persepsi guru sains terhadap penggunaan bahan bantu ... · akhir kata, semoga allah sahaja yang...
TRANSCRIPT
PERSEPSI GURU SAINS TERHADAP PENGGUNAAN BAHAN BANTU
MENGAJAR BERKOMPUTER DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
SAINS DI SEBELAS BUAH SEKOLAH MENENGAH DI ZON KERAMAT,
KUALA LUMPUR
NOOR WAHIDAH BINTI ABDUL WAHAB
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
PERSEPSI GURU SAINS TERHADAP PENGGUNAAN BAHAN BANTU
MENGAJAR BERKOMPUTER DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
SAINS DI SEBELAS BUAH SEKOLAH MENENGAH DI ZON KERAMAT,
KUALA LUMPUR.
NOOR WAHIDAH BINTI ABDUL WAHAB
Laporan Penyelidikan Ini Dikemukakan Sebagai
Memenuhi Sebahagian Daripada Syarat Penganugerahan
Ijazah Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan ( Biologi )
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
MAC, 2004
Teristimewa buat tatapan ayahanda dan bonda yang amat dihormati dan disayangi,
Abdul Wahab bin Othman dan Nordianah bt Wan…
Kasih sayangmu pendamai jiwa,
Pengorbanan dan budi luhurmmu pencetus iltizam,
Doa restumu memberkati perjalananku di puncak menara gading,
Dorongan dan sokonganmu pembakar obor serikandi diriku…
Aku bersyukur menjadi puteri sulung penyambung warisanmu…
Terima kasih ayah dan ibu untuk segala-galanya..
Untuk adindaku, Nur ‘Aizreen @ Reen yang comel…
Sokongan dan galakanmu menitip indah di sanubariku..
Jadikanlah juga kejayaanku ini sebagai pembakar semangat buatmu untuk mencipta
kejayaan yang lebih gemilang buat keluarga kita,
Sesungguhnya di kau adalah puteri kebanggaan buat kita sekeluarga…
Buat sahabatku, Munirah..
Terima kasih kerana menjadi sahabat yang setia, penyayang dan memahami diriku
Memori yang kita cipta bersama akan tetap terpahat indah dalam kamus hidupku…
Sesungguhnya aku berbangga menjadi sahabatmu..
PENGHARGAAN
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani..”
Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya, maka Projek
Sarjana Muda ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Kalungan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada En. Roslee bin
Ahmad selaku pensyarah pembimbing kerana begitu setia dan sabar dalam membimbing
serta memberi tunjuk ajar dan nasihat tanpa mengenal erti jemu dalam membantu saya
menjayakan projek ini. Semoga Allah membalas segala kebaikan yang telah dicurahkan
selama ini.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Jabatan Pendidikan
Negeri dalam memberi kebenaran untuk saya melaksanakan kajian ini. Saya juga ingin
merakamkan sekalung budi dan penghargaan kepada pengetua-pengetua sekolah, guru-
guru Sains serta kakitangan sekolah yang terlibat di atas bantuan dan kerjasama yang
diberikan dalam melaksanakan kajian ini.
Tidak ketinggalan juga ucapan penghargaan ini khas ditujukan buat ibu bapa,
keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberikan dorongan, semangat dan galakan
sepanjang kajian ini dilaksanakan. Juga kepada pihak yang terlibat secara langsung atau
tidak langsung dalam perlaksanaan kajian ini. Akhir kata, semoga Allah sahaja yang
dapat membalas jasa kalian. InsyaAllah..
ABSTRAK
Kajian berbentuk deskriptif ini adalah bertujuan untuk meninjau persepsi guru-
guru sains terhadap penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) berkomputer dalam
proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains. Seramai 95 orang guru sains daripada
sebelas buah Sekolah Menengah Kebangsaan di Zon Keramat, Kuala Lumpur digunakan
sebagai sampel kajian. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk
soal selidik yang meliputi persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer
dalam tiga aspek utama iatu aspek kognitif, aspek afektif dan aspek tingkahlaku. Data
yang diperolehi daripada kajian ini dianalisis menggunakan perisian Statistical Packages
for Social Science(SPSS) versi 11.5 di mana data dipersembahkan dalam bentuk analisis
frekuensi dan pemeratusan bagi tujuan penganalisian data. Hasil kajian ini mendapati
bahawa guru-guru sains menunjukkan persepsi yang tinggi dalam dua aspek utama iaitu
aspek kognitif dan afektif. Namun begitu, persepsi guru sains terhadap penggunaan
BBM berkomputer bagi aspek tingkahlaku adalah berada di tahap sederhana.
Berdasarkan kepada kajian ini, maka langkah segera perlu dilaksanakan oleh pihak yang
bertanggungjawab bagi meningkatkan penggunaan BBM berkomputer dalam proses
P&P sains di sekolah.
ABSTRACT
The objective of this descriptive research is to observe the perception of the
computerize teaching aid utilization among the science teacher in the Science teaching
and learning process. A total of 95 respondents which is science teachers at eleven
Sekolah Menengah Kebangsaan in Zone Keramat, Kuala Lumpur were involved as the
sample in this research. The instruments use in this descriptive study was a set of
questionnaires using the five point scale which is include the perception of the
computerize teaching aid utilization among the science teacher in three main aspect such
as cognitive, affective and behaviour. The collected data was analyzed by using the
Statistical Packages for Social Science (SPSS) program and the data was presented in
the form of frequencies and percentage. Overall finding in this research, indicate that
most of science teachers show a high perception in two main aspect namely cognitive
and affective aspect. However, the respondent level in behaviour aspect of the
computerize teaching aid utilization in the Scienceteaching and learning process is in
moderate manner. Based on this study, an action should be taken by people who is
responsible in this matter to maintain and promote the present teacher’s behaviour
towards the utilization of computerize teaching aid in Science teaching and learning
process.
KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKASURAT
JUDUL i
PENGAKUAN ii
DEDIKASI iii
PENGHARGAAN v
ABSTRAK vi
ABSRACT vii
KANDUNGAN viii
SENARAI JADUAL xiii
SENARAI SINGKATAN KATA xv
BAHAGIAN SATU
BAB I PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 3
1.3 Pernyataan Masalah 4
1.4 Persoalan Kajian 5
1.5 Objektif Kajian 6
1.6 Kepentingan Kajian 6
1.7 Skop Kajian 7
1.8 Batasan Kajian 7
1.9 Definisi Istilah
1.9.1 Persepsi 8
1.9.2 Guru 8
1.9.3 Mata pelajaran Sains 9
1.9.4 Penggunaan 9
1.9.5 Bahan Bantu Mengajar
Berkomputer 10
1.9.6 Pengajaran 10
1.9.7 Pembelajaran 11
1.10 Rumusan 11
BAHAGIAN DUA
BAB II SOROTAN KAJIAN
2.1 Pengenalan 12
2.2 Guru Sains dan Bahan Bantu Mengajar 13
2.3 Guru Sains dan Bahan Bantu Mengajar
Berkomputer 14
2.4 Persepsi Guru-guru Sains Terhadap Penggunaan
Bahan bantu Mengajar Berkomputer dalam
Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Sains 17
2.5 Kajian Lepas Berkaitan Penggunaan
BBM Berkomputer 19
2.6 Rumusan 22
BAHAGIAN TIGA
BAB III METADOLOGI KAJIAN
3.1 Pengenalan 23
3.2 Rekabentuk Kajian 23
3.3 Tempat Kajian 25
3.4 Populasi dan Sampel Kajian 26
3.5 Instrumen Kajian
3.5.1 Bahagian A 27
3.5.2 Bahagian B 27
3.6 Kajian Rintis 29
3.7 Prosedur Kajian 29
3.8 Analisis Data 30
3.9 Rumusan 32
BAHAGIAN EMPAT
BAB IV ANALISIS DATA
4.1 Pengenalan 33
4.2 Analisis Bahagian A
4.2.1 Jantina 34
4.2.2 Umur 34
4.2.3 Agama 35
4.2.4 Kelulusan Ikhtisas 36
4.2.5 Pengalaman Mengajar 36
4.2.6 Jawatan Dalam Panitia Sains 37
4.2.7 Pemilikan Komputer Peribadi 38
4.2.8 Kesediaan Menghadiri Kursus
Komputer 38
4.2.9 Menggunakan Perbelanjaan Sendiri
bagi Menghadiri Kursus Komputer 39
4.2.10 Pengetahuan Asas Penggunaan
Komputer 40
4.3 Analisis Bahagian B
4.3.1 Perbincangan dari Aspek Kognitif 41
4.3.2 Perbincangan dari Aspek Emosi 45
4.3.3 Perbincangan dari Aspek Tingkahlaku 49
4.4 Penutup 52
BAHAGIAN LIMA
BAB V PERBINCANGAN, IMPLIKASI KAJIAN, RUMUSAN DAN
CADANGAN KAJIAN LANJUTAN
5.1 Pengenalan 54
5.2 Perbincangan
5.2.1 Perbincangan Bahagian A 55
5.2.2 Perbincangan Bahagian B
5.2.2.1 Perbincangan dari Aspek Kognitif 57
5.2.2.2 Perbincangan dari Aspek Emosi 60
5.2.2.3 Perbincangan dari Aspek Tingkahlaku 64
5.3 Implikasi Kajian 67
5.4 Rumusan 68
5.5 Cadangan Kajian Lanjutan 69
5.6 Kesimpulan 70
RUJUKAN
LAMPIRAN
SENARAI JADUAL
NO JADUAL TAJUK MUKA
SURAT
3.1 Pembahagian Item Soalan Mengikut Aspek 28
3.2 Jadual Skala Likert 28
3.3 Jadual Pengkelasan Tahap Persepsi
Guru Sains 31
4.1 Taburan Responden Mengikut Jantina. 34
4.2 Taburan responden Mengikut Umur 35
4.3 Taburan Responden Mengikut Agama 36
4.4 Taburan Responden Mengikut
Kelulusan Ikhtisas 36
4.5 Taburan Responden Mengikut
Pengalaman Mengajar 37
4.6 Taburan Responden Mengikut Jawatan
dalam Panitia Sains 38
4.7 Taburan Responden Mengikut Pemilikan
Komputer Peribadi. 38
4.8 Taburan Responden Berdasarkan Kesediaan
Menghadiri Kursus Komputer 39
4.9 Taburan Responden Berdasarkan Kesanggupan
Menggunakan Perbelanjaan Sendiri bagi
Menghadiri Kursus Komputer 39
4.10 Taburan Responden Berdasarkan Pengetahuan
Asas Mengenai Penggunaan Komputer 40
4.11 Analisis Kekerapan dan Peratus bagi Item
Persepsi Guru Sains Terhadap Penggunaan BBM
Berkomputer dalam P&P Sains dari Aspek Kognitif. 41
4.12 Analisis Kekerapan dan Peratus bagi Item
Persepsi Guru Sains Terhadap Penggunaan BBM
Berkomputer dalam P&P Sains dari Aspek Emosi. 45
4.13 Analisis Kekerapan dan Peratus bagi Item
Persepsi Guru Sains Terhadap Penggunaan BBM
Berkomputer dalam P&P Sains dari Aspek
Tingkahlaku. 49
SINGKATAN KATA
FPK - Falsafah Pendidikan Kebangsaan
KBSR - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
KBSM - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
LCD - Liquid Crystal Display
BBM - Bahan Bantu Mengajar
JPN - Jabatan Pendidikan Negeri
P&P - Pengajaran dan Pembelajaran
CD-ROM - Compact Disk (Read Only Memory)
PBK - Perisian Berbantukan Komputer
SMK - Sekolah Menengah Kebangsaan
KPM - Kementerian Pendidikan Malaysia
SPSS - Statistical Packages for Social Science
f - Frekuensi atau Kekerapan
% - Peratus
BAB I
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Pengajaran dan pembelajaran merupakan dua istilah yang sinonim dengan dunia
pendidikan. Pengajaran didefinisikan sebagai satu proses yang melibatkan penyampaian
maklumat daripada seorang individu yang bergelar pendidik kepada individu yang lain
dengan menggunakan kaedah dan teknik yang tertentu. Menurut Guy Le Francois (1982)
dalam Kamarudin Hussin, pembelajaran merupakan satu proses yang merangkumi
semua perubahan tingkahlaku yang agak kekal dan dihasilkan melalui pengalaman.
Sehubungan dengan itu, dapatlah dinyatakan di sini bahawa kedua-dua proses ini adalah
saling berkait rapat antara satu sama lain. Ini kerana pengajaran yang efektif dapat
menjamin keberkesanan pembelajaran baik dari segi kognitif mahupun pembentukan
sahsiah pelajar.
Menurut Abu Hassan (2000), dunia kini sedang melalui era sains dan teknologi
yang semakin berkembang pesat dari semasa ke semasa. Institusi pendidikan juga
sebenarnya tidak terlepas daripada dilanda arus kemajuan sains dan teknologi yang
sekaligus memberikan satu gambaran tentang arus perubahan besar yang berlaku di
dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan ini sejajar dengan aspirasi negara untuk
muncul sebagai sebuah negara industri maju menjelang tahun 2020 dengan memberikan
penekanan kepada penguasaan teknologi maklumat di kalangan rakyat Malaysia
terutamanya dalam penggunaan komputer.
Berdasarkan kepada Mohd Yusof dalam Dr. Ismail (2002), penggunaan teknologi
maklumat pada dasarnya akan menjadi teras aplikasi proses pengajaran dan
pembelajaran semua mata pelajaran di sekolah-sekolah bestari yang telah dilaksanakan
secara berperingkat sejak tahun 1999. Penggunaan teknologi maklumat bukanlah
bertujuan untuk mengambil alih peranan guru sebagai pendidik, malah akan dijadikan
sebagai media utama pengajaran dan pembelajaran dengan guru sebagai pemudahcara
dalam proses tersebut.
Dalam hal ini, peranan guru adalah amat penting dalam memastikan kemajuan dan
kecemerlangan yang berterusan dalam bidang pendidikan sejajar dengan ledakan
reformasi pendidikan yang berlaku dewasa ini. Guru bukan sahaja bertindak sebagai
tenaga pengajar dan pembimbing malah juga sebagai pendorong dan pencetus
kecemerlangan pelajar. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kepada
guru untuk melengkapkan diri mereka dengan segala kemahiran dan pengetahuan bagi
menyahut cabaran dunia global yang serba canggih ini.
Menurut Abu Hassan (2000), selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) yang telah digariskan, Perdana Menteri Malaysia ke empat Tun Dr Mahathir
Mohamad pada 28 Februari 1991 telah menegaskan bahawa matlamat pembangunan
negara adalah ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan
pembentukan sebuah negara yang benar-benar maju menjelang tahun 2020 menurut
acuan kita sendiri. Kenyataan di atas jelas menunjukkan perkaitan rapat diantara peranan
pendidikan terhadap pembangunan sesebuah negara.
Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa peranan pendidikan menjelang tahun
2020 adalah untuk melahirkan tenaga manusia yang mahir dalam pelbagai aspek
kehidupan selari dengan perkembangan dalam dunia sains dan teknologi. Ini kerana
masyarakat yang berilmu adalah pemangkin pembangunan sesebuah negara.
1.2 Latarbelakang Masalah
Menurut Abu Hassan (2002) di dalam bukunya bertajuk Kurikulum Sains Sekolah
Malaysia, reformasi pendidikan yang berlaku di negara kita telah membawa kepada
penggubalan dua buah kurikulum iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun
1989. Dengan bertunjangkan kepada FPK, penggubalan kedua-dua KBSR dan KBSM
adalah bermatlamat untuk memupuk budaya sains dan teknologi yang meliputi aspek
celik komputer, pelajar sebagai pengguna dan penyumbang kepada tamadun saintifik
dan teknologi.
Menurut Meor Ibrahim (2001), selaras dengan perubahan kurikulum sains di
sekolah Malaysia, maka sistem pengajaran juga turut berubah. Dalam hal ini, KBSM
memberikan penekanan utama kepada proses P&P melalui pengalaman sendiri serta
pendekatan inkuiri penemuan yang memberi peluang kepada pelajar terlibat secara aktif
di dalam kelas.
Merujuk kepada V.Pang et al. (1992), perkembangan teknologi komputer pada
hari ini banyak membawa perkembangan dalam penggunaan bahan bantu mengajar
(BBM) di bilik darjah. Menurut Tokoh Guru Kebangsaan 2003 iaitu Mohamed Saat
beliau menjelaskan bahawa, jika dahulu guru hanya menggunakan kaedah kapur dan
papan hitam kini guru didedahkan pula kepada penggunaan komputer, laptop, projektor
paparan cecair visual (LCD projektor) dan lain-lain lagi untuk membantu meningkatkan
kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.
Menyedari bahawa pentingnya teknik dan kaedah pengajaran oleh pendidik,
maka guru-guru haruslah memberikan perhatian yang sewajarnya dalam meningkatkan
penggunaan bahan bantu seperti BBM berkomputer untuk menarik minat pelajar dan
membekalkan satu pengalaman pembelajaran yang lebih kekal (Kamaruddin Hussin,
1988).
Menurut Tamby Subahan (1999), walaupun terdapat banyak kebaikan
menggunakan BBM berkomputer di dalam mata pelajaran sains, namun penggunaannya
di kalangan para pendidik masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
1.3 Pernyataan Masalah
Kamarudin Hussin (1988) menyatakan bahawa kemajuan dalam dunia
pendidikan kini menjadikan penggunaan BBM dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah sebagai satu kemestian.
Dalam hal ini, penggunaan komputer di kalangan guru sains secara amnya adalah
lebih kepada penyediaan bahan pengajaran seperti transparensi, menyediakan soalan
peperiksaan, menyimpan data serta pemarkahan pelajar. Untuk itu, guru hanya
menggunakan beberapa perisian sahaja seperti Microsoft Word dan Microsoft Excel.
Perkara ini amat menyedihkan kerana kemahiran guru sains dalam penggunaan
komputer sebagai bahan bantu mengajar masih lagi terhad sedangkan perkembangan
teknologi dunia semakin hari semakin berkembang pesat dengan pelbagai pembaharuan
dilakukan.
Menurut V.Pang, et al. (1992), penggunaan komputer sebagai bahan bantu
mengajar akan menjadi lebih menarik dan efisien sekiranya setiap guru sains celik dan
mahir menggunakan bahan bantu mengajar berasaskan komputer seperti komputer riba
dan CD-ROM di dalam kelas. Walaubagaimanapun, sehingga kini masih lagi terdapat
segelintir guru sains yang masih belum mahir dalam penggunaan BBM berkomputer
serta kurang mengambil berat tentang perkembangan teknologi maklumat dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Selain itu, mata pelajaran sains juga adalah abstrak dan memerlukan pendekatan
berbentuk konstruktif dan konkrit. Justeru, adalah wajar bagi guru-guru sains
menggunakan BBM berkomputer di dalam kelas supaya proses P&P Sains dapat
dijalankan dengan lebih menarik, lancar dan berkesan.
Menginsafi akan fenomena ini, maka pengkaji berminat untuk membuat kajian
tinjauan di beberapa buah sekolah menengah di Zon Keramat, Kuala Lumpur untuk
mendapatkan maklumbalas responden mengenai sejauhmanakah persepsi guru-guru
sains terhadap penggunaan BBM berkomputer dalam proses pengajaran dan
pembelajaran sains di sekolah dari aspek kognitif, afektif dan tingkahlaku.
1.4 Persoalan Kajian
Persoalan kajian ini adalah untuk meninjau:
a) Apakah persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer dalam
proses pengajaran dan pembelajaran Sains dari aspek kognitif?
b) Apakah persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer dalam
proses pengajaran dan pembelajaran Sains dari aspek afektif?
c) Apakah persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer dalam
proses pengajaran dan pembelajaran Sains dari aspek tingkahlaku?
1.5 Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah bertujuan untuk:
a) Mengenalpasti persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer
dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dari aspek kognitif.
b) Mengenalpasti persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer
dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dari aspek afektif.
c) Mengenalpasti persepsi guru sains terhadap penggunaan BBM berkomputer
dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dari aspek tingkahlaku.
1.6 Kepentingan Kajian
Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini dapat memberikan faedah dan
boleh diguna pakai oleh beberapa pihak yang tertentu. Dalam hal ini, hasil kajian boleh
diajukan kepada:
i. Guru-guru sains
Dapat membantu memberikan motivasi dan mengembangkan potensi kendiri
guru-guru sains supaya bersikap lebih positif dalam mempelbagaikan
penggunaan BBM berkomputer untuk meningkatkan minat pelajar dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran.
ii. Pihak pengetua
Dapat memberi kesedaran kepada pihak pengetua terhadap betapa pentingnya
penggunaan BBM berkomputer dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran
Sains di dalam bilik darjah. Dengan itu, para pengetua boleh mengambil tindakan