makmal kimia abad ke-21

Upload: nurul-syuhadah

Post on 13-Oct-2015

189 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Ciri-ciri makmal kimia yang memenuhi permintaan pembelajaran abad ke-21

TRANSCRIPT

Makmal Sains Abad ke-21

1.0PendahuluanPada 28 Februari 1991, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah memperkenalkan Dasar Wawasan 2020 (W2020) dengan objektif untuk menjadikan Malaysia Negara maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan menjelang tahun 2020 dengan mengikut acuan kita sendiri. Untuk mencapai objektif tersebut, sembilan cabaran telah ditentukan. Cabaran keenam adalah berkaitan dengan kemajuan dari bidang sains dan teknologi (Wawasan 2020, 1991). Untuk mencapai status Negara maju, perkembangan pesat dari bidang sains dan teknologi adalah amat penting agar Malaysia mampu berdiri setanding dengan Negara-negara maju yang lain. Asas bagi pencapaian ini adalah penekanan kurikulum pembelajaran sains di sekolah. Untuk menghasilkan modal insan yang lebih bersifat saintifik, makmal sains di sekolah memainkan peranan yang penting untuk memupuk keperibadian tersebut. Peruntukan yang banyak telah diberikan kepada sekolah-sekolah untuk menjayakan aspirasi ini, namun keberhasilan yang diterima tidak setimpal dengan peruntukan tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Bagaimanakah standard makmal-makmal sekolah dapat diperbaiki sekaligus memberikan kesan positif sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara?

2.1Aspek keselamatanIsu keselamatan adalah isu yang penting di dalam sesebuah makmal sains namun isu ini kadangkala di pandang ringan oleh pihak pentadbiran sekolah. Setiap makmal sains di sekolah perlulah diurus dan diselenggarakan dengan baik. Penyelengaraan makmal yang sambil lewa boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini. Di dalam satu artikel yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, satu kajian yang dibuat oleh Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) yang melibatkan 1500 buah sekolah menengah mendapati kira-kira separuh daripada sekolah lama mempunyai kebuk wasap yang tidak berfungsi dan tidak selamat untuk digunakan (Utusan Malaysia, 2001). Lebih memburukkan lagi apabila terdapat kes kematian, kanser dan juga kehilangan deria bau yang melibatkan kakitangan makmal yang dikhuatiri berpunca daripada kesan-kesan sampingan penyelengaraan bahan kimia di dalam makmal. Maka, pada masa yang akan datang pihak kementerian haruslah memeberi penekanan kepada penyelengaraan makmal sains yang lebih baik dan efisien kerana kegagalan melakukan yang sedemikian akan menyebabkan risiko kemalangan semakin tinggi di samping mempunyai kos yang tinggi.

Selain itu, pematuhan peraturan-peraturan makmal juga dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan dan kecederaan semasa berada di dalam makmal. Di antara peraturan keselamatan yang penting tetapi kurang dititikberatkan ialah tatacara berpakaian di dalam makmal.. Pengunaan dua peralatan ini tidak dipandang penting oleh guru-guru di Malaysia namun Di United Kingdom, penggunaan gogal dan kot makmal adalah pekara asas yang perlu ada pada pelajar mahupun sesiapa sahaja yang ingin memasuki makmal. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kecederaan akibat daripada bahan kimia (Safety in Academic Chemistry Laboratories, 2003). Selain itu, tatacara pemakaian ini dapat menarik minat para pelajar untuk melakukan eksperimen di dalam makmal kerana tatacara pemakaian ini merupakan pakaian standard bagi para saintis di seluruh dunia.

2.2Penambahbaikan kualiti kemudahan makmal

Terdapat beberapa kajian berdasarkan Americas Lab Report: Investigations in High School Science (2005, pg 170) yang menyatakan bahawa kualiti kemudahan makmal akan mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran pelajar. Di Australia, satu bancian telah dilakukan ke atas para guru mengenai perkaitan antara kemudahan alatan makmal dan persepsi pelajar terhadap persekitaran pembelajaran. Hasil daripada bancian tersebut mendapati bahawa dengan kualiti kemudahan yang lebih baik, proses pembelajaran secara aktif adalah lebih mudah berlaku untuk para pelajar (Ainley, 1978). Di Malaysia, kemahiran manipulatif sains dinilai melalui Pentaksiran Kerja Amali (PEKA). Kajian ini mendapati bahawa PEKA belum mencapai tahap yang memuaskan. Salah satu faktor yang dikenalpasti ialah peralatan makmal yang tidak mencukupi (Ros Ayu, 2007) (Ruslina, 2001). Oleh hal yang demikian, kementerian seharusnya menambah jumlah radas-radas di dalam makmal supaya semua pelajar mendapat peluang untuk melakukan eksperimen sejajar dengan aspirasi sistem dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Malaysia yang ingin memberikan akses yang sama rata untuk semua pelajar (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).

2.3Jumlah pelajar di dalam makmalDi dalam sesebuah kelas, jumlah maksimum pelajar yang boleh ditampung untuk mendapatkan pembelajaran yang berkesan adalah 30 orang. Namun, senario di Malaysia, berdasarkan dapatan pada tahun 2000 yang dijalankan di 4 bandar besar di Malaysia mendapati purata jumlah pelajar di dalam sebuah kelas sekolah menengah adalah 36 orang (Kualiti Hidup Bandar di Malaysia, 2002). Jumlah ini mungkin lebih tinggi pada masa sekarang di mana sesebuah kelas kadang-kala boleh mencapai sehingga 40 orang pelajar. Jumlah pelajar yang terlampau ramai ini tidak sesuai untuk para pelajar melakukan aktiviti di dalam makmal sains. Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap PEKA, antara salah satu sebab mengapa pencapaian pentaksiran ini kurang memuaskan adalah kerana bilangan pelajar yang terlampau ramai (antara 43-45 orang) dalam sesebuah kelas amali (Ros Ayu, 2007) (Ruslina, 2001). Di United Kingdom, bilangan pelajar maksimum pelajar yang telah ditetapkan seramai 30 orang The Department for Education, 2001). Jumlah bilangan pelajar yang terlampau ramai di sesebuah kelas di sekolah menengah Malaysia tidak dapat dielakkan kerana jumlah sekolah menengah di Malaysia adalah lebih sedikit (2000 buah) berbanding sekolah rendah (5000) (Utusan Malaysia Online, 2010). Walaupun begitu, untuk meningkatkan kemahiran proses sains serta meningkatkan lagi tahap pencapaian murid di dalam penaksiran PEKA, kita seharusnya mengecilkan saiz kelas tersebut. Kelas mungkin boleh dibahagikan kepada dua untuk setiap kali kelas amali. Disebabkan bilangan makmal yang terhad, untuk setiap sesi pembelajaran, satu kumpulan pelajar di antara 20-25 orang boleh melakukan kerja-kerja amali manakala satu kumpulan lagi boleh melakukan aktiviti perbincangan. Di sekolah di Ireland Utara, satu kelas amali hanya memuatkan seramai 20 orang sahaja (20 orang bagi 90 m2 keluasan makmal) (CLEAPSS, 2009). Kelas amali yang lebih kecil ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan eksperimen, malahan dapat mengurangkan kadar kemalangan di dalam kelas. Para pelajar juga dapat diberi peluang untuk lebih meneroka dan guru-guru juga dapat memberikan fokus dan bimbingan yang lebih kepada kumpulan pelajar yang lebih kecil.

2.4Pengunaan komputer di dalam makmalKomputer bukanlah satu benda yang asing dalam era globalisasi.. Komputer boleh dilihat sebagai salah satu gedung ilmu di abad ke-21. Ini kerana fungsi komputer yang merangkumi pencarian maklumat tanpa sempadan melalui pengunaan internet dan juga memudahkan pekerjaan seharian dengan menggunakan pelbagai perisian yang telah direka. Makmal sains di sekolah seharusnya dilengkapi dengan beberapa buah komputer di dalamnya. Pada awal tahun 1980, satu projek telah dijalankan di Amerika Syarikat iaitu Computer as Learning Partner untuk melihat sejauh mana komputer mampu untuk meningkatkan taraf pencapaian pelajar. Projek tersebut melibatkan pelajar-pelajar untuk melakukan eksperimen dan membincangkan hasil eksperimen tersebut di samping mengaplikasikan kemahiran proses sains. Dengan menggunakan komputer, pelajar-pelajar dapat merekodkan data menggunakan perisian sedia ada di dalam komputer. Hasil daripada data yang telah direkodkan dapat dilihat secara terus dan cepat oleh para pelajar. Mereka juga diberi tugasan untuk mengkaitkan eksperimen tersebut dengan kehidupan seharian mereka (National Research Council, 2005). Dengan adanya komputer, pemahaman mereka terhadap eksperimen yang dilakukan adalah lebih mendalam kerana mereka aplikasi dapat dilihat secara terus dan segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan serta-merta. Secara tidak lansung, minat pelajar terhadap matapelajaran sains dapat ditingkatkan (Linn & Hsi, 2000). Namun di Malaysia, kajian menunjukkan pengunaan komputer semasa eksperimen dijalankan di dalam makmal adalah rendah (Shahril, 2006). Pembelajaran secara aktif di dalam makmal dengan menggunakan komputer haruslah dipertingkatkan kerana pengunaan komputer mampu meningkatkan pembelajaran dan pemahaman bagi fenomena sains yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, lebih-lebih lagi ketika eksperimen dijalankan (Fatimah, Pengunaan Komputer dalam Pembelajaran Kimia).

3.0Penutup

Berdasarkan Falsafah Sains Negara, selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara, pendidikan sains di Malaysia seharusnya memupuk budaya sains dan teknologi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan insan yang kompetitif, dinamik, tangkas dan berdaya tahan serta dapat menguasai ilmu sains dan keterampilan teknologi. Penguasaan bidang sains ini bermula dengan pendidikan di sekolah dan peranan makmal sains adalah sangat besar untuk membentuk pemikiran yang saintifik dan kritis agar dapat menghasilkan modal insan yang sentiasa maju ke hadapan dan berfikir di luar kotak. Secara dasarnya, penambahbaikan yang dicadangkan mampu dilakukan oleh kerajaan dan pihak pelaksana di sekolah. Namun kekangan bajet yang diberikan dan sumber manusia mungkin merencat perkembangan ini. Kerjasama di antara semua pihak adalah penting bagi menjadikan harapan dan aspirasi negara menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat agar Malaysia terus kekal setanding dengan negara-negara maju yang lain.

RUJUKAN

Ainley, J. (1978). An evaluation of the Australian science facilities program and its effect on education in Australian Schools. CLEAPSS. (2009). Designing and Planning Laboratories. Uxbridge, United Kingdom: CLEAPSS.Fatimah Hishamuddin. Penggunaan Komputer dalam Pembelajaran Kimia. http://eprints.utm.my/26227/1/Penggunaan%20Komputer%20dalam%20Pembelajaran%20Kimia.pdfKementerian Pendidikan Malaysia, (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Kementerian Pendidikan Malaysia.Kualiti Hidup Bandar di Malaysia. (2002).Linn, M.C., & Hsi, S. (2000). Computers, Teachers, Peers.National Council Research (2005). America's Lab Report: Investigations in High School Science. 2005: The National Academic Press.Ros Ayu Abdullah (2007). Penilaian Kerja Amali (PEKA) Sebagai Satu Pentaksiran Alternatif. Tesis Sarjana, UPSI.Ruslina Omar (2001). Masalah-masalah Dalam Pelaksanaan Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) di Sekolah-sekolah Menengah Daerah Temerloh. Tesis Sarjana UKM.Safety in Academic Chemistry Laboratories. (2003). Washington, DC: American Chemical Society.Shahril Sabudin. (2006). Sikap dan Persepsi Guru Sains Terhadap Pengunaan Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Makmal Sains.The Department for Education (2011). Class Size and Education in England Evidence Report. The Department for Education.Utusan Malaysia Online. (2010). Banyakkan sekolah, kecilkan bilangan murid. http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2010/01/banyakkan-sekolah-kecilkan-bilangan.html

Utusan Malaysia Online (2001). Makmal sains - Keselamatannya dipertikaikan. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Wawasan 2020. (1991)