tugasan 2 kenegaraan melaka -mohd. ameri
TRANSCRIPT
1
PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU
( PPG )
PENGAJIAN JARAK JAUH ( PJJ )
HNS 2013 - KENEGARAAN NAMA :
MOHD. AMERI BIN MAT SAAT
NO MATRIK UPSI :
D20102045507
TAJUK TUGASAN 2: Kegemilangan Empayar Melaka melambangkan pencapaian Tamadun Melayu pada
abad ke-15. Bincangkan.
KUMPULAN KULIAH / TEMPAT / MASA :
K 03 / POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH, JITRA, KEDAH / JAM 8.00AM – 01.00 PM
NO. TUGASAN :
SOALAN 3 / TUGASAN INDIVIDU
NO. TEL :
012-4435470 / 019-6173452
NAMA PENSYARAH :
DR. HAJI AHMAD SOHAIMI BIN LAZIM
2
ISI KANDUNGAN
BIL. PERKARA MUKA SURAT
1. Definisi Tamadun 1
2. Salasilah Nama Melaka 1 – 3
3. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka 3
4. Kejayaan Melaka 3 – 4
5. Pengaruh Agama Islam 5 – 7
6. Ekonomi 7 – 10
7. Pentadbiran Dan Perundangan 10 – 12
8. Hubungan Diplomatik / Politik 13 – 15
9. Perkembangan Sosial / Sosiobudaya 15 - 16
10. Kesenian Dan Kemahiran 16 - 20
11. Pendidikan 20 – 21
12. Kesimpulan 21
13. Bibliografi 22
3
HNS 2013 – KENEGARAAN
TUGASAN INDIVIDU ( 20% )
SOALAN 3 : Kegemilangan Empayar Melaka melambangkan pencapaian Tamadun Melayu
pada abad ke-15. Bincangkan.
DEFINISI EMPAYAR DAN TAMADUN
Menurut Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan empayar
bermaksud negeri-negeri ( biasanya luas ) yang di bawah pemerintahan seseorang atau sesebuah
negeri yang berdaulat ( Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005:390 ) manakala tamadun pula
bererti keadaan masyarakat manusia yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan
kebendaan serta perkembangan pemikiran ( sosial, budaya, politik dan lain-lain ) yang tinggi,
peradaban ( Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005:1583 ). Kedua-dua istilah ini amatlah berkait
rapat dengan tajuk tugasan ini iaitu “Keagungan Empayar Melaka melambangkan pencapaian
Tamadun Melayu pada abad ke-15 ”. Mari kita lihat kepada ringkasan sejarah tertubuhnya
kerajaan Negeri Melaka pada awal kurun ke-14.
SALASILAH NAMA MELAKA
Terdapat dua sumber tentang pengasas Kesultanan Melayu Melaka. Menurut catatan
Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires, seorang berbangsa Portugis dan Sejarah Melayu
yang ditulis oleh Tun Sri Lanang, Melaka diasaskan oleh Parameswara. Parameswara adalah
seorang putera raja Palembang iaitu sebuah kerajaan di timur Sumatera (Jasiman Ahmad:2006).
Terdapat pelbagai pendapat tentang asal-usul nama Melaka. Ada pendapat yang menyatakan
nama Melaka diambil sempena nama pokok Melaka. Ini kerana pada suatu hari, Parameswara
yang bersandar pada sebatang pokok terkejut melihat seekor pelanduk menendang seekor anjing
ke dalam sungai. Apabila baginda bertanyakan nama pokok tempat bersandar,baginda diberitahu
bahawa pokok itu ialah pokok Melaka.Oleh itu Parameswara terus menamakan tempat itu
sebagai Melaka ( Nurul Hanim Ismail:2007 ). Mengikut catatan Tom Pires juga,raja yang datang
membuka negeri Melaka ditulis sebagai Paramicura (ahli-ahli sejarah kini telah membetulkan
ejaan namanya kepada Parameswara) beliau adalah raja Palembang yang pada masa itu di bawah
takluk kerajaan Hindu Majapahit (Cheah Boon Kheng:1985).
4
Namun mengikut sumber Arab pula, Melaka berasal daripada perkataan Arab ‘Malakat’
yang bermaksud ‘pasar’. Nama itu dianggap sesuai kerana Melaka adalah sebuah ‘pasar
antarabangsa’ pada abad ke-15 (Jasiman Ahmad : 2006). Pada awalnya Melaka sebuah kampung
nelayan yang dibuka oleh Parameswara pada tahun 1400 (Ahmad Sohaimi Lazim : 2011).
Mengikut laporan Yung-lo Shih Lu (Rekod-rekod Maharaja Ming di China) Parameswara (
Iskandar Syah) dan Megat Iskandar Syah adalah orang yang berlainan. Oleh yang demikian, raja
Melaka yang pertama memeluk Islam ialah Megat Iskandar Syah pada usia baginda 72 tahun dan
bukannya Parameswara (Cheah Boon Kheng:1985) ( W.G.Shellabea : 1896 ). Terdapat juga
persamaan pendapat mengenai perkara tersebut tetapi gelaran bagi anak kepada Parameswara
berlainan sedikit. Petikan ini menerangkan perkara tersebut. “Walaupun Parameswara
menggunakan gelaran Raja Iskandar Syah tetapi baginda tidak memeluk Islam. Sultan Mahkota
Iskandar Syah iaitu putera P arameswara merupakan Sultan Melaka yang pertama memeluk
Islam. Sultan Mahkota Iskandar Syah menjadi Sultan Melaka pada tahun 1414 selepas
kemangkatan ayahanda baginda, Parameswara ( Malaysia Kita : 2007 ).” Selepas memeluk
Islam, baginda menggunakan gelaran Raja Iskandar Syah (Mahayudin Hj.Yahaya : 2001).
Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka pada zaman
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Baginda memerintah dari tahun 1445 hingga tahun 1459.
Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah
Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan
Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera
baginda yang bernama Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi
mewarisi Kesultanan Melaka. Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi
sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan
pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada
negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi
Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai
perdagangan dunia" ( He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice ).
Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju
adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun
5
Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di
Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan
Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang
mempunyai “feng shui” yang terbaik pada masa itu.
KEGEMILANGAN KESULTANAN MELAYU MELAKA
Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan
kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-
kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah
menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan
Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun
Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po
tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.
Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya
kelompok kaum Peranakan iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina
dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya
pada hari ini.Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak
kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar
Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit
kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali
tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.
KEJAYAAN MELAKA
Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baharu menggantikan
Srivijaya pada Abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan
daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai
kuasa besar di Kepulauan Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya,
dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan
mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan
6
menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap
yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk
mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan
infrastruktur yang moden.
Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah
kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan
Melaka. Contoh negeri tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah,
dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai
pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa “berkirim salam” dengan
Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baharu ialah Melaka telah dua
kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang
kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan
Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari
segi perluasan wilayah.
Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat
dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi
pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak
sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka
merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya
kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi
menggerakkan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.
Keagungan Melaka dilihat sebagai sebuah pusat perdagangan, perkembangan agama
Islam, Bahasa Melayu menjadi “lingua franca” berserta tulisan Jawi, keluasan tanah jajahan dan
mempunyai hubungan politik antarabangsa seperti dengan negara China ( Modul HNS 2013
Kenegeraan :2011 )
7
PENGARUH AGAMA ISLAM
Melalui perkembangan agama Islam, ia telah mencatatkan perubahan yang agak besar
dalam aspek agama dan kepercayaan pada zaman tersebut. Zaman sebelum kedatangan agama
Islam bermula dengan kepercayaan agama Hinddu-Buddha hasil pengaruh kerajaan Majapahit
dan Srivijaya. Islam tiba di beberapa kawasan lain di Asia Tenggara lebih awal sebelum ianya
sampai di Melaka. Buktinya ialah penemuan Batu Bersurat Terengganu pada tahun 1303 yang
menandakan Islam telah tiba di situ. Sebelum itu, Islam telah bertapak di Pasai pada kurun ke-13.
Ketika itu, kerajaan Melaka belum lagi ditubuhkan. Berdasarkan catatan buku Nota Lengkap
STPM, Tamadun Islam, Melaka turut menjalankan perluasan kuasa ke kawasan lain seperti
Pahang, Aru, Siak dan sebagainya serta turut menyebarkan Islam di setiap negeri yang
dijajahnya. Di samping itu, Melaka terkenal sebagai sebuah negeri Islam. Dengan pengaruh ini,
kuasa politik dapat dimantapkan dan agama Islam dapat disebarkan (Mahayudin Haji Yahaya :
2001 ).
Buku tersebut juga menyatakan Sultan Mudzaffar Syah ( 1445 – 1459 ) telah menjadikan
agama Islam sebagai agama rasmi negeri Melaka. Pada zaman pemerintahan beliau, agama Islam
telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Hampir seluruh rakyat Melaka telah memeluk
agama Islam ketika itu. Dari Melaka, ajaran agama Islam terus tersebar ke seluruh Empayar
Melayu. Proses penyebaran ini berlaku dalam beberapa cara. Penaklukan negeri –negeri di
Kepulauan Melayu telah memperluaskan lagi kuasa Kerajaan Melaka. Di bawah kepimpinan Tun
Perak, Bendahara Melaka, Islam terus berkembang ke jajahan takluk Kerajaan Melaka. Pada
asalnya, agama Islam telah disebarkan menerusi proses perdagangan. Pengaruh agama ini
bertambah kukuh apabila ramai saudagar Islam berkahwin dengan wanita-wanita tempatan.
Kerajaan Melaka juga telah mengutuskan beberapa orang pendakwah dan Mubaligh Islam ke
Sumatera, Pulau Jawa, Kalimantan dan Filipina untuk menyebarkan agama Islam ( Malaysia Kita
: 2007 )
Kedatangan Islam ke Melaka mendapat sambutan yang menggalakkan oleh Sultan,
pembesar dan juga rakyat Melaka. Peranan terpenting dalam perkembangan Islam di Melaka
dimainkan oleh Sultan. Ada riwayat mengatakan beliau pernah menjemput ulama dan mengajar
8
agama Islam di Melaka. Selain itu, Istana Melaka juga dijadikan tempat untuk menuntut ilmu
tentang agama Islam. Istana juga menjadi tempat penterjemahan ayat-ayat suci Al-Quran dan
juga pengumpulan kitab-kitab agama. Hasil dari pengajaran agama Islam di istana telah
membawa perkembangannya ke surau, madrasah dan juga masjid. Tempat ini seterusnya
menjadi pusat pengajian agama Islam bagi lapisan hamba rakyat di negeri Melaka. Dengan
tersebarnya agama Islam di Melaka telah merubah aspek kepercayaan dan ketuhanan kepada
rakyat Melaka. Ini mencakupi aspek pemikiran, pentadbiran,perundangan dan nilai hidup
masyarakat di Negeri Melaka. Menurut pendapat Van Leur, proses pengislaman di Nusantara
tidak membawa apa-apa perubahan asasi kepada masyarakat ini. Pendapat ini berdasarkan tulisan
Snouck Hurgronje. Walau bagai manapun, pendapat ini disangkal oleh sarjana tempatan iaitu
Syed Naquib al-Attas yakni proses pengislaman di Nusantara menandakan kedatangan zaman
baharu dan permulaan kepada zaman moden sebagaimana pengaruh Islam di Eropah( Mahayudin
Haji Yahaya : 2001 ).
Misalannya, agama Islam telah menjadi agama rasmi di Melaka pada zaman pemerintahan
Sultan Muzaffar Syah (1445-1459). Ketika negeri Melaka di bawah pengaruh agama Hinddu dan
Buddha, pemerintah memakai gelaran “Raja” dan apabila pengaruh Islam telah tersebar di
Melaka, pemerintah Melaka menggunakan gelaran “Sultan”. Semua rakyat di Melaka akan
menggelarkan Sultan mereka sebagai khalifah Allah iaitu sebagai wakil Allah yang diberi
mandat untuk memakmurkan dan mentabdbir alam ini.
Pemerintahan Melaka mengikut lunas pemerintahan Islam terutamanya dalam urusan
pentadbiran. Misalnya Sultan Mansur Syah mengarahkan pembesar berbincang dan bermuafakat
dalam menjalankan tugas mereka. Ini bersesuaian dengan konsep musyawarah yang terkandung
di dalam ajaran Islam.Sultan Alauddin Riayat Syah, mencontohi pentadbiran khalifah Islam
kedua iaitu Sayidina Umar al-Khattab. Pada masa pemerintahan Sayidina Umar, baginda sering
menyamar diri keluar pada waktu malam untuk mengetahui keadaan sebenar umat Islam. Sultan
Alauddin Riayat Syah mencontohi Sayidina Umar untuk membasmi kegiatan mencuri di Melaka.
Ini membuktikan bahawa Melaka telah melaksanakan undang-undang jenayah Islam dalam
pentadbirannya.
9
Kemajuan agama Islam di Melaka dibuktikan lagi apabila turut mempengaruhi undang-
undang Melaka. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah gabungan
hukum adat tempatan dengan undang-undang Syariah dan nilai Islam. Hukum Kanun Melaka
Fasal 30, contohnya menjelaskan tentang hukum dan tatacara berniaga serta barang yang boleh
diperniagakan mengikut cara Islam.Selain itu, terdapat banyak lagi perkembangan dan kemajuan
dari aspek agama Islam di Melaka yang mempengaruhi gaya hidup rakyatnya. Contohnya,
Kalendar Hijrah mula digunakan oleh kerajaan Melaka. Tulisan Arab pula disesuaikan dan
dijadikan tulisan jawi. Contoh yang seterusnya ialah pengajian Al-Quran dijadikan asas dalam
sistem pendidikan masyarakat Melaka. Upacara seperti berkhatam al-Quran, kenduri arwah dan
kesyukuran juga mulai menjadi amalan masyarakat Melaka. Pada abad ke-15, Melaka muncul
sebagai pusat pengajian dan penyebaran agama Islam di Gugusan Kepulauan Melayu ( Malaysia
Kita : 2007 )
EKONOMI
Melaka berjaya menjadi sebuah empayar perdagangan yang besar dan amat terkenal.dan
ini secara tidak langsung telah menonjolkan kemajuan dan aspek ekonominya.
Kedudukannya ditengah-tengah laluan perdagangan Timur dan Barat telah menjadikannya
sebagai pusat perdagangan yang penting. Keadaan ini memberikan keselesaan kepada pedagang
untuk singgah di situ sama ada untuk berdagang, mendapatkan bekalan makanan dan minuman
atau bagi membaiki kapal.Kedudukan Melaka juga adalah terlindung daripada tiupan angin
monsun Timur Laut oleh Banjaran Titiwangsa, dan daripada angin Monsun Barat Daya oleh
Pulau Sumatera. Justeru itu, persekitarannya menjadi aman dan lautnya tenang kerana tiada
gangguan ombak besar di kawasan itu. Keadaan lautnya yang dalam telah memudahkan kapal
dagang yang berlabuh dengan selamat. Selain dari itu, perairan Selat Melaka yang sempit juga
memudahkan kerajaan Melaka mengawal kapal yang lalu di persekitarannya.
Catatan Jasiman Ahmad menyatakan Kesultanan Melayu Melaka telah mengadakan
hubungan baik dengan negara-negara jiran. Ramai para pedagang Barat yang datang ke Melaka
ialah Arab, India, Ceylon, Myanmar. Pedagang- pedagang dari sebelah Timur pula ialah dari
Jepun dan Filipina. Pedagang-padagang dari Kepulauan Maluku ialah dari Sumatera, Jawa,
10
Borneo, Sulawesi dan Kepulauan Rempah. Para pedagang dari Siam juga turut pergi berdagang
ke Melaka. Pedagang dari India membawa kain, ubat-ubatan, minyak wangi dan candu.
Pedagang China pula membawa teh, kain sutera, kain benang emas, kain satin, besi, tembaga dan
tembikar. Pedagang yang membawa permata, barang-barang perak, beras, kain bulu dan batu
delima ialah para pedagang dari Myanmar. Pedagang Siam pula memperdagangkan beras, arak,
ikan kering, batu delima dan permata. Pedagang Filipina membawa emas, hasil-hasiln hutan,
bahan makanan dan gula ke Melaka. Pedagang Indonesia membawa beras, lada hitam dan
rempah. Manakala para pedagang dari Jepun pula membawa kain satin, pinggan mangkuk,
tempayan dan pedang ( Sejarah Negara Malaysia : 2006 )
Setiap orang pedagang dari serata dunia akan menunggu pertukaran angin Monsun di
Melaka untuk pulang ke destinasi masing-masing. Pedagang dari Timur mengikut angin Monsun
Barat Daya Laut dan pedagang dari Barat pula mengikut angin Monsun Timur Laut. Keadaan
Melaka yang sebeginilah menyebabkan ia menjadi pusat pertemuan kapal dagang dari serata
pelusuk dunia.Selain dari itu,terdapat faktor lain juga yang turut membantu memajukan Melaka
sehingga menarik kedatangan pedagang-pedagang dari luar.
Faktor tersebut ialah kerajaan Melaka mempunyai jentera pentadbiran yang teratur untuk
membantu menguruskan pelabuhan dan kegiatan perdagangan. Sultan telah melantik Syahbandar
untuk menguruskan pentadbiran di pelabuhannya. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang
Laut Melaka telah digubal oleh kerajaan Melayu Melaka untuk memastikan perdagangan
berjalan dengan lancar, kestabilan dan keamanan negeri sentiasa dijaga dan terpelihara.
Selain itu, pemerintah Melaka telah menyediakan pelbagai bentuk kemudahan untuk para
pedagang di pelabuhan Melaka. Di antara kemudahan yang disediakan adalah seperti gudang-
gudang besar untuk menyimpan barang, kemudahan pengangkutan ( kapal, perahu, jong, lancara,
gajah ) dan pekerja. Tidak ketinggalan juga kemudahan membaiki kapal dan tempat tinggal
untuk para pedagang turut disediakan oleh kerajaan Melayu Melaka.
Kemajuan sistem kewangan juga berlaku pada zaman ini. Urusniaga di Melaka dijalankan
melalui sistem pertukaran barang dan penggunaan mata wang. Wang logam digunakan dalam
urus niaga di Melaka. Wang ini diperbuat daripada timah. Berdasarkan catatan buku Sejarah
Negara Malaysia, Melaka mempunyai mata wang dalam urusan jual belinya. Melaka mempunyai
11
wang syiling sendiri yang diperbuat daripada timah, emas dan perak. Wang emas dikenali
sebagai dinar. Sistem cukai di Melaka dinamakan Sistem Cukai Berkeutamaan. Pedagang yang
datang ke Melaka dikenakan dua jenis cukai iaitu cukai rasmi (duti import) dan cukai tidak rasmi
(dalam bentuk hadiah kepada Sultan dan pembesar). Bagi negara yang mempunyai hubungan
baik dengan Melaka,ia hanya dikenakan cukai yang rendah. Ada juga di kalangan pedagang yang
tidak perlu membayar cukai tetapi menggantikannya dengan pemberian hadiah-hadiah.
Pedagang-pedagang dari Sri Lanka, Pegu dan India dikenakan cukai sebanyak 6, pedagang
tempatan 3% manakala pedagang Jawa, Maluku dan China memadai hanya membawa hadiah
sahaja ( Jasiman Ahmad : 2006 ).
Rakyat Melaka pada ketika itu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan
mereka. Para pedagang berminat datang ke Melaka kerana mereka mudah berurusan dengan
pegawai Melaka dan pedagang di Melaka dengan menggunakan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu
telah digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu dan menjadi “lingua franca” di pelabuhan
Melaka pada zamannya.Oleh kerana kerajaan Melaka telah mengamalkan prinsip saling
menguntungkan dalam bidang ekonomi, ianya telah menempatkan Melaka menjadi poros
perdagangan yang paling penting di kawasan Dunia Melayu pada masa itu. Bangsa Arab, Cina,
India dan Eropah telah menjalinkan hubungan dagang dengan Sultan Melaka dan seterusnya
telah berhasil merangsang, menghidupkan pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung dan di Pantai
Timur, Utara Sumatera. Sebagai pelabuhan bebas, Melaka telah menjadi simbol kemegahan
bangsa Melayu di atas kemajuan dalam berbagai bidang yang dicapainya.
Berdasarkan catatan buku Tamadun Islam STPM, selain daripada ekonomi perdagangan,
ekonomi orang Melayu Melaka juga melibatkan ekonomi sara diri. Di Melaka, ekonomi sara diri
boleh dilihat melalui kegiatan pertanian, berdusun, memburu, menternak dan lain-lain. Kegiatan
pertanian di Melaka boleh dilihat melalui aktiviti menanam padi. Kegiatan berdusun dijelaskan
lagi dengan kenyataan Tom Pires bahawa Raja Iskandar Syah bersama seribu orang pengikutnya
telah menebas hutan untuk menanam pokok dan membuat dusun. Antara tanaman yang ditanam
seperti tebu, pisang, keladi, nenas dan lain-lain. Kegiatan ekonomi sara diri lain yang turut
dijalankan oleh masyarakat Melaka ialah menangkap ikan. Selain itu terdapat juga aktiviti
12
berburu. Masyarakat Melaka juga menternak binatang seperti lembu, kerbau dan kambing.
Kegiatan ekonomi sara diri memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu
kerana kehidupan mereka sangat bergantung kepada sungai, pinggir laut, hutan dan tanah
pertanian (Mahayudin Haji Yahaya : 2001)
PENTADBIRAN DAN PERUNDANGAN
Kesultanan Melayu Melaka merupakan kerajaan Melayu tradisional yang terawal dan
merupakan pengasas kepada sistem pemerintahan Kerajaan Malaysia pada masa kini. Penubuhan
institusi kesultanan menandakan bermulanya zaman pemerintahan beraja di negara kita.
Walaupun kekal untuk satu abad sahaja namun ianya telah meninggalkan warisan dan pengaruh
kebudayaan serta sistem pemerintahan yang amat penting ( Sejarah Malaysia : 2000 ).
Sistem pentadbiran Melaka berbentuk hierarki dan mempunyai sistem pentadbiran yang
teratur dan sistematik. Sultan memegang kuasa tertinggi dan dibantu oleh Bendahara, Penghulu
Bendahari, Temenggung, Syahbandar dan Laksamana. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka
telah wujud sistem pentadbiran yang sistematik termasuk sistem perundangan. Sultan bertindak
sebagai hakim dan penggubal undang-undang kerana sultan mempunyai kuasa mutlak. Dalam
hubungan pemerintah dengan rakyat, sultan berhak mengeluarkan perintah, kerah dan titah serta
menjatuhkan hukuman.Walaupun begitu, konsep musyawarah tetap diamalkan dan diutamakan
sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan.Undang-undang Kesultanan Melayu Melaka terbahagi
kepada dua iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Perundangan yang
diamalkan di Melaka mempunyai pengaruh Islam sahaja dan tidak semuanya selari dengan
prinsip-prinsip Islam.
Hukum Kanun Melaka juga dikenali sebagai Risalat Hukum Kanun dan Undang-undang
Darat Melaka. Hukum Kanun Melaka telah wujud sejak zaman Sultan Muhammad Syah (Raja
Kecil Besar). Naskhah asal Hukum Kanun ini mengandungi 19 fasal. Menurut catatan buku
Tamadun Islam STPM, naskhah asal tersebut kemudiannya bertambah kepada 44 fasal.
Kandungan utama Undang-undang Laut Melaka meliputi hal-hal peraturan pelayaran, bidang
kuasa, nakhoda dan pekerja-pekerja seperti kiwi, maulana kiwi, malim, tukang gantung, jurubatu
dan serang, hukuman kesalahan di laut serta peraturan berjual-beli di atas kapal (Mahayudin Haji
13
Yahaya : 2001 ). Hukum Kanun Melaka berkuatkuasa di Melaka pusat dan juga kawasan-
kawasan yang menjadi takluknya. Antara lain kandungannya adalah mengenai tanggungjawab
raja serta pembesar, pantang larang dalam kalangan anggota masyarakat, penghukum kesalahan
jenayah dan awam, undang-undang keluarga, permasalahan ibadat dan muamalat.
Daripada 44 fasal dalam Hukum Kanun Melaka, hanya 40.95% atau 18 fasal sahaja yang
menurut undang-undang Islam. Sementara dalam Undang-Undang Laut Melaka hanya
mengandungi 1 fasal daripada 24 fasal yang menurut undang-undang Islam iaitu hukum zina.
Pengaruh Islam yang paling jelas mengikut sistem perundangan Islam adalah berkaitan dengan
undang-undang keluarga – undang-undang perkahwinan. Antaranya ialah menerangkan orang
yang berhak menjadi wali bagi perempuan yang akan berkahwin, syarat dan tatacara ijab dan
qabul dalam nikah, syarat menjadi saksi dalam upacara nikah, pembatalan nikah hukum talak
serta syarat-syarat serta soalan berhubung dengan melakukan “cina buta”. Contoh-contoh
Hukum jenayah yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka ialah pertama jenayah bunuh dibalas
bunuh. Hukuman ini samalah seperti dalam al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 45 dan Surah al-
Baqarah, ayat 178. Seperti jenayah mencuri hukumnya ialah potong tangan. Hukum ini diambil
dari al-Quran Surah Al-Maidah, ayat 38. Perlaksanaan hukum ini pada zaman Sultan Alauddin
Riayat Shah menyebabkan tiada pencuri lagi di Melaka. Perbuatan zina misalannya, pesalah
yang melakukannya akan dihukum rejam atau disebat dengan rotan. Dalam Hukum Kanun
Melaka, setiap orang pesalah akan disebat sebanyak 80 kali tetapi di dalam Undang-undang Laut
Melaka, mereka akan disebat sebanyak 100 kali. Hukuman ini sama seperti dalam Al-Quran,
Surah An-Nur, ayat 2-5 dan Surah An-Nisa’, ayat 34.
Berkaitan Hukum Muamalat pula berkait rapat dengan hukum berjual-beli dan pinjam-
meminjam. Hukum Kanun Melaka hanya menekankan kepentingan mencatatkan segala nilai
pinjaman dengan disaksikan oleh dua orang lelaki. Ini bersesuaian dengan ketetapan Al-Quran
dalam Surah Al-Baqarah, ayat 282. Barang-barang yang boleh dan tidak boleh diniagakan ialah
seperti larangan menjual arak, khinzir, anjing dan tuak. Lain-lain hukuman yang menerima
pengaruh Islam ialah contohnya tuduh menuduh / fitnah dan beban orang yang menuduh untuk
membuktikan kebenaran tuduhannya. Syaratnya, ialah dua orang saksi yang baligh dan tidak
gila, ikrar dan wasiat. Amalan ini merupakan antara amalan yang dianjurkan dan digalakkan oleh
14
ajaran Islam.upacara dan adat-istiadat raja-raja, meminta agar ahli-ahli agama khususnya kadi
turut serta. Ini menunjukkan bahawa Hukum Kanun Melaka mengangkat golongan agama dalam
urusan rasmi kerajaan.
Wujud percampuran antara hukum-hukum dapat dan hukum-hukum syarak. Contoh
kesalahan jenayah membunuh sering ada pilihan antara hukum adat dengan hukum syarak.
Namun begitu, wujud juga faktor yang tidak menggunakan pengaruh Islam. Di dalam fasal 14.2
yang bersabit dengan pembunuhan orang yang bersalah, hakim mempunyai kuasa menentukan
sama ada hukum dapat atau hukum syarak yang harus digunakan untuk menghukum pesalah.
Peraturan qisas seperti yang terdapat dalam hukum syarak terdapat kesalahan membunuh tidak
terdapat dalam hukum ini.
Dalam Hukum Kanun Melaka juga terdapat perbezaan kelas seperti kelas bangsawan,
orang merdeka dan hamba. Perkara ini bertentangan dengan kehendak hukum Islam. Dalam
Islam semua manusia ini sama. Mereka akan dihukum dengan hukuman yang sama mengikut
kesalahan mereka. Hukuman yang dikenakan tidak sama antara orang merdeka dengan hamba
walaupun kesalahan yang dilakukan adalah sama.Mengikut Hukum Kanun Melaka, terdapat 3
kesalahan yang berat yang tidak dapat diampuni oleh hakim iaitu membunuh orang, mengambil
isteri orang, orang yang kelakuannya bermaharajalela. Kesalahan ini hanya boleh diampuni oleh
raja dan hanya jika dilakukan oleh rakyat. Jika raja yang melakukannya ia dianggap tidak
bersalah. Malah terdapat pertukaran di dalam fasal 5:4. Sungguhpun hukum Islam sepenuhnya
tidak dijalankan di Melaka, tetapi hukum itu memang disedari oleh rakyat Melaka ketika itu.
Dengan adanya pengaruh Islam dalam perundangan menunjukkan rakyat telah dapat menerima
Islam. Para kadi dan undang-undang Islam telah memainkan peranan penting dalam sistem
pentadbiran negeri Melaka. Undang-undang yang diamalkan di Melaka akhirnya mempengaruhi
undang-undang yang diamalkan di negeri-negeri lain seperti undang-undang pelabuhan di negeri
Kedah.
15
HUBUNGAN DILOMATIK / POLITIK
Kita dapat melihat kemajuan di dalam aspek politik berdasarkan kepada kecekapan
pemerintah Melaka mewujudkan beberapa jawatan pembesar untuk membantu melancarkan
pentadbiran Melaka. Pentadbiran Melaka telah menggunakan Sistem Empat Lipatan dalam
pentadbiran politik di Melaka. Jawatan Bendahara diwujudkan sebagai penasihat kepada raja.
Selain itu, Bendahara juga bertanggungjawab sebagai Menteri Utama, Ketua Turus Angkatan
Perang, Ketua Hakim dan Pemangku Sultan. Penghulu Bendahari pula diwujudkan untuk
menjadi Pemungut hasil atau Ufti, Ketua segala Bendahari, Ketua Urusetia Istana dan juga Ketua
segala Syahbandar. Jawatan Temenggung pula ditugaskan untuk menjadi Ketua Polis dan
Penjara, Penguasa Bandar, Ketua Protokol Istana dan Hakim di darat. Semasa pemerintahan
Sultan Muzaffar Syah (1445-1459), baginda telah mewujudkan jawatan Laksamana yang
bertanggungjawab sebagai Ketua Angkatan Laut Melaka.
Catatan dari Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin menyatakan bahawa pemerintahan
Kesultanan Melayu Melaka ialah pemerintahan hierarki yang pada dasarnya bersepadu. Hierarki
bermaksud hak untuk memegang teraju pemerintahan adalah di bawah kuasa golongan D Raja
atau Bangsawan. Contohnya penyerahan pucuk pimpinan yang berlaku pada zaman Melaka
selepas kemangkatan Sultan Iskandar Syah (Parameswara-1390 -1414). Begitu juga dengan
perlantikan para pembesar yang mana jawatan terpenting diberi kepada keturunan Di Raja atau
golongan Bangsawan. Rakyat yang merupakan golongan majoriti hanya berpeluang menjadi
hulubalang sahaja ( Sejarah Malaysia : 2000 )
Selain daripada jawatan-jawatan pembesar yang telah diwujudkan, keadaan politik di
Melaka telah diperkukuhkan lagi dengan penggubalan undang-undang kerajaan mereka.
Kerajaan Melaka mempunyai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.
Bagi menjamin kestabilan politiknya, Melaka telah menyediakan sebuah angkatan laut yang
sangat besar. Orang Laut memainkan peranan penting dalam angkatan laut Melaka.Kekuatan
kerajaan Melaka menjadi berlipat ganda lagi apabila mereka mempunyai pahlawan-pahlawan
yang gagah, berani dan setia seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan
Hang Lekiu.Sebahagian besar kelengkapan tentera Melaka terdiri daripada kapal, bahtera, ghali,
16
ghalias, jong dan lancaran. Peralatan senjatanya pula ialah panah, keris, lembing, meriam, lela,
rentakal, istinggar dan pemuras. Kekuatan yang ada ini telah membolehkan Melaka melakukan
serangan dan seterusnya menakluki kerajaan lain. Kerajaan Melaka juga turut menjaga hubungan
diplomatiknya dengan kerajaan lain pada zaman itu.
Misalannya Melaka telah menjalinkan hubungan politik luar dengan negara luar seperti
kerajaan China. Hubungan politik ini telah mengukuhkan lagi kekuatan kerajaan Melayu Melaka
di di sekitar jajahan takluknya. Melalui kedatangan Laksamana Yin Ching pada tahun 1403 dan
Laksamana Cheng Ho pada tahun 1409 telah membolehkan Melaka bergantung harap kepada
kerajaan China bagi mendapatkan perlindungan daripada ancaman kerajaan Majapahit dan Siam.
Catatan dari buku Siri Negeri-negeri di Malaysia, ancaman daripada pihak Siam menyebabkan
Parameswara membayar ufti kepada negara China pada tahun 1409 untuk mendapatkan
perlindungan. Pada 1411, beliau melawat negara China dengan diiringi Laksamana Cheng Ho
dan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk bertemu dengan Yung Lo iaitu Maharaja
Ming ( Nurul Hanim Ismail : 2007 ). Menurut catatan buku Malaysia Kita, pada era
pemerintahan Maharaja Yung Lo, Melaka diperintah oleh Sultan Iskandar Syah. Beliau telah
menghantar utusannya, Yin Ching ke Melaka pada tahun 1405. Pelbagai hadiah seperti sutera
dan tembikar telah dikurniakan kepada Sultan Melaka. Lawatan ini dibalas oleh Sultan dengan
menghantar utusan pada tahun berikutnya ( Mahayudin Haji Yahaya : 2001 ) Melaka hari demi
hari terus membangun menjadi sebuah kerajaan yang kuat pada zaman itu. Buktinya pada masa
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Melaka telah berjaya menggagalkan serangan kerajaan
Siam sebanyak dua kali tanpa mendapatkan bantuan China.
Melalui bidang diplomatik, Kesultanan Melaka telah mencatat kemajuan yang
membanggakan kerana telah menerapkan prinsip saling percaya mempercayai sesama bangsa
lain. Contoh yang dapat kita lihat di sini ialah Sultan Melaka telah berhasil menjalin hubungan
diplomatik dengan Cina, Arab, India, dan bangsa-bangsa Eropah. Telah diketahui bahawa selama
berlakunya pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-l51l), telah berlaku sebanyak empat kali
kunjungan secara rasmi kenegaraan di antara Sultan Melaka dan Kaisar Cina. Ini adalah kerana
kunjungan kerajaan China kerap disertai oleh kalangan korporat yang ingin melihat peluang
perniagaan di Melaka. Walau bagaimanapun, golongan korporat Cina telah mula memikirkan
17
bahawa betapa pentingnya untuk mendapat tanah di kawasan kota dan tepi pantai untuk
keperluan tempat tinggal dan pemiagaan mereka. Bagi mencapai tujuan mereka mendapatkan
tanah di Melaka, pendatang Cina telah mengamalkan unsur politik yang dinamakan“revolusi
akrab” dengan Sultan dan di kalangan masyarakat Melayu supaya tanah mereka dapat dibeli atau
disewa. Orang Melayu pada ketika itulah dipercayai telah mula menjual tanah milik seseorang
atau keluarga mereka kepada golongan Cina ini tanpa ada alasan yang munasabah atau takut
dipandang malu serta hina. Namun begitu secara khusus atau dalam konteks tertentu pasti ada
pertimbangan-pertirnbangan lain yang telah melatar belakangi perkara itu berlaku. Akhirnya
dalam jangka masa 600 tahun (1400-1999), tanah-tanah orang Melayu di kawasan kota dan
pantai yang strategik, secara politik dan ekonomi telah berjaya dikuasai sepenuhnya oleh etnik
Cina di Malaysia.
PERKEMBANGAN SOSIAL / SOSIOBUDAYA
Rakyat Melaka mengamalkan kebudayaan Melayu di dalam kehidupan seharian.
Kedatangan Islam ke Melaka telah memberi kesan yang begitu besar ke atas sosiobudaya
masyarakat Melaka. Sebagai contoh, konsep dewa raja telah diganti dengan konsep sultan.
Rakyat biasa menghormati sultan sebagai pemerintah yang dianggap sebagai wakil tuhan. Rakyat
amat taat kepada setiap perintah sultan. Budaya saling mentaati sultan ini diperkuatkan lagi
dengan kepercayaan kepada konsep daulat dan tulah. Berdasarkan konsep ini, raja dikatakan
berdaulat dan sesiapa yang ingkar dan tidak menghormati sultan akan menerima balasannya yang
juga dikenali sebagai tulah. Berdasarkan Sejarah Melayu, masyarakat Melayu menganggap raja-
raja atau sultan-sultan sebagai “zillu’Llah fil’alam” : ‘……..pada segala hukum bahawa raja-raja
yang adil itu dengan Nabi s.a.w umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja
itu zill’Llah fil’alam…….’ yang bermaksud sultan yang memerintah di dunia ini adalah sebagai
bayangan Tuhan di muka bumi ini. Sultan yang menjadi penaung masyarakat Melayu tradisi
telah dianggap sebagai wali Allah di dunia (Sejarah Malaysia : 2000)
Dalam aspek kemasyarakatan pula, budaya-budaya kesenian Islam mula dijelmakan
melalui amalan seperti upacara berkhatam al-Quran, kenduri arwah dan kesyukuran.
Selain itu, dalam kalangan pemerintah juga terdapat beberapa budaya yang diamalkan. Sebagai
contoh, budaya bermusyawarah. Sultan Muzaffar Syah sentiasa mengarahkan para pembesarnya
18
bermusyawarah untuk menjalankan tugas masing-masing.
Adat Temenggung juga menjadi sebahagian daripada budaya amalan rakyat Melaka. Adat
Temenggung ini meliputi hal-hal jenayah, awam, kekeluargaan, hukum pelabuhan dan undang-
undang laut. Mengikut Adat Temenggung, sultan berkuasa penuh dalam hal ehwal pentadbiran.
KESENIAN DAN KEMAHIRAN
Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada
pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana
hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Ini
termasuklah suka bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu terus
diperkukuh dan dipererat dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan. Lantaran resam yang
demikian maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah
berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas
penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman
cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke
individu tidak banyak berbeza. Ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang
sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian.
Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan
mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan
mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta
pesta.
Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung
berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat.
Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-
kampung yang mengambil bahagian. Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali
sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi
hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih
19
dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli,
congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain
Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan
ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah
Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar. Bola sepak raga
diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua
atau tiga lapis. Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama
kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring,
seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong
melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan
mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di
gelanggang lawan
Congkak merupakan sejenis permainan tradisional Melayu. Permainan ini telah wujud
sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar
telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.
Permainan congkak dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab, bergantung kepada teori
mana yang anda percayai. Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang
dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai
dua liang selari bertarikh semenjak 5000 hingga 7000 SM di masa kini Jordan.
Berkaitan aspek kesenian tarian tradisional, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah
lahir pelbagai jenis tarian tradisional bagi masyarakat teersebut. Di antaranya ialah Tarian
Ceracap Inai, Tarian Mak Inang, Tarian Joget dan Tarian Asli. Tarian Ceracap Inai ada
hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai
Muar. Tarian ini terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar. Adalah
dipercayai Tarian Ceracap Inai ini berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan
Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian. Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada
unsur-unsur ‘sembah’/Ampun, merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan
20
‘Raja Sehari’/Pengantin. Ianya ditarikan dengan membawa prob seperti ‘Bunga-bungaan Emas’
dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan
kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan
berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita
sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 hingga 8 orang.
Tarian Mak Inang atau lebih dikenali sebagai Tarian Si Kembang China merupakan
tarian tardisional masyarakat Melayu Melaka. Pada zaman itu tarian ini dilakukan pada majlis
kenduri kahwin tetapi kini ianya ditarikan di majlis-majlis sosial. Tarian ini mengikut kelajuan
tempo rebana, biola dan gendang. Semasa menari, para penari melambaikan sapu tangan yang
berwarna-warni sambil menari. Tarian Joget sangat digemari oleh masyarakat berbilang kaum di
Malaysia kerana ia mudah dipraktikkan dan dipelajari. Tarian ini biasa dipersembahkan ketika
upacara Mandi Safar. Suatu ketika dahulu di Negeri Melaka, tarian Joget Lambak begitu
terkenal. Malah Joget Lambak juga menjadi acara bagi memeriahkan majlis-majlis perkahwinan
dan keramaian terutamanya di Negeri Melaka.
Tarian Joget dipercayai berasal daripada tarian Kaum Portugis iaitu Branyo. Ketika itu Joget
diiringi lagu-lagu seperti Jingkling Nona tetapi sekarang banyak lagu-lagu dihasilkan seperti
Joget Serampang Laut, Joget Rentak 106, Joget Johore Sport Club, Joget Pucuk Pisang dan lain-
lain lagi. Joget juga dikenali sebagai ronggeng yang mengambil nama daripada perkataan
“wrong gang” kerana ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita.
Tarian Asli merupakan kumpulan tarian yang dicipta berasaskan lagu-lagu asli Melayu.
Wujud daripada rentak dan irama lagu Dondang Sayang tetapi Tarian Asli tidak diiringi dengan
adegan berbalas pantun seperti dalam Dondang Sayang. Perkembangan seterusnya ialah
kemunculan tarian-tarian asli yang dicipta daripada lagu-lagu seperti lagu Makan Sireh, Gunung
Banang, Asli Sapu Tangan, Asli Selendang, Bentan Telani, Asli Abadi dan lain-lain lagi. Tarian
Asli boleh didapati di seluruh Malaysia terutama Semenanjung Malaysia. Lagu Asli masih lagi
popular dan menjadi siulan muda-mudi di kawasan kebudayaan Melayu di Semenanjung
Melayu, Sumatera, Singapura, Kepulauan Riau dan Borneo. Di Sumatera, Tarian Asli dikenali
sebagai senandung dan kelahirannya adalah dari puisi yang mengusik jiwa berlawanan dengan
21
emosi yang mendalam terhadap cinta dan kesedihan. Contoh-contoh lagu asli termasuklah
Sembawa Balik, Pasir Roboh, Timang Banjar dan Sri Siantan. Kedatangan pedagang Arab di
zaman kegemilangan Melaka membawa irama ghazal dan pedagang dari China membawa
Dondang Sayang. Muzik ini telah diterima sebagai sebahagian daripada muzik Melayu.
Masyarakat Melayu Melaka juga tidak ketinggalan di dalam aspek muzik tradisionalnya.
Dondang Sayang dipercayai berasal dari zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Dondang
sayang ialah sejenis balada cinta Melayu tradisional yang mana penyanyi-penyanyi saling
bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan kekadang lucu. Nyanyian-nyanyian
biasa diiringi oleh empat orang ahli muzik yang terdiri daripada:
seorang pemain biola;
dua orang pemain rebana (gendang yang di sebelah sahaja dipasang kulit) Melayu; dan
seorang pemain tawak (gong kecil).
Muzik dondang sayang adalah perlahan, dan sebuah lagu biasanya terdiri daripada 32 bar,
bermula dengan pengenalan biola, diikuti oleh rebana dan kemudiannya gong, dan akhirnya oleh
nyanyian pada Bar 5. Gayanya tidak formal dan liriknya biasa terdiri daripada puisi cinta.
Masyarakat Melayu Melaka juga mempunyai alat-alat muzik tradisionalnya yang
digunakan ketika majlis keramaian, pertabalan di raja dan juga upacara kematian. Di antaranya
ialah gambus, sape, rebab, gong, canang, mong dan kenung, kesi, gedombak, geduk, rebana,
gendang silat dan juga serunai. Rebab merupakan alat muzik yang tertua di dalam sejarah
permainan muzik tradisi Melayu. Ia dikenali juga dengan nama anak umbang di kalangan
bomoh-bomoh Melayu. Pada awalnya digunakan di dalam masyarakat Melayu sebagai alat
perubatan tradisi yang disebut main peteri. Gesekan rebab oleh pawang menjadi sebagai penawar
kepada pesakit. Perubatan cara ini disokong oleh kekuatan jampi oleh pawang. Bentuk rebab
dapat dibahagikan secara kasarnya kepada 3 bahagian iaitu pangkal, leher dan kepala. Ukuran
tingginya antara 7.55sm hingga 8.5sm. terdapat nama-nama khususnya yang diberikan pada
bahagian-bahagiannya. Digunakan juga sebagai alat untuk permainan muzik tradisi di samping
menjadi alat penting di dalam permainan Mak Yong hinggakan dalam permainan tersebut
terdapat satu babak dipermulaannya yang dikenali sebagai menghadap rebab.
22
Aspek kesenian pakaian tradisional masyarakat Melaka juga turut melambangkan
ketinggian Tamadun Melayu pada ketika itu. Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh
lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga
kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian.
Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota
tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah
istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga
disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’. Walaupun mempunyai
pelbagai nama, namun baju kurung telah menampilkan ciri-cirinya yang tersendiri.
Pengaruh daripada puisi tradisional seperti nazam, seloka , syair dan gurindam
menggabungkan antara estetika bahasa dan ketinggian nilai-nilai budi serta kesantunan orang
Melayu . Pelbagai bentuk seloka, gurindam, syair serta pantun yang melambangkan kebudayaan
serta kesenian masyarakat Melayu Melaka pada ketika itu. Misalannya ialah pepatah :-
“Ikut rasa binasa, ikut suka duka, ikut hati mati, dan biar titik jangan tumpah, biar rebah jangan
roboh”
“Puas Saya Menanam Keladi, Nenas Juga Ditanam Orang,
Puas Saya Bertanam Budi, Emas Juga Dipandang Orang”
PENDIDIKAN
Dalam bidang kesusasteraan, Kesultanan Melaka telah bekerjasama memajukan
pendidikan dengan Dinasti Ming dan berhasil mendirikan satu fakultas pada institusi pendidikan
tinggi di Cina yang mengkaji tentang kesusasteraan dan bahasa Melayu. Salah satu hasil yang
membanggakan ialah disusunnya kamus Bahasa Melayu-Cina dan Melayu-Perancis oleh
lembaga kajian sastera Melayu di Cina.
Dari segi pendidikan, sistem pendidikan Islam di Nusantara mempunyai banyak
persamaan dengan sistem pendidikan Islam di Asia Barat. Pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka, pendidikan Islam mendapat perhatian dari pihak pemerintah. Istana telah dijadikan
23
sebagai sebuah institusi pendidikan. Selain istana, pengajian Islam juga dijalankan di rumah
maulana atau ulama, madrasah, surau, masjid dan sebagainya. Kebanyakan guru agama pada
masa itu terdiri daripada bangsa Arab. Mereka menerima kedudukan istimewa dalam kerajaan
Melaka. Para pendidik Islam dari Asia Barat telah memperkenalkan tulisan Jawi bagi
menggantikan tulisan Jawa Kuno dan tulisan Palava. Pengenalan tulisan Jawi telah membawa
perkembangan mental dan intelektual terutamanya perkembangan ilmu pengetahuan iaitu ilmu
Syariah yang merangkumi bidang Fiqah, Usuluddin dan Tasawuf. Kitab-kitab yang menjadi
rujukan ialah Al-Dar al-Manzum, Ihya Ulumiddin dan Minhaj al-Talibin (Mahayudin Haji
Yahaya : 2001)
KESIMPULAN
Kesimpulan yang dapat dibentangkan melalui tajuk ini ialah Empayar Melaka telah
membentuk ketamadunan Tamadun Melayu dari abad ke-15 sehinggalah ke era globalisasi pada
masa kini yang mana semuanya bertunjangkan pentadbiran Empayar Melaka pada masa dahulu.
Kegemilangan Empayar Melaka dari aspek pengaruh agama Islam, ekonomi, pentadbiran dan
perundangan, hubungan diplomatik / politik, kesenian dan kemahiran dan juga aspek pendidikan
melambangkan pencapaian tamadun Melayu pada abad ke-15 ketika dahulu.
24
BIBLIOGRAFI
1. Abdul Rahman Haji Abdullah : 2003 : Modul Pendididkan JMS 212 Sejarah Asia
Tenggara Tradisional : Pusat Pengajian Jarak Jauh USM P.P : Pulau Pinang
2. Ahmad Sohaimi Lazim : 2011 : Modul HNS 2013 Kenegaraan : Tanjung Malim, Pusat
Pendidikan Luar UPSI Tanjung Malim
3. Chean Boon Kheng:1985 : Modul JMS 211 Sejarah Politik Malaysia Tradisional : P.P :
Pusat Pengajian Luar Kampus, USM
4. Jasiman Ahmad : 2006 : Siri Kenegaraan Malaysia, Sejarah Negara Malaysia : K.L :
Jade Green Publications Sdn. Bhd
5. Mahayudin Haji Yahaya : 2001 : Nota Lengkap STPM, Tamadun Islam : Shah Alam,
Selangor : Fajar Bakti Sdn. Bhd
6. Nurul Hanim Ismail : 2007 : Siri Negeri-negeri Di Malaysia, Negeri Sembilan dan
Melaka : K.L : Nur Ilmu Publications
7. Syed Ibrahim : 2007 : Malaysia Kita : Petaling Jaya :
International Law Book Services
25