lebih berpuas hati
sekiranya dapat melihat dengan lebih jelas.
Begitu juga apabila seseorang pemilik tanah yang ingin melihat dengan jelas tentang
sempadan kawasannya, ia boleh mendapatkan sesalinan lot yang dicetak dengan
menggunakan sistem ini. Terdapat beberapa kes pertikaian tanah dapat diselesaikan
melalui cara ini setelah pemilik berpuas hati dengan sempadan tanah yang mereka
miliki.
Di dalam kes di daerah Kerian yang terlibat dengan kawasan yang ditenggelami air
seperti di Ban Pecah, kebanyakan lot sudah tidak dapat diakses lagi di kawasan yang
dimaksudkan. Walaupun begitu, petak-petak lot di kawasan berkenaan telah direkodkan
di dalam sistem ini yang memboleh pemilik-pemilik melihat lokasi tanah mereka. Oleh
itu, pertikaian sama ada tanah berkenaan masih wujud atau tidak dapat ditangani
memandangkan ada yang mendakwa bahawa tanah mereka masih lagi sebahagian
dari daratan yang tinggal.
Melalui kajian yang dijalankan juga, pemohon dan pemilik tanah lebih yakin dengan
laporan yang dikemukakan kerana sistem ini memberikan gambaran kawasan secara
satelit, iaitu dapat melihat keseluruhan yang ada di kawasan berkenaan.
b) Stakeholder
Melalui sistem ini kadar tunggakan laporan tanah dapat dikurangkan dengan drastik
sekali, berdasarkan kepada rekod pentadbiran ini di dalam menyelesaikan masalah
tunggakan permohonan tanah. Dengan pengurangan kadar tunggakan, masyarakat
lebih yakin dengan sistem pengurusan tanah yang kemudiannya secara tidak langsung
memberi pandangan yang baik kepada stakeholder. Selain dari itu, permohonan untuk
projek-projek pembangunan yang diperkenalkan oleh kerajaan juga dapat dikendalikan
dengan lebih cepat dan tepat, yang memungkinkan kepada kelancaran pentadbiran dan
keyakinan dari pelabur luar.
Stakeholder juga mendapat manfaat sekiranya jaringan sistem ini dapat diperluaskan
sehingga ke seluruh negeri. Ini kerana pada masa ini stakeholder sangat bergantung
kepada laporan Pejabat Tanah mengenai sesuatu kawasan sehingga sekecil-kecil
perkara juga perlu dirujuk kepada Pejabat Tanah. Sekiranya jaringan ini diperluaskan,
stakeholder boleh mendapatkan maklumat dengan kadar segera melalui akses internet,
yang mana keputusan dapat dibuat dengan segera dan pergantungan laporan dari
Pejabat Tanah boleh dikurangkan. Malah pada sesuatu masa, stakeholder yang terdiri
dari pembuat dasar ini tidak perlu lagi turun padang untuk meninjau kawasan yang
dimaksudkan kerana ia boleh dilihat dari satelit Google Earth.
4.0 ELEMEN INOVATIF/KREATIVITI
4.1 Penciptaan nilai/elemen baru/tambahbaik
Terdapat beberapa daerah di Negeri Perak yang telah merintis ke arah sistem ini.
Walaupun begitu, daerah-daerah yang terlibat tidak menggabungkan sistem yang ada.
Sistem di daerah Kerian ini menggabungkan 4 aplikasi yang berbeza iaitu Google Earth,
Mapinfo, Autocad 2007 dan Global Mapper menjadikan pandangan lot lebih jelas dan
tepat.
4.2 Elemen mempermudahkan/penyelesaian masalah
Di dalam menyediakan laporan dan pemantauan tanah, elemen ini banyak membantu
terutamanya mengurangkan masa yang diperlukan oleh PPT terlibat. Rekod tunggakan
permohonan tanah di daerah ini menunjukkan terdapat pengurangan yang ketara di
dalam tunggakan selepas menggunakan sistem ini berbanding sebelumnya. Selain dari
itu, jumlah masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu tugasan juga berkurang.
5.0 ELEMEN KEBERKESANAN
5.1 Gambaran faedah yang nyata diperolehi
Hasil dari penggunaan sistem ini, urusan utama iaitu penyelesaian laporan tanah dapat
dipertingkatkan. Rekod menunjukkan di dalam eksesais penyelesaian tunggakan
permohonan tanah dari 2007-2010, Pejabat Tanah Kerian merupakan di antara daerah
yang paling awal dapat menyelesaikan tunggakan secara sepenuhnya. Dengan
bantuan dari sistem ini, ia terbukti memudahkan kerja yang dijalankan oleh Penolong
Pegawai Tanah.
Selain dari itu, ketidakpuasan hati pelanggan berkenaan hal ehwal tanah mereka juga
dapat dikurangkan dengan baik.
-
6.0 ELEMEN SIGNIFIKAN
6.1 Bagaimana perkhidmatan boleh mesra pelanggan
Di dalam menjalankan urusan tanah terutamanya berkaitan dengan hal-hal pesaka,
sesetengah waris kepada tanah berkenaan tidak mengetahui langsung di mana tanah
yang dimiliki oleh si mati. Dengan adanya sistem ini, lokasi tanah dapat dikesan dengan
memasukkan lot yang terlibat dan secara automatik ia akan dapat dilihat melalui
pandangan dari atas.
Selain dari itu, jika terdapat kes-kes pertikaian sempadan tanah, pemilik tanah boleh
melihat secara maya lot-lot mereka yang terlibat, dan adakah binaan di tanah milik
mereka telah melepasi lot mereka sendiri.
6.2 Penjimatan masa/kos/sumber manusia
Data tuntutan perjalanan PPT pada Januari-September 2012 menunjukkan
pengurangan sebanyak 31.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2011.
Penjimatan masa dapat dilihat dari segi tempoh masa yang diambil untuk PPT
melakukan kerja luar, dengan pengurangan masa dan tempoh fail yang bertambah.
7.0 ELEMEN RELEVAN
7.1 Sumbangan kepada agenda organisasi/nasional
Sistem ini boleh memberi maklumat yang pantas dan berkesan. Oleh kerana elemen
cepat dan telus dititikberatkan oleh kerajaan ini, sistem ini membantu di dalam
melaksanakan agenda ini. Sistem ini boleh digunapakai di mana-mana sahaja dengan
adanya capaian internet, dan keputusan boleh diambil di dalam mesyuarat peringkat
tertinggi tanpa perlu turun ke lapangan untuk semakan semula.
8.0 PENGIKTIRAFAN DITERIMA
Sistem ini telah mendapat tempat pertama di dalam Anugerah Inovasi Pengurusan
Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT) Peringkat Negeri Perak tahun 2012.
9.0 GAMBAR-GAMBAR BERKAITAN
Kawasan Zon Penternakan Arowana di Bukit Merah
Lot Wilayah Ban Pecah yang ditenggelami air.
Pengiraan anggaran keluasan baki tanah kerajaan menggunakan SPLASH
Menentukan keluasan kolam ternakan ikan di Kuala Kurau
10.0 IMPLIKASI KEWANGAN (JIKA ADA)
Sistem ini tidak menggunakan sumber luar melainkan ia dibangunkan dengan daya
usaha PPT yang terlibat. Setakat ini, semua perisian diperolehi secara percuma dari
internet. Walaupun begitu, untuk membangunkan sistem ini dengan lebih serius dan
lengkap, perisian-perisian yang diperlukan perlulah dibeli dengan harga yang tinggi.
11.0 PENUTUP
Sistem Google Earth menyediakan peta bagi seluruh dunia termasuk Malaysia. Di
antara kelebihan Google Earth ialah ia memberikan jarak fokus yang lebih dekat
mengikut kawasan tumpuan. Bagi kawasan Taiping, jarak fokus yang paling dekat
boleh diakses ialah 800 kaki dari aras laut, manakala bagi pekan Parit Buntar, jarak
fokus boleh mencecah sehingga 891 kaki. Di kawasan-kawasan pedalaman seperti
Selama dan Beriah, jarak fokus selesanya lebih tinggi iaitu 5409 kaki, tetapi ia cukup
untuk membolehkan plot dijalankan di atas Google Earth.
Oleh kerana jarak fokus yang disediakan oleh Google Earth baik untuk kerja-kerja
memplot, maka secara tidak langsung ia boleh digunapakai secara meluas di seluruh
Malaysia. Bagi kawasan perbandaran yang mempunyai jarak fokus rendah, ia lebih
sesuai digunakan tetapi bagi kawasan pedalaman yang mempunyai jarak fokus tinggi,
maka kaedah baru atau alternatif lain perlu digunapakai bersama bagi mengelakkan
kesilapan.
Beberapa daerah di Negeri Perak juga telah menggunakan sistem ini sebagai salah
satu cara untuk laporan tanah, tetapi skop penggunaannya hanya digunakan di daerah
berkenaan. Setiap daerah mempunyai akses Google Earth, walaupun begitu di anatar
daerah-daerah terlibat tidak mempunyai jaringan internet yang membolehkan akses
dicapai di daerah yang lain.
Di antara kelebihan-kelebihan sistem ini ialah :-
a) Perisian bagi membangunkan sistem ini boleh diperolehi secara percuma kerana
ia melibatkan Google Earth dan PDUK. Oleh yang demikian, kos pembangunan
sistem menjadi lebih rendah seterusnya membuatkan ia lebih ekonomik.
Kerajaan Negeri tidak perlu memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk
sistem ini memandangkan ia boleh diperolehi secara percuma.
b) Sistem ini boleh dikemaskini secara maya dan peta yang didapati di dalam
sistem ini adalah dari peta sebenar Google Earth. Oleh itu, ia sentiasa
terkemaskini setiap masa bergantung kepada sekerap mana Google
mengemaskinikannya. Visual secara satelit membolehkan pelayar dan
pengendali mengetahui dengan lebih jelas sesuatu kawasan dan memudahkan
persediaan sekiranya lawatan tapak terpaksa dijalankan.
c) Sistem ini bersifat universal di mana semua pentadbiran tanah seluruh Malaysia
boleh menggunakannya. Ia tidak terhad kepada kekangan kawasan dan ruang
lingkup daerah yang kecil, malah untuk menggunakannya bagi keseluruhan
Malaysia juga tidak memberikan masalah. Sekiranya sistem ini diperkenalkan di
peringkat kebangsaan, ia boleh mengharumkan nama Kerajaan Negeri yang
memberikan sokongan dan penambahbaikan.
d) Sistem ini sentiasa relevan walaupun sistem Teknologi Maklumat sentiasa
bergerak dengan pantas. Ini kerana setiap lot yang telah diplotkan akan sentiasa
digunapakai selagi mana tanah berkenaan kekal menjadi tanah milik orang lain.
Semakan juga menjadi lebih mudah terutamanya kepada pemilik yang tidak
mempunyai maklumat yang jelas tentang tanah mereka terutamanya apabila
melibatkan harta pusaka.
e) Ia boleh mempercepatkan proses permohonan tanah yang selama ini mengambil
masa selama berbulan-bulan, malah ada kes yang mencapai penyelesaian
setelah bertahun-tahun. Walaupun piagam pelanggan yang dipersetujui
menetapkan sasaran proses permohonan tanah ialah 3 bulan sebelum dibawa
ke MMK, namun ia juga gagal memendekkan masa memproses permohonan.
Sistem ini juga adalah sebahagian dari inisiatif untuk memenuhi kehendak
tersebut.
f) Dengan kewujudan sistem ini, kos tenaga, kewangan dan masa dapat
dikurangkan dengan drastik sekali. Kerajaan boleh mengurangkan kos
perbelanjaan tuntutan perjalanan bagi pegawai-pegawai yang terlibat dengan
lawatan tapak, malah bagi pihak pengendali sendiri akan mengurangkan kos
tenaga yang diambil, berbanding sekiranya setiap permohonan memerlukan
untuk dilakukan lawatan tapak di lapangan.
Disediakan oleh:
Nama Pegawai/Unit Terlibat :
Unit Teknikal dan Penguatkuasaan, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian
Tel. : 05-716 1963
Emel : [email protected]