spiritual aspect in sabahan’s paintings sabrina...
TRANSCRIPT
256
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Unsur Spiritual Dalam Karya Catan Pelukis Sabah Sabrina Majuakim
Spiritual Aspect In Sabahan’s Paintings Sabrina Majuakim
Faez Huzaini Ramleh1, Humin Jusilin2
ABSTRAK
Unsur spiritual dalam karya seni sering kali menjadi subjek atau hal benda sebagai cetusan
idea. Elemen komunikasi yang menjadi sifat asas dalam sesebuah catan bertujuan untuk
menyampaikan sesebuah mesej atau pesanan daripada pengkarya kepada penghayat seni
mahupun masyarakat. Isitilah ‘spiritual’ mempunyai definisi yang pelbagai jika ditelaah
mengikut hadaman tokoh-tokoh ilmiah. Spiritual pada asasnya dapat difahami sebagai rasa
keagungan kepada Tuhan, rasa estetik pada jiwa, rasa wujud terhadap satu alam lain, selain
dunia dan rasa bahawa wujud sesuatu yang lebih berkuasa daripada manusia. Aspek
spiritual seringkali dikaitkan dengan agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha.
Walau bagaimanapun, spiritual bukan sahaja merujuk pada agama sepertimana yang
dipercayai oleh majoriti tokoh ilmiah, tetapi ianya juga mempunyai cabang dalam fahaman
pemikiran, adat tradisi, ritual-ritual harian dan kepercayaan. Catan adalah salah satu
medium dakwah bagi pengkarya menyebarkan fahaman agama mereka mengikut apa yang
mereka percayai. Serapan unsur spiritual dalam catan lazimnya di ringkaskan menjadi ikon-
ikon yang membawa makna-makna tertentu. Makna ikon dalam catan dibaca dengan
menggunakan pendekatan ikonografi, iaitu ilmu yang menghuraikan maksud simbol yang
tersurat dan tersirat. Perkembangan catan yang berunsurkan spiritual ini turut melemparkan
tempias kepada pelukis Sabah.
Kata Kunci: Unsur spiritual, seni catan, pelukis Sabah, ikonografi.
ABSTRAK
Spiritual aspect often be made as a subject matter in an art work. The most basic element in a
painting is communication that are used to deliver a certain message from the artist to the
society or audience. The ‘spiritual’ term have a huge amount of definition according to the
scholars. basically, spiritual can be understand as a feeling of kneeling towards God, a
feeling of aesthetics in a soul, a feeling of the existence of other realm besides the earth and a
feeling of an existence of other beings that are more superior than human. One cannot
separate spiritual from religions like Islam, Christian, Hindu and Buddha. However, spiritual
isn’t just referred to religion but it also has a branch in a way of thinking, traditions, daily
rituals and beliefs. Paintings is one of the medium of preach for the artists to spread or
deliver their beliefs or religions. Spiritual aspect in paintings usually be made as an icon
which brings certain meanings. The meanings of the icon are then discovered by the
iconographic approach. Iconography is a branch of knowledge which are used to explicit the
meanings of a certain symbol or icon. This approach describes the icons from the form to the
subject to the meaning. The grows of spiritual paintings clearly influencing the Sabahan’s
artists.
Keywords: Spiritual aspect, paintings, Sabahans artist, iconography
1 Faez Huzaini Ramleh, Pelajar Sarjana, Blok Seni, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS,
faezhuzainiramleh@gmail. Com 2 Humin Jusilin, Ph.D, Blok Seni, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS, [email protected]
257
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Pengenalan
Seni merupakan cabang ilmu yang sangat kompleks dan seringkali dikaitkan dengan estetika
atau keindahan. Selain itu, imej visual merupakan salah satu bentuk asas komunikasi yang
wujud dalam komuniti manusia. Seni dapat dibahagikan kepada beberapa teras seperti seni
muzik, seni tari, seni lakon dan seni halus. Kesemua teras seni tersebut mempunyai pecahan-
pecahan kepada pelbagai jenis pembahagian seperti aliran, medium dan persembahan. Seni
halus merupakan salah satu cabang seni yang sangat pelbagai. Hal ini kerana seni halus
merangkumi disiplin seni seperti catan, arca, lukisan, seramik dan cetakan. Pandangan ‘seni
sebagai satu komunikasi’ dapat dibuktikan melalui seni catan. Catan terbahagi kepada
pelbagai aliran mengikut arus perkembangan dunia dan kehidupan manusia di antaranya ialah
Romantisisme, Baroque, Abstrak, Abstrak Ekspresionisme, Impresionisme, Dadaisme,
Surealisme, Kiubisme dan pelbagai lagi. Aliran-aliran ini memberi impak yang cukup besar
dalam dunia seni halus.
Unsur merupakan keunikan yang dapat dilihat melalui seni catan. Unsur merupakan
istilah yang mempunyai maksud yang sangat luas. Unsur patriotisme, unsur mistisisme, unsur
penceritaan, unsur spiritual merupakan antara unsur yang diselitkan di dalam karya. Unsur
spiritual menjadi satu aspek yang mengandungi pelbagai persoalan. Spiritual adalah satu
pengenalan atau pengakuan terhadap sebuah rasa, deria atau kepercayaan bahawa wujudnya
sesuatu yang lebih besar dan lebih berkuasa daripada manusia. Agama dalam konteks yang
sama merupakan aspek formal dan utama dalam konteks spiritual. Persoalan-persoalan yang
sering diperkaitkan dengan unsur spiritual adalah seperti mistik, agama, kepercayaan,
kerohanian dan jiwa. Perkara ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dilihat menggunakan
mata kasar tetapi kewujudannya tidak dapat disangkal kerana setiap manusia dapat
merasakannya. Unsur yang penuh dengan persoalan ini sering diintikan di dalam karya seni
catan.
Konsep Spiritual
Maya Spencer (2012) dalam jurnal yang bertajuk What Is Spiritual? menerangkan tentang
definisi spiritual. Menurut beliau, spiritual bermaksud rasa atau perasaan terhadap sesuatu di
luar jangkauan manusia. Sesuatu yang lebih besar dan lebih hebat daripada kuasa fizikal
manusia. Rasa cinta, kasih, kehidupan, kebijaksanaan, kebenaran adalah termasuk dalam
aspek spiritual. Selain itu, spiritual juga merupakan salah satu proses pembukaan hati dan
pemulihan rasa egois manusia kepada rasa yang lebih positif. Seterusnya, spiritual berkait
rapat dengan aspek keagamaan. Perbuatan-perbuatan atau amalan yang dipraktikan dalam
agama akan membawa kepada kematangan. Kepercayaan pada sesebuah pegangan
merupakan salah satu aspek dalam spiritual. Menurut beliau lagi, seseorang manusia tidak
pernah melihat Tuhan tetapi tetap mengabdikan kepercayaan kepada-Nya. Kejadian-kejadian
yang berkaitan seperti syurga, neraka dan malaikat diertikan sebagai satu aspek utama dalam
spiritual.
Spiritualiti membawa tiga pendekatan menurut Christine Valters Paintner (2007).
Pendekatan pertama spiritualiti dapat diterangkan sebagai cara manusia mencari makna
dalam kehidupan. Pendekatan kedua membantu manusia dalam memupuk hubungan dengan
perkara-perkara misteri. Pendekatan ketiga dapat digunakan sebagai transformasi. Spiritualiti
mencabar manusia untuk membangun melalui amalan-amalan tertentu. Seterusnya, beliau
menerangkan bahawa spiritualiti dalam seni menunjukkan kekuatan pada ekspresi simbolik.
258
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Seni seiras dengan spiritualiti, kedua-dua aspek ini mementingkan proses dan bukan hanya
mementingkan hasil. Seni ekspresi mengajar manusia agar belajar untuk menyerah kepada
sesuuatu kuasa yang lebih hebat dan kuat daripada manusia seperti divine power dan agama.
Proses dalam seni menggalakkan sifat ingin tahu dan menaburkan persoalan.
Istilah spiritualisme ada kalanya merujuk kepada satu doktrin yang berkait dengan
minda atau jiwa (George Stuart Fullerton, 1925). Perkara ini adalah sangat berlawanan
dengan doktrin materialisme. Spiritualisme dan spiritisme seringkali didefinisikan dengan
maksud yang sama. Walau bagaimanapun, kedua-dua hal ini masing-masing memberi
maksud yang berbeza. Spiritisme merupakan satu doktrin yang mengajarkan bahawa manusia
yang masih hidup dapat berkomunikasi dengan roh seseorang yang telah mati. Terdapat
banyak doktrin yang telah dihasilkan oleh pengkaji spiritualis contohnya Doktrin Proffesor
Clifford berkenaan dengan mind-stuff. Doktrin Clifford yang dikenali sebagai panpsychism
menganjurkan bahawa semua perkara material yang kita lihat hanyalah sebagai satu persepsi
minda. Clifford dalam kefahamannya bahawa kesemua alam semula jadi adalah bernyawa,
memegang satu fahaman iaitu segala perkara material dan persepsi boleh di ambil kira
sebagai satu ‘wahyu’ atau sesuatu hal yang di luar kesedaran manusia. Kewujudan perkara-
perkara material tersebut merupakan manifestasi dibawah sedar manusia.
Donald Capps (2011) dalam artikel yang bertajuk A Spiritual Person telah mengupas
tentang aspek spiritual seseorang manusia. Capps menulis tentang soalan yang telah
dikemukakan oleh Professor James Bissett Pratt dari William College terhadap William
James, seorang Professor Falsafah dan Psikologi di Universiti Harvard. Dalam penulisan
tersebut, James telah menyatakan pendapatnya tentang spiritualiti manusia. Menurut James,
spiritual dapat didefinisikan sebagai satu kecenderungan terhadap keinginan di dalam
sesebuah kebebasan untuk memenuhkan keinginan tersebut. Menurut beliau lagi, spiritual
bermaksud imaginasi tertentu tentang ‘alam lain’. Hal ini demikian kerana jika sebaliknya,
manusia hanya akan mempunyai rasa atau aspek moral semata-mata.
Istilah spiritual dalam konteks sains sosial dijelaskan sebagai sisi dimensi agama yang
lebih intrinsik manakala istilah agama merujuk pada sesuatu yang lebih ekstrinsik serta
kewujudan yang lebih kukuh (Marler dan Hadaway, 2002). Spiritualiti sebagai satu pencarian
adalah sesuatu yang ‘baik’ dan agama sebagai satu institusi yang melemahkan semangat
adalah sesuatu yang ‘buruk’ atau sekurang-kurangnya sesuatu yang ketinggalan zaman.
Menurut Paul R. Powers (2004), para ilmuan Barat seringkali mengaitkan niyya atau niat
sebagai satu komponen spiritual dalam Islam. Walau bagaimanapun, mufti-mufti Islam tetap
menganggap niat sebagai satu aspek formal. Niat merupakan hal yang bersifat taxonomic3
dan sesuatu tumpuan minda berdasarkan perlakuan tertentu dengan nama-nama yang tertentu
seperti solat, puasa dan bersedekah. Langkah untuk menerapkan niat sebagai sebuah peranan
spiritual dalam Islam bertujuan untuk mempertahankan agama Islam itu sendiri daripada
tuduhan ‘empty ritualism’. Namun begitu, langkah tersebut telah merumitkan karakter Islam
sebagai agama yang ‘berpegang teguh’. Powers menghujahkan bahawa para ilmuan
seharusnya mengiktiraf niat sebagai sebuah amalan agama dan bukannya sebagai aspek
spiritual yang pincang. Spiritual dan agama masing-masing membawa maksud yang berbeza.
Menurut Meredith Monk (2009) dalam sesi temu bual yang dikendali oleh Bonnie Marranca,
spiritual adalah sesuatu yang lebih bersifat menyeluruh manakala agama merupakan
pemikiran yang berkisarkan tentang keesaan.
3 Berkaitan dengan pengklasifikasian sesuatu khususnya organisma
259
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Spiritualiti seringkali diisytiharkan sebagai satu proses melepaskan (Richard L.
Weddige, 1994). Proses tersebut berkait dengan maruah, kawalan dan kuasa. Terdapat
beberapa aspek umum yang kerap dikaitkan dengan spiritual antaranya keamanan,
ketenteraman, kesatuan, bersendirian, doa dan hubungan dalaman. Spiritual dikategorikan
melalui makna dan bukan melalui makhluk (Alfred Stern, 1965). Stern menyatakan bahawa
istilah ‘spiritual’ ialah perkara yang membawa maksud yang sama iaitu sesuatu hal yang
membawa makna tertentu selain daripada realiti. Istilah spiritual dalam realiti dapat
dikenalpasti melalui fizikal atau mental, atau kedua-duanya sekali. Separuh daripada ahli-ahli
kontemporari mengaitkan istilah tersebut hanya kepada hal-hal agama. Walau bagaimanapun,
mereka mengambil kira kata dan makna disebalik ‘pars pra toto’4. Stern menjelaskan bahawa
istilah ‘spiritual’ membawa maksud yang lebih luas dan lebih mendalam daripada istilah
‘agama’. Di samping itu, beliau menegaskan bahawa tidak semua hal-hal keagamaan adalah
bersifat spiritual.
Pelukis Sabah
Negeri Sabah merupakan negeri yang berkitar dalam suasana penduduk yang berbilang
bangsa dan agama. Norma-norma sensitif seperti bangsa dan agama secara langsung berkait
rapat dengan unsur spiritual sebagai contoh etnik Brunei, Bajau dan Idahan yang menganut
agama Islam, etnik Kadazan, Dusun dan Murut rata-ratanya menjadi penganut agama
Kristian. Konteks spiritual bukan hanya tertumpu pada agama tetapi juga pada kepercayaan
adat resam. Animisme merupakan salah satu daripada pecahan unsur spiritual. Etnik-etnik
yang masih menetap di kawasan pedalaman masih mengamalkan kepercayaan kepada alam.
Hal ini membuktikan bahawa spiritual menjadi satu aspek penting dalam karya catan di
negeri Sabah.
Seni catan yang kian berkembang seantero dunia turut memberi tempias kepada
negeri Sabah. Perkembangan seni catan air Sabah dapat dikenalpasti seawal era 40-an. Datuk
Simon C. Yew (rujuk Gambar 1) merupakan salah seorang pelopor seni catan di Sabah.
Karya-karya beliau pada ketika itu dipersembahkan menggunakan cat air sebagai media
utama. Evolusi catan di Sabah dipelopori oleh Allahyarham Datuk Mohammed Yaman Hj.
Ahmad Mus (rujuk Gambar 2) yang merupakan pengasas Balai Seni Lukis Sabah. Perubahan
susur galur seni catan di Sabah yang telah dibimbing oleh beliau dan telah melahirkan
beberapa pelukis kontemporari seperti Datu Ruslan Sulai (rujuk Gambar 3), Zaimie Sahibil
(rujuk Gambar 4) dan Awang Damit Ahmad (rujuk Gambar 5). Pelbagai unsur yang telah
diketengahkan oleh para pelukis Sabah khususnya unsur budaya, tradisi dan kepercayaan.
Galakan daripada Balai Seni Lukis Sabah telah mengukuhkan lagi industri seni catan di
Sabah (Ismail Ibrahim, 2005: 71).
4 Sesuatu aspek terhadap sesuatu yang di ambil kira sebagai wakil kepada hal keseluruhannya
260
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Gambar 1: Kampung Mengkabong, Simon C. Yew, 1955, Cat Air
Sumber: Ismail Hj. Ibrahim. 2005. Sejarah Seni Lukis Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia
Sabah
Gambar 2: Ilusi Dimensi, Mohd. Yaman Ahmad Mus, 1994, 76cm x 102cm, Akrilik
Sumber: Ismail Hj. Ibrahim. 2005. Sejarah Seni Lukis Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia
Sabah
Pertandingan Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) yang dianjurkan oleh
Balai Seni Lukis Sabah pada setiap tahun telah menonjolkan beberapa orang artis yang
berpotensi. Pelbagai jenis karya yang dihantar untuk dipertandingkan terutamanya seni catan.
Subjek-subjek yang menjadi subject matter5 sebagai inti di dalam karya diadaptasi daripada
suasana sekeliling. Para pelukis kebanyakannya mengetengahkan cerita rakyat, adat resam,
ritual dan keunikan etnik masing-masing. Hal ini merupakan salah satu cara pelukis
memperkenalkan adat dan budaya.
5 Hal Benda
261
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Gambar 3: Semangat Padi di Lereng Kinabalu, Datu Ruslan Sulai, 1986, 76cm x 102cm, Cat
Minyak
Sumber: Ismail Hj. Ibrahim. 2005. Sejarah Seni Lukis Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia
Sabah
Gambar 4: Penari-penari dari Borneo, Zaimie Sahibil, 1997, 76cm x 102cm, Media Campuran
Sumber: Ismail Hj. Ibrahim. 2005. Sejarah Seni Lukis Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia
Sabah
Gambar 5: Alun Alun Kemarista, Awang Damit Ahmad, 120cm x 120cm. Cat Minyak
262
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Sumber:
https://www.mutualart.com/Artwork/Alun-Alun-Kemarista/AD61D6631EE86DAF
Etnik Murut diidentitikan dengan tarian Mangunatip, etnik Brunei diidentitikan
dengan gambus, etnik Kadazan-Dusun diidentitikan dengan semangat padi, etnik Bajau
diidentitikan dengan kuda. Identiti budaya pada etnik masing-masing menunjukkan
terjemahan daripada fahaman dan kepercayaan. Walau bagaimanapun, tidak semua pelukis
menjadikan budaya sebagai teras dalam berkarya. Beberapa pelukis veteran seperti Hassan
Majin dan Awang Damit Ahmad mengambil unsur spiritual dalam konteks agama sebagai hal
benda di dalam karya. Interprestasi daripada khalayak seni terhadap karya-karya seperti ini
semestinya menjadi kekangan. Audiens seringkali menterjemah sesebuah karya berdasarkan
pengalaman dan pemikiran sendiri. Perkara tersebut tidak dapat dihalang kerana tidak semua
manusia dapat menginterprestasi hasil seni dengan baik. Penyampaian daripada pelukis
seharusnya diteliti dan diamati berpandukan penerangan artis itu sendiri.
Teori Ikonografi Panofsky
Pengkaji akan menganalis imej-imej dalam catan yang telah dipilih menggunakan teori
ikonografi Panofsky. Teori ini dapat diklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu pra-
ikonografi, analisis ikonografi dan interpretasi ikonologikal (rujuk Gambar 6). Tahap pertama
iaitu ‘pra-ikonografi’ merupakan proses mengenal pasti ikon-ikon atau imej yang dapat
dilihat di dalam karya. Imej tersebut dianalis menggunakan analisis formalistik seni. Pengkaji
perlu melakukan huraian visual. Tahap kedua dikenali sebagai ‘analisis ikonografi’. Pengkaji
akan mengenal pasti karakter atau perwatakan yang wujud dalam imej-imej tersebut.
Seterusnya pada tahap ketiga iaitu ‘interpretasi ikonologikal’, pengkaji akan mengkaji
maksud atau makna disebalik imej (rujuk Gambar 7). Maksud tersebut akan dititikberatkan
melalui zaman, punca, pelukis yang menghasilkannya dan sebagainya (Erwin Panofsky,
1955).
Iconography is that branch of the history of art which concerns itself with the
subject matter or meaning of works of art, as opposed to their form... (Erwin
Panofsky, 1955: 26)
Ikonografi merupakan cabang daripada sejarah seni yang menitikberatkan hal benda
atau makna dalam sesebuah karya seni. (Erwin Panofsky, 1955: 26). Teori ikonografi yang
diketengahkan oleh Erwin Panofsky terbahagi kepada tiga tahap penilaian.
1. Primary or natural subject matter – Tahap Pertama
Primary of natural subject matter, subdivided into factual and expressional. It is
apprehended by identifying pure forms, that is: certain configurations of line and
color, or certain peculiarly shaped lumps of bronze or stone, as representations of
natural objects such as human beings, animals, plants, houses, tools and so forth;
by identifying their mutual relations as events; and by perceiving such
expressional qualities as the mournful character of a pose or gesture, or the
homelike and peaceful atmosphere of an interior... (Erwin Panofsky, 1955: 28)
Panofsky (1955) menggariskan jenis makna pada tahap pertama sebagai primary atau
natural subject matter. Tahap ini dimulakan dengan maksud formal sebagai contoh garisan,
263
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
warna dan jumlah. Secara teori, tidak ada interpretasi yang dilakukan pada tahap ini. Walau
bagaimanapun, hal ini adalah mustahil bagi manusia. Pengenalpastian terhadap ‘object’ dan
‘events’ dikenali sebagai factual meaning dan expressional meaning. Factual meaning
merupakan pengenalpastian terhadap data visual (objek yang diketahui) melalui pengalaman
manakala expressional meaning pula merujuk pada rasa yang lahir melalui factual
expression. Secara ringkasnya, factual meaning merujuk pada visual atau sesuatu yang dapat
dilihat dan expressional meaning merujuk pada sensitiviti terhadap psikologi yang lahir
daripada proses penglihatan tersebut (Hasenmueller, 1978). Bentuk yang telah dikenalpasti
dikenali sebagai ‘artistic motif’. Kajian terhadap pengenalpastian motif-motif ini diistilahkan
sebagai deskripsi pra-ikonografi.
Tahap makna yang diselaraskan dengan ‘deskripsi pra-ikonografi’ mengetengahkan
pengenalpastian terhadap bentuk atau ‘pure forms’ (Panofsky, 1955). Analisis pada tahap ini
merangkumi penerimaan sesebuah bentuk dalam karya seni sebagai pembawa kepada makna
primary atau natural. Hal ini merupakan asas pada pemahaman karya.
I recognize in it a meaning which may be called secondary or conventional; it
differs from the primary or natural one in that it is intelligible instead of being
sensible,… (Erwin Panofsky, 1955: 27)
Menurut Panofsky, makna daripada tahap deskripsi pra-ikonografi merupakan makna
yang dapat dirasa. Selain itu, aplikasi pada tahap ini juga memerlukan petunjuk atau guide
oleh prinsip-prinsip yang betul. Deskripsi pra-ikonografi harus dikawal melalui pemahaman
terhadap objek dan kejadian yang digambarkan oleh motif artistik dalam sebuah historical
period. Hal ini dilabel sebagai ‘history of style’. (Hasenmueller, 1978)
2. Secondary or conventional subject matter – Tahap kedua
Secondary or conventional subject matter. It is apprehended by realizing that a
male figure with a knife represents St. Bartholomew, that a female figure with a
peach in her hand is a personification of veracity, that a group of figures seated at
a dinner table in a certain arrangement and in certain poses represents the Last
Supper, or that two figures fighting each other in a certain manner represent the
Combat of Vice and Virtue. In doing this we connect artistic motifs and
combinations of artistic motifs (compositions) with themes or concepts. Motifs thus
recognized as carriers of a secondary or conventional meaning may be called
images, and combinations of images are what the ancient theorists of art called
invenzioni; we are wont to call them stories and allegories.… (Erwin Panofsky,
1955: 28-29)
Panofsky (1955) meletakkan jenis makna kedua sebagai secondary atau conventional
meaning. Makna ini dapat diterangkan melalui pengenalpastian terhadap motif artistik. Hal
ini berasaskan pada ilmu atau sumber. Berbeza dengan tahap pertama, Panofsky menyatakan
bahawa tahap kedua ini merupakan sesuatu yang bersifat ‘intellingible’ atau boleh difahami.
Interpretasi awal terhadap motif artistik daripada tahap pertama dikenali sebagai analisis
ikonografi. Analisis ini merupakan satu proses interpretasi intelektual. Pengenalpastian motif
artistik dirujuk melalui tema dan konsep yang berkaitan dan mungkin juga dirujuk melalui
pengalaman visual. Kombinasi antara motif artistik dalam karya dikenali sebagai komposisi
dan komposisi tersebut dikaitkan dengan tema dan konsep. Perkaitan antara tema dan konsep
dengan motif artistik diistilahkan sebagai ‘images’. Seterusnya, gabungan atau kombinasi
antara ‘images’ membawa pada sesebuah penceritaan atau ‘allegories’ (Panofsky: 1955). Hal
264
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
ini merupakan asas kepada analisis ikonografi. Secara ringkasnya, sesebuah ‘image’ dalam
karya harus dilihat melalui rujukan-rujukan terhadap fenomena dan peristiwa di luar karya.
Tahap ini mengambil kira dua hal iaitu aksi dan situasi serta ‘conventional gesture’
(Hasenmueller, 1978). Perwakilan membawa maksud terhadap bentuk yang diwakilkan.
Tema dan konsep yang telah dikaitkan dengan objek dan kejadian dilabel sebagai ‘history of
types’.
3. Intrinsic meaning – Tahap Ketiga
Intrinsic meaning or content. It is apprehended by ascertaining those underlying
principles which reveal the basic attitude of a nation, a period, a class, a religious
or philosophical persuasion-qualified by one personality and condensed into one
work. Needless to say, these principles are manifested by, and therefore throw
light on, both "compositional methods" and "iconographical significance…( Erwin
Panofsky, 1955: 29)
Panofsky (1955) menyatakan bahawa makna pada tahap ketiga ini merupakan makna
yang paling penting. Tahap ini adalah ‘essential’ manakala dua tahap sebelumnya adalah
‘phenomenal’. Tahap ini melibatkan analog tentang makna kepada makna yang lebih penting.
‘Underlying principle’ wujud dalam makna yang ketiga ini. Proses interpretasi prinsip-
prinsip yang tersembunyi tersebut dikenali sebagai interpretasi ikonologi. Walau
bagaimanapun, prinsip-prinsip tersebut tidak boleh didirikan berdasarkan sebahagian
daripada manifestasi di dalam sesebuah karya (Hasenmueller, 1978). Menurut Panofsky
(1995) lagi, pencerahan terhadap makna dalam proses ini menjadi ‘symptom’ atau ‘reflection’
di luar karya dan ia dikenali sebagai ‘symbolical values’. Nilai-nilai simbolik tersebut ditemui
oleh para ilmuan melalui proses ‘synthetic intuituion’. Analisis ikonografi dalam kesedaran
yang lebih dalam diertikan sebagai kajian terhadap makna intrinsik dalam seni dan
kemudiannya hal ini dirujuk sebagai ikonologi.
For as the suffix "graphy" denotes something descriptive, so does the suffix
"logy" derived from logos, which means "thought" or "reason** denote
something interpretative. "Ethnology," for instance, is defined as a "science of
human races" by the same Oxford Dictionary that defines "ethnography" as a
"description of human races,… (Erwin Panofsky, 1955: 32)
Panofsky (1955: 32) menyatakan bahawa kata akhiran ‘graphy’ memberi gambaran
yang berbentuk deskriptif manakala kata akhiran ‘logy’ lahir dari kata logos yang bermaksud
pelajaran atau sebab. Kata ‘logy’ secara langsung memberi gambaran yang berbentuk
tafsiran. Beliau memberikan istilah ‘etnology’ yang didefinisikan sebagai sains tentang
bangsa manusia sebagai contoh. Berbeza dengan definisi sebelumnya, ‘etnography’ dapat
didefinisikan sebagai deskripsi tentang bangsa manusia. Defisini tersebut berlandaskan
rujukan beliau pada Oxford Dictionary. Menurut Panofsky (1955) lagi, Webster memberi
penegasan terhadap kekeliruan antara dua istilah tersebut.
..and Webster explicitly warns against a confusion of the two terms inasmuch
as "ethnography is properly restricted to the purely descriptive treatment of
peoples and races while ethnology denotes their comparative study”...( Erwin
Panofsky, 1955: 32)
265
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Webster menggariskan bahawa etnografi dihadkan pada deskripsi berkaitan manusia
dan bangsa manakala etnologi melambangkan kajian bandingan. Panofsky (1955: 32)
menegaskan bahawa ikonologi adalah ikonografi yang bersifat tafsiran. Hal ini bukan sahaja
memainkan peranan untuk membuat kaji selidik awal, tetapi juga menjadi salah satu aspek
penting dalam pengajian ilmu seni. Beliau memberi pengakuan bahawa definisi kata akhiran
pada ikonologi mungkin tidak akan dianggap seperti etnologi dan etnografi tetapi lebih
kepada astrologi dan astrografi.
Ikonologi merupakan satu langkah interpretasi yang lebih dibangunkan daripada
sintesis, bukan analisis. Pengenalpastian yang tepat terhadap motif berlandaskan pada analisis
ikonografi yang tepat. Analisis ‘image’ yang tepat pula membawa kepada interpretasi
ikonologi yang tepat. Walau bagaimana pun, hal ini tidak akan diperoleh jika secondary atau
conventional subject matter disingkirkan. Langkah interpretasi akan secara langsung merujuk
pada motif dan makna seperti karya-karya landskap Eropah, still-life dan ‘non-objective art’.
Gambar 6: Tahap teori ikonografi Panofsky
Sumber: Panofsky (1955) dan diubahsuai menggunakan perisian Photoshop CS6
266
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Gambar 7: Cara dan prinsip interpretasi karya mengikut teori ikonografi Panofsky
Sumber: Panofsky (1955) dan diubahsuai menggunakan perisian Photoshop CS6
Analisis Karya Pelukis Sabah Sabrina Majuakim
Gambar 8: The Emperor, Sabrina Majuakim, 2006, 51cm x 50cm, Cat minyak
267
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Sumber: Wan Azlindah Wan Daud sebagai Kurator Pameran. 2007. Rencana Katalog Pameran
Solo Sabrina Majuakim: Tarot of The Fallen Ones. Kota Kinabalu: Balai Seni Lukis Sabah
1. Deskripsi Pra-Ikonografi
Tahap deskripsi pra-ikonografi pada karya menunjukkan satu figura (rujuk Gambar 8) seakan
tubuh manusia sedang duduk disebuah kerusi. Figura tersebut mengenakan selendang
berwarna merah dan berpakaian serba hitam. Pada bahagian kaki figura tersebut terlihat duri-
duri yang mencanak keluar. Figura tersebut juga mempunyai empat tanduk serta warna wajah
yang putih. Bahagian mata pada wajah figura berwarna gelap. Pakaian figura adalah pakaian
zaman medieval. Figura sedang memegang sebuah tongkat hijau yang menyerupai ular.
Kerusi tempat figura duduk dan bersandar dipenuhi dengan ular berwarna hijau dan kerusi
tersebut kelihatan seperti diperbuat daripada konkrit. Figura tersebut sedang diapit oleh dua
bentuk pada sebelah kiri dan kanan. Bentuk tersebut mempunyai ciri yang serupa iaitu
berwarna kelabu, mempunyai mata dan muka yang hitam. Tempat duduk figura terlihat dua
bentuk wajah yang bertanduk. Mata pada wajah tersebut berwarna hitam dan diselaputi warna
merah. Mulut pada wajah tersebut ternganga dan diselaputi warna merah. Warna latar pada
karya merupakan warna suram iaitu gabungan merah, kuning dan hitam. Prinsip
keseimbangan simetri dapat dilihat, sebuah figura berada di tengah-tengah karya. Warna yang
digunakan adalah warna sejuk dan hue warna yang diaplikasikan adalah hue gelap. Warna
hijau pada kerusi menjadi kontra dalam warna. Kadar banding pada figura menunjukkan
tubuh badan manusia yang hampir sempurna.
2. Analisis Ikonografi
Tahap ini merupakan tahap kedua dan akan membincangkan mengenai sumber-sumber atau
perkaitan imej-imej atau komposisi yang wujud dalam karya. Keseluruhan karya menyerupai
komposisi yang wujud pada kad Tarot yang digunakan untuk menilik nasib. Keseluruhan kad
Tarot yang berjumlah 78 dan masing-masing kad membawa tafsiran yang berbeza. The
Emperor merupakan salah satu kad dalam Tarot (rujuk Gambar 9). Menurut Dummett dalam
penulisan Juliette Wood (1998), kad Tarot berasal daripada Eropah pada abad ke-15.
Gambar 9: Ilustrasi kad Tarot ‘The Emperor’
Gambar 10: Ilustrasi Baphomet oleh Eliphas
Levi
268
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Sumber:
https://www.biddytarot.com/tarot-card-
meanings/major-arcana/emperor/
Sumber:
https://freethoughtblogs.com/atg/2017/01/19/its-
tough-work-being-baphomet-you-know/
Figura tersebut mempunyai perkaitan dengan ilustrasi syaitan. Hal tersebut dapat
dibuktikan melalui tanduk yang mencanak naik. Ilustrasi Baphomet6 yang menunjukkan
figura manusia berkepala kambing dengan tanduk yang tajam mencanak (rujuk Gambar 10).
Menurut James Morgan (2015), ilustrasi tersebut dihasilkan oleh Eliphas Levi dalam buku
beliau bertajuk Transcendental Magic: Its Doctrine and Ritual. Eliphas Levi merupakan
seorang okultis berbangsa Perancis.
Kostum atau pakaian pada figura tersebut menunjukkan pakaian pada era Medieval.
Kostum tersebut merupakan kostum yang mempunyai perkaitan dengan pahlawan dan raja.
Selendang berwarna merah diselit pada kedua-dua bahu merupakan kostum yang seringkali
digunakan oleh raja pada zaman itu manakala kasut yang berduri menunjukkan bahawa figura
tersebut mempunyai sifat kepahlawanan (rujuk Gambar 11 & 12).
Gambar 11: Raja Clovis I7
Gambar 12: Raja Childeric I8
Sumber:
https://www.findagrave.com/cgi-
bin/fg.cgi?page=gr&GRid=94481382
Sumber:
http://modernmedievalism.blogspot.my/2012/10/scissors-
or-sword-why-medieval-men.html
Wajah berwarna putih pada figura tersebut merupakan simbolik kepada syaitan atau
kejahatan. Hal ini diistilahkan sebagai corpse paint (rujuk Gambar 13). Corpse paint
dipopularkan oleh genre muzik black metal pada sekitar tahun 1980-an. Genre ini
menerapkan unsur-unsur penyembahan kepada syaitan dalam lirik lagu dan
mempersembahkan gaya muzik yang keras serta laju. Corpse paint dapat diertikan sebagai
solekan yang dapat dihasilkan menggunakan pelbagai alat solek. Seterusnya, corpse paint
merupakan adaptasi daripada wajah mayat yang pucat dan kusam. Warna hitam yang diselit
6 Baphomet merupakan satu ilustrasi manusia berkepala kambing yang sering digunakan dalam ritual okultis. 7 Raja Clovis I merupakan seorang raja kepada kaum Frank dan penguasa Merovingians. Memerintah daripada tahun 481-
511 masihi. 8 Raja Childeric I merupakan raja kepada kaum Salian Frank dan pemerintah Merovingians daripada tahun 457-481 masihi.
269
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
pada sebahagian muka menunjukkan kontra dan menimbulkan ekspresi yang ‘jahat’ atau
‘menyeramkan’. Corpse paint dapat dikaitkan dengan black metal dan seringkali difahamkan
sebagai sebuah gaya solekan. Gaya solekan ini bertujuan untuk menimbulkan kesan tubuh
manusia yang seakan mereput serta menonjolkan kesan seperti ‘kejahatan’ dan ‘representasi
terhadap syaitan’ (Jeremy Ulrey, 2016).
Gambar 13: Corpse paint pada wajah ahli kugiran King Diamond
Sumber: http://www.lazerhorse.org/2014/10/19/best-corpse-paint-ever/
Tongkat yang menyerupai ular mempunyai perkaitan dengan sifat ular itu sendiri.
Ular seringkali dikaitkan dengan bisa dan mempunyai kebolehan untuk membelit dan
menyelit dalam ruang-ruang yang kecil. Secara umumnya, ular dapat memanjangkan
badannya dan dapat beradaptasi dengan persekitaran yang bersifat arboreal9 (H. B.
Lillywhite, J. R. LaFrentz, Y. C. Lin dan M. C. Tu, 2000). Badan ular yang mudah lentur dan
fleksibel membolehkannya untuk menyelinap dalam ruang yang sempit. Hal ini dapat
dibuktikan melalui spesies ular yang berwarna hijau. Ular hijau yang dikenali sebagai ular
daun sering menyelit di antara dahan-dahan kecil. Bisa pada ular pula disalurkan melalui
taring yang tajam (rujuk Gambar 14). Taring tersebut merupakan senjata utama bagi ular.
Reptilia unik ini dapat diklasifikasikan kepada pelbagai jenis. Imej tongkat yang menyerupai
ular tedung merupakan antara spesies ular yang paling berbahaya sehingga diberi jolokan
sebagai ‘King Cobra’ kerana memiliki bisa yang kuat dan boleh membawa maut (rujuk
Gambar 15).
Gambar 14: Lekuk pada badan ular serta taring
Gambar 15: Ular tedung
Sumber: Sumber: http://www.wftv.com/news/trending-
9 Persekitaran pokok
270
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
http://www.epicadamwildlife.com/2016/01/15/gian
t-snake-myths/
now/watch-king-cobra-drinks-from-mans-
water-bottle-reports-say/507585141
Kerusi yang menjadi tempat duduk figura tersebut diterapkan menggunakan warna
yang menyerupai konkrit. Konkrit merupakan bahan binaan asas yang bersifat keras, tahan
dan mampat. Pada kiri dan kanan tersebut dapat dilihat dua wajah bertanduk yang membawa
ekspresi seakan-akan keperitan dan kesakitan. Wajah tersebut seakan-akan topeng. Ekspresi
tersebut dapat dilihat ketika seseorang sedang menjerit kesakitan. Selain itu, ekspresi wajah
tersebut disertai dengan calitan warna merah yang menurun seakan-akan manusia yang
muntah darah. Mata pada wajah tersebut dipalit dengan warna hitam yang menunjukkan
kesedihan. Palitan hitam yang menurun menunjukkan bahawa wajah tersebut sedang
menangis.
Bentuk yang mengapit kiri dan kanan figura menunjukkan satu makhluk yang besar.
Komposisi yang berada pada kiri dan kanan merupakan konsep perlindungan. Dua bentuk
tersebut sedang mengawal atau melindungi figura yang berada di tengah. Wajah bentuk
tersebut berwarna hitam dengan dua mata yang menonjol. Bentuk pada sebelah kiri memiliki
mata berwarna merah dan bentuk pada sebelah kanan memiliki mata berwarna kuning. Mata
tersebut menunjukkan bahawa bentuk itu bukan manusia kerana manusia mempunyai anak
mata yang berwarna hitam, hijau, biru dan coklat. Walau bagaimanapun, dalam konteks
manusia, mata kuning dan merah masing-masing dapat dikaitkan dengan penyakit. Mata
merah menunjukkan mata yang sedang sakit akibat terkena asap manakala mata berwarna
kuning pula menunjukkan bahawa hati seseorang tidak berfungsi dengan betul (rujuk Gambar
16). Mata berwarna merah juga dapat dikaitkan dengan ganja (rujuk Gambar 17). Ganja
merupakan tumbuhan yang mampu mempengaruhi otak dan mempunyai potensi untuk
mengkhayalkan manusia. Viral conjunctivitis adalah salah satu penyakit pada mata dan ianya
disebabkan oleh adenovirus10 (A. R. Elkington dan P. T. Khaw, 1988).
Gambar 16: Putih mata berubah kekuningan kerana
kegagalan hati berfungsi dengan baik.
Gambar 17: Mata yang merwarna merah
kerana menghisap ‘ganja’.
Sumber:
http://www.medicalnewstoday.com/articles/312403.php
Sumber: http://rebloggy.com/post/pretty-
smoke-eye-stone-red-eyes-smoke-weed-
everyday-green-eye-kiffen/73761392870
10 Sekumpulan virus yang berupaya untuk menyebabkan jangkitan kepada paru-paru, perut, usus dan mata. Simptom serupa
dengan simptom demam. Sumber: http://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=8698, diakses pada 20 Julai
2017, 11:46am.
271
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
3. Intepretasi Ikonologi
Pada tahap ketiga dan terakhir ini, pengkaji akan menyingkap mesej yang ingin disampaikan
oleh pengkarya menerusi hasil catan yang bertajuk ‘The Emperor’. Menurut pelukis11, figura
dalam catan tersebut dapat dirujuk sebagai ‘Lucifer’ iaitu malaikat yang telah diturunkan ke
dunia oleh Tuhan menurut fahaman agama Kristian. Peristiwa ini terjadi berikutan
kemurkaan Tuhan. Hal ini dapat dilihat pada Bible (New International Version):
Your heart became proud on account of your beauty, and you corrupted your
wisdom because of your splendor. So I threw you to the earth; I made a spectacle
of you before kings. (Ezekiel 28:17)
Menurut fahaman agama Kristian, Lucifer diturunkan ke bumi kerana telah bangga
dengan diri dan kebijaksanaannya sehingga dia merasakan bahawa dia berhak untuk memiliki
takhta Tuhan. Hal ini juga dapat dilihat pada Bible:
How you are fallen from heaven, O Day Star, son of Dawn! How you are cut
down to the ground, you who laid the nations low! You said in your heart, ‘I will
ascend to heaven; I will raise my throne above the stars of God; I will sit on the
mount of assembly on the heights of Zaphon; I will ascend to the tops of the
clouds, I will make myself like the Most High’ (Isaiah 14:12-14).
Walau bagaimanapun, hal ini merupakan tafsir daripada ayat di atas. Isaiah 14:12-14
ditujukan pada seorang raja Babylon dan ayat tersebut sebagai metafora kepada Lucifer.
Figura tersebut sedang duduk di sebuah kerusi yang kukuh menunjukkan bahawa ‘dia’
sedang berada di takhta. Pakaian seakan raja menandakan bahawa figura tersebut memiliki
kuasa serupa raja. Raja dalam konteks tafsiran ini merujuk pada Tuhan. Selain itu, pakaian
seperti pahlawan tersebut menunjukkan bahawa Lucifer bersedia untuk berlawan. Perlawanan
tersebut merupakan perlawanan dengan manusia. Lucifer berusaha melawan manusia agar
tidak mengikut ajaran Tuhan. Tongkat menyerupai ular tedung yang dipegang oleh figura
tersebut menunjukkan satu pegangan. Pegangan tersebut merupakan deception, seperti sifat
ular yang mahir dalam membelit dan menyelit. Dalam erti kata lain, Lucifer mempunyai sifat
yang sangat gemar memutar belit manusia sehinggakan lupa kepada Tuhan. Ular tedung yang
mempunyai bisa yang sangat kuat merupakan simbolik kepada putar belit Lucifer yang amat
kuat dalam menyesatkan umat manusia. Lucifer yang bersandar pada kerusi yang dipenuhi
dengan ular melambangkan kehidupannya yang disandarkan pada penipuan dan kesesatan
manusia. Hal ini dapat dilihat pada Bible (New International Version):
You belong to your father, the devil, and you want to carry out your father's
desires. He was a murderer from the beginning, not holding to the truth, for there
is no truth in him. When he lies, he speaks his native language, for he is a liar and
the father of lies. (John 8:44)
Menyesatkan manusia menjadi tunggak kehidupan Lucifer dan jumlah ular yang
banyak tersebut melambangkan manusia-manusia yang telah disesatkannya. Dua wajah pada
kiri dan kanan figura tersebut menunjukkan para pendosa. Ekspresi dalam keperitan dan
kesedihan itu menunjukkan bahawa mereka sedang dalam penyesalan kerana tidak mengikuti
ajaran Tuhan malah terus diperdaya oleh Lucifer. Warna merah yang keluar daripada mulut
wajah tersebut pula melambangkan perkara yang telah mereka lakukan dan kini perkara-
perkara tersebut menyebabkan mereka diseksa. Dua bentuk pada kiri dan kanan Lucifer pula
11Sabrina Majuakim. 36 tahun. Temu bual dijalankan di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. Pelukis ‘The Emperor’. 12 Julai 2017.
272
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
merujuk pada syaitan-syaitan yang sentiasa melindungi Lucifer. Apitan pada kiri dan kanan
juga menunjukkan bahawa makhluk tersebut sentiasa dekat dengan Lucifer dan hal ini secara
langsung menyatakan bahawa makhluk tersebut turut membantu dalam menyesatkan
manusia. Hal ini dapat disokong pada mata yang berwarna merah dan kuning. Warna merah
dan kuning pada mata manusia menunjukkan penyakit dan penyakit dalam konteks tafsiran
ini merujuk pada kesesatan manusia daripada ajaran Tuhan yang benar. Warna latar pada
karya pula merupakan gabungan merah, kuning dan hitam yang melambangkan api. Api
tersebut menunjukkan bahawa Lucifer sedang bertakhta di dalam neraka. Secara keseluruhan,
karya tersebut menyampaikan mesej yang berbau peringatan. Pernyataan ini disokong oleh
pelukis karya tersebut. Sabrina Majuakim yang merupakan seorang penganut Kristian Katolik
menyatakan bahawa karya ini bertujuan sebagai amaran kepada umat manusia. Lucifer akan
menyesatkan manusia sehingga manusia tersebut masuk ke neraka dan berada dalam
penyesalan. Menurut pelukis lagi, istilah para pendosa merujuk pada manusia yang
mempunyai pilihan hidup tetapi tetap memilih untuk tidak menyanjung Tuhan. Mereka-
mereka yang mempunyai peluang untuk berpatah balik ke jalan yang benar tetapi sebaliknya
mereka terus dibelenggu tipu daya syaitan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, pelukis Sabrina Majuakim mewakili pelukis Sabah nyata menyelitkan
unsur spiritual dalam karya. Hal ini menerangkan bahawa tidak semua pelukis di Sabah
mengambil hal benda yang berkaitan dengan negeri makmur ini. Teori ikonografi Panofsky
adalah sangat berkesan dalam mentafsir karya-karya yang penuh dengan simbolisme.
Perkaitan sesebuah imej dalam karya dapat diterangkan dengan jelas dan teratur serta dapat
menghasilkan satu tafsiran yang hampir tepat. Pengaplikasian teori ikonografi dalam
interpretasi karya dapat menyingkap maksud di sebaliknya. Secara umum, tidak semua karya
seni berkomunikasi secara terus dengan audiens. Terdapat karya-karya tertentu yang
memerlukan pengamatan dan pemahaman yang baik dan peka. Unsur metafora dalam karya
seringkali membuatkan khalayak seni menyalah tafsir sesebuah karya tersebut. Khalayak
diharap agar terus berusaha untuk mengamati karya seni supaya dapat menerima mesej dan
pesanan yang telah diselitkan dalam karya. Hal ini demikian kerana audiens mempunyai
persepsi dan interpretasi yang berbeza.
Bibliografi
Alfred Stern. 1965. What Are Spiritual Phenomena? Proceedings and Addresses of the
American Philosophical Association, 39, 43-59.
A. R. Elkington dan P. T. Khaw. 1988. The Red Eye. British Medical Journal (Clinical
Research Edition), 296 (6638), 1720-1724.
Census data revisited (n.d.). Diakses pada 19 Julai 2017. Diambil daripada rangkaian web All
About God, http://www.allaboutgod.com/story-of-lucifer.htm.
Census data revisited (n.d.). Diakses pada 20 Julai 2017. Diambil daripada rangkaian web
Bible, http://biblehub.com/
273
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2018)
Christine Hasenmueller. (1978). Panofsky, Iconography and Semiotics. The Journal of
Aesthetics and Art Criticism, 36 (3), 289-301.
Donald Capps. 2011. A Spiritual Person. Journal of Religion and Health. 50 (2), 313-320.
Erwin Panofsky. 1955. Meanings In The Visual Art: Papers in and on Art History. New
York: Doubleday & Company, Inc.
H. B. Lillywhite, J. R. LaFrentz, Y. C. Lin dan M. C. Tu. 2000. The Cantilever Abilities of
Snakes. Journal of Herpetology, 34 (4), 523-528.
Ismail Hj. Ibrahim. 2005. Sejarah Seni Lukis Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia
Sabah.
James Morgan. 2015. Decoding the Symboles On Satan’s Statue, diambil daripada
http://www.bbc.com/news/magazine-33682878. Diakses pada 1.37pm, 19 Julai 2017.
Jeremy Ulrey. 2015. A Visual History of Corpse Paint, diambil daripada
http://www.metalinjection.net/black-metal-chronicles/black-metal-history-month/an-
illustrated-history-of-corpse-paint, Diakses pada 3.00pm, 19 Julai 2017.
Juliette Wood. 1998. The Celtic Tarot and the Secret Tradition: A Study in Modern Legend
Making. 109, 15-24.
Maya Spencer. 2012. What is Spirituality: A Personal Exploration. Royal College of
Psychiatrists.
Meredith Monk dan Bonnie Marranca. 2009. Performance and the Spiritual Life. A Journal
of Performance and Art, 31 (1), 16-36.
Paul R. Powers. 2004. Interiors, Intentions and the ‘Spirituality’ of Islamic Ritual Practice.
Journal of The American Academy of Religion, 72 (2), 425-259.
Penny Long Marler dan C. Kirk Hadaway. 2002. ‘Being Religious’ or ‘Being Spiritual’ in
America: A Zero-Sum Proposition? Journal for the Scientific Study of Religion, 41
(2), 289-300.
Richard L. Weddige. 1994. Spiritual and Psychotherapeutic Aspects. Journal of Religion and
Health, 33 (3), 253-258.
Wan Azlindah Wan Daud sebagai Kurator Pameran. 2007. Rencana Katalog Pameran Solo
Sabrina Majuakim: Tarot of The Fallen Ones . Kota Kinabalu: Balai Seni Lukis
Sabah.