konsep addie
TRANSCRIPT
KONSEP ADDIE
Pengenalan
Sememangnya semua manusia sentiasa berada dalam proses
pembelajaran, hatta bermula daripada janin yang berada di dalam kandungan
ibunya. Seseorang individu belajar untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran
melalui pengalaman untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan harian. Menurut
Sulaiman (2004), pembelajaran adalah proses dalaman yang dialami oleh
seseorang melalui pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang diberikan. Ia
seterusnya membawa perubahan kognitif dan tingkah laku secara kekal.
Sehubungan dengan itu, pembelajaran boleh dikatakan sebagai sebahagian
daripada pengalaman dalam kehidupan seseorang individu. Namun begitu,
bagaimana seseorang individu itu belajar? Sifat semula jadi manusia yang sentiasa
ingin tahu menggalakkan mereka mencari jawapan berkenaan dengan hal ini. Juga,
terdapat individu yang berusaha untuk membuat kajian tentang sifat-sifat proses
pembelajaran. Atas usaha individu-individu tersebut, terdapat kajian yang telah
berjaya menghasilkan teori pembelajaran yang masih digunapakai di dalam bilik
darjah sehingga ke hari ini.
Reka bentuk pengajaran ialah satu proses untuk mereka bentuk,
membangun, melaksana dan menilai pengajaran yang dilakukan sescara sistematik
dan terancang Dick dan Reiser (1988). Reka bentuk pengajaran boleh dikaitkan
dengan pembinaan pengajaran. Konsep reka bentuk pengajaran ialah sebagai satu
proses untuk membina bahan pengajaran dan bahan multimedia.
Enam perkara asas dalam model Reka Bentuk Pengajaran:
1. Menentukan keperluan murid
2. Menentukan matlamat dan objektif
3. Membina prosedur penilaian
4. Mereka bentuk dan memilih strategi penyampaian
5. Mencuba sistem pengajaran
6. Menilai keseluruhan sistem
Tujuan utama reka bentuk pengajaran adalah untuk menghasilkan
pengajaran yang berkesan bagi membolehkan pelajar memperoleh kemahiran,
pengetahuan dan sikap yang diharapkan serta digemari oleh pelajar. Pengajaran
yang dirancang dengan teliti dan lengkap mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan
perasaan hormat pelajar terhadap pengajar, sekaligus membina disiplin yang positif.
Ini kerana pengajar dapat melaksanakan pengajaran dengan lancar dan menarik
serta tidak membazir masa dan sistematik.
Antara kepentingan dan peranan reka bentuk pengajaran adalah seperti
meningkatkan pencapaian pelajar, menjadikan pengajaran dan pembelajaran bilik
darjah lebih teratur, memungkinkan objektif pengajaran dan pembelajaran dan hasil
pembelajaran mudah tercapai, membantu dalam proses membuat keputusan,
menjadikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran standard atau selaras bagi
kumpulan yang pelbagai, dan akhirnya menjimatkan masa dan peruntukan yang
besar, khusus bagi sesuatu program yang besar dan luas. Contohnya, pendidikan
jarak jauh.
Model Rekabentuk Pengajaran
Model rekabentuk pengajaran merupakan garis panduan ataupun satu set strategi
yang menjadi dasar pendekatan pengajaran untuk seseorang pengajar. Ia
membekalkan struktur secara langkah demi langkah "how to practice" dan "how to
conduct".
Terdapat pelbagai model pengajaran yang diamalkan oleh guru-guru di sekolah.
Umumnya model-model ini boleh dikategorikan dalam tiga kumpulan berikut:
· Model berorientasikan bilik darjah - Model ASSURE
· Model berorientasikan produk - Model ADDIE
· Model berorientasikan sistem - Model Dick & Carey
Di antara kelebihan penggunaan model pengajaran di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran ialah:
• dapat membantu guru merancang pembinaan dan penggunaan media dan kaedah
yang sesuai.
• menjadikan pengajaran dan pembelajaran bilik darjah lebih teratur.
• membantu guru membuat persediaan yang dapat disesuaikan dengan topik dan
latar belakang murid dalam proses pengajaran dan pembelajan.
MODEL ADDIE
Model ADDIE diasaskan oleh Rosset pada tahun 1987. Model ADDIE merupakan
model rekabentuk yang berfungsi sebagai garis panduan ke arah pembinaan
perisian dan bahan pengajaran-pembelajaran berdasarkan keperluan.
Model ini merupakan antara model pengajaran yang sering menjadi asas kepada
model-model rekabentuk pengajaran yang lain. Model ADDIE merupakan proses
generik yang perlu diubah suai sebelum dapat digunakan.
Tujuan model ini direkabentuk adalah untuk menghasilkan rancangan pengajaran
dan bahan pembelajaran agar penyampaian sesuatu pengajaran itu akan menjadi
lebih efektif dan efisien. Model Pengajaran ADDIE yang meliputi fasa-fasa analisis,
rekabentuk, pembangunan, pelaksanaan dan penilaian.
Lima fasa yang terdapat di dalam Model ADDIE iaitu:
A (Analysis) - Analisis
D (Design) - Rekabentuk
D (Development) - Pembangunan
I (Implementation) - Pelaksanaan
E (Evaluation) - Penilaian
Fasa Analisis (Analysis)
Pada peringkat ini ia melibatkan beberapa proses penentuan serta mengenalpasti
masalah yang ingin diselesaikan. Setelah sesuatu masalah dapat dikenalpasti
proses analisis akan dilaksanakan bagi mencari apakah punca atau faktor yang
berkaitan atau yang menimbul masalah tersebut. Proses analisis ini melibatkan
berbagai aspek antaranya:
i. analisis terhadap pengguna,
ii. analisis terhadap persekitaraan pembelajaran,
iii. kenalpasti matlamat pengajaran.
Pada peringkat ini beberapa analisis akan dilakukan seperti analisis persekitaran
pembelajaran, analisis pengguna dan menentukan matlamat pengajaran. Terdapat
beberapa soalan yang boleh diajukan semasa proses analisis iaitu :
a) Siapakah pengguna dan apakah sifat-sifatnya?
b) Menentukan sikap baru yang akan dipamerkan?
c) Apakah jenis halangan pembelajaran yang wujud?
d) Apakah pilihan bentuk penyampaian pembelajaran?
e) Apakah tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan projek tersebut?
Merupakan asas untuk fasa-fasa seterusnya dalam rekabentuk pengajaran. Antara
perkara yang dilakukan dalam fasa ini adalah memperjelaskan masalah,
mengenalpasti sumber masalah dan menentukan penyelesaian masalah. Fasa ini
melibatkan teknik kajian seperti analisis kehendak, analisis kerja dan analisis
tugasan. Output bagi fasa ini termasuklah matlamat pengajaran dan senarai tugasan
yang perlu diajar. Kesemua output ini akan menjadi input bagi fasa rekabentuk.
Fasa Rekabentuk (Design)
Peringkat ini dilaksanakan selepas proses analisis keperluan selesai. Ia menjelaskan
pandangan keseluruhan mengenai rupabentuk, struktur, pendekatan teori, jenis
media dan teknologi yang akan digunakan. Antara lain ia juga melibatkan proses:
i. Pembentukan objektif yang khusus untuk pengajaran.
ii. Pembinaan item-item untuk ujian.
iii. Pemilihan strategi pengajaran.
Fasa ini penting untuk merancang strategi dalam membangunkan pengajaran serta
menggariskan cara bagaimana mencapai matlamat pengajaran.
Antara elemen di dalam fasa rekabentuk termasuklah menulis siapa yang hendak
disasarkan, menjalani analisis pembelajaran, menulis objektif dan item ujian, memilih
sistem penyampaian dan menyusunatur pengajaran.
Fasa Pembangunan (Development)
Peringkat ini melibatkan membina sistem sebenar dengan menggunakan semua
elemen media dan teknologi yang terpilih berdasarkan keperluan.
Dibina berdasarkan fasa analisis dan rekabentuk. Tujuan fasa ini ialah untuk
menghasilkan rancangan pengajaran dan bahan pembelajaran. Semasa fasa ini
akan dibangunkan, langkah pengajaran serta media yang bakal digunakan dalam
pengajaran dan dokumen lain yang diperlukan. Output dalam fasa rekabentuk akan
menjadi input kepada fasa pembangunan. Kerja- kerja pembangunan projek
mulimedia akan dilakukan mengikut spesifikasi keperluan yang dipersetujui. Setiap
pembangunan akan diuji agar ia konsisten dan dapat beroperasi dengan berkesan.
Fasa Perlaksanaan (Implementation)
Di peringkat ini, bahan pengajaran yang telah disediakan akan digunakan atau
dilaksanakan dalam keadaan sebenar. Projek multimedia yang telah disiapkan akan
diuji kepada pengguna sebenar bagi mengenalpasti kesilapan semasa proses
pembangunan projek berlaku. Sekiranya berlaku kesilapan, pembaikan akan
dilakukan sebelum ia diserahkan sepenuhnya kepada pengguna sasaran untuk
digunakan.
Fasa Penilaian (Evaluation)
Penilaian terbahagi kepada dua bahagian iaitu penilaian formatif dan penilaian
sumatif. Penilaian formatif merangkumi setiap fasa dalam proses ADDIE. Penilaian
formatif seharusnya dilakukan terhadap semua peringkat untuk memastikan
keberkesanannya.
Penilaian sumatif pula hanya melibatkan rekabentuk pengujian yang spesifik sahaja
yang memerlukan maklumbalas pengguna seperti isi kandungan, strategi dan
elemen multimedia melalui kaedah temubual, soal selidik, penyeliaan dan pengujian.
Penilaian sumatif biasanya berlaku di peringkat akhir sesuatu projek penghasilan
bahan pengajaran diselesaikan.