tasawwur islam

Upload: wira-pairan

Post on 08-Jul-2015

104 views

Category:

Documents


5 download

TRANSCRIPT

TASAWWUR ISLAM: SATU ANALISIS HUBUNGANNYA DENGAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM1

Mohd Shukri Hanapi Mohd Nizho Abdul Rahman ABSTRAK Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis hubungan tasawwur Islam dengan pembangunan berteraskan Islam (PBI). Tasawwur Islam di sini merujuk kepada gambaran bentuk Islam yang hakiki. Ia bertujuan menjelaskan prinsip-prinsip asas Islam secara keseluruhan dan seterusnya menggambarkan agama Islam sebagai agama yang fleksibel dan global. Umumnya, terdapat tiga perkara asas dalam tasawwur Islam. Pertama, hubungan dengan Allah s.w.t. sebagai Pencipta. Kedua, hubungan sesama manusia; dan ketiga, hubungan dengan alam semesta. Setiap individu yang mendapat gambaran bentuk Islam yang hakiki ini, maka perhubungannya dengan Pencipta, sesama manusia dan dengan alam semesta akan menjadi baik. Jelaslah di sini bahawa tasawwur Islam merupakan perkara asas dalam mencorakkan kehidupan manusia. Oleh sebab itu, dalam pembinaan dan pelaksanaan PBI, ia juga mestilah berasaskan tasawwur Islam tulen. Persoalannya, kenapakah PBI yang dibina berasaskan tasawwur bukan Islam atau ideologiideologi ciptaan manusia tidak boleh dianggap PBI tulen? Kertas kerja ini akan cuba menjawab persoalan ini dengan menganalisis tiga perkara utama. Pertama, meninjau konsepsi dan asas-asas tasawwur Islam. Kedua, membuat tinjauan terhadap konsepsi PBI. Ketiga, membuat analisis terhadap hubungan tasawwur Islam dengan PBI. Hal ini dibuat dengan menumpukan perbincangan kepada pandangan-pandangan pakar dalam bidang PBI. Semua pandangan ini ditinjau berdasarkan penulisan-penulisan yang sedia ada. Akhirnya kertas kerja ini diharapkan dapat merumuskan bahawa tasawwur Islam mempunyai kedudukan paling penting dalam pembinaan dan pelaksanaan PBI. Kata Kunci : Tasawwur Islam, Pembangunan Berteraskan Islam

1

Kertas kerja yang dibentangkan di The 2nd International Conference on Arab Malaysian Islamic Global Business Entrepreneurship anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 20 24 Mac 2010.

1

PENGENALAN Tasawwur Islam merupakan gambaran bentuk Islam hakiki. Ia menjelaskan secara keseluruhan prinsip asas Islam secara benar dan lengkap sehingga sebati dalam diri orang yang memahaminya. Umumnya, al-Quran sudah menggambarkan adanya tiga perkara asas dalam tasawwur Islam iaitu Allah s.w.t. sebagai Pencipta, manusia sebagai makhluk dan alam semesta sebagai makhluk. Oleh itu, setiap orang mendapat gambaran bentuk Islam hakiki dan memahami secara keseluruhan prinsip asas Islam terkandung dalam al-Quran serta beramal dengannya, mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam serta kecemerlangan hidup masyarakat Islam di dunia dan akhirat. Jika tasawwur Islam dilihat sebagai pencorak kepada kehidupan manusia, apakah pula hubungannya dengan PBI? Justeru, kertas kerja ini akan cuba menjawab persoalan ini dengan menumpukan perbincangan kepada tiga perkara utama. Pertama, konsepsi dan asas-asas tasawwur Islam. Kedua, konsepsi PBI. Ketiga, analisis hubungan tasawwur Islam dengan PBI. Dalam perkara pertama akan dibincangkan definisi, asas-asas dan ketulenan tasawwur Islam. Dalam perkara kedua pula akan dibincangkan pengertian PBI menurut pandangan pemikir-pemikir Islam. Dalam perkara ketiga akan dihujahkan bahawa tasawwur Islam merupakan acuan atau tapak kepada PBI. Sesebuah pembangunan yang hakiki tidak dapat dibentuk jika asas atau tapaknya tidak kukuh. Untuk memperkuatkan hujah, dibawakan juga contoh-contoh dari al-Quran.

KONSEPSI TASAWWUR ISLAM Perkataan tasawwur berasal daripada perkataan bahasa Arab. 2 Ia bermula daripada kata dasar sawwara (Madkur, 1990:373; Ibn Manzur, 1993:45 dan Ramli Awang, 2002:5) dan mempunyai tiga pengertian utama. Pertama, memberikan tanggapan terhadap rupa sesuatu yang dapat digambarkan3 (Ibn Manzur, 1990:473; 1993:45 dan al-Munjid, 1992:440). Kedua, menjelaskan gambaran sebenar terhadap sesuatu4 (al-Qasimiy, 1989:755; Masud, 1986:936 dan al-Munjid, 1992:440). Ketiga, menghasilkan rupa sesuatu di dalam akal5 (al-Qasimiy, 1989:755 dan Madkur, 1990:373).2

Dalam sesetengah penulisan, perkataan tasawwur ini sering diterjemahkan dengan ungkapan yang berbeza-beza. Misalnya, Siddiq Fadzil (2009) menterjemahkannya dengan pandangan sarwa, pandangan dunia dan pandangan hidup. Al-Buraey (1985:309), Chapra (1992:1), Mohd. Kamal Hassan (1993), Syed Muhammad Naquib al-Attas (1995), Mohamed Asri & Mohamed Fahmi (2003) dan Muzammil H. Siddiqi (2006) menterjemahkannya dengan worldview. Manakala Wan Mohd. Nor Wan Daud (1994:15) pula menterjemahkannya dengan weltanschauung.3

Seperti dikatakan yang bermaksud Aku telah menggambarkan sesuatu: Iaitu membuat tanggapan terhadap rupa bentuknya. (Ibn Manzur, 1990:473 dan 1993:45). Dikatakan juga yang bermaksud Menggambarkan sesuatu, yakni memberi gambaran atau tanggapan terhadap rupa bentuk sesuatu dan mengkhayalkannya di dalam akal fikiran. (al-Munjid, 1992:440)4

Seperti dikatakan yang bermaksud Menggambarkan: Iaitu memberi gambaran rupa dan bentuk sesuatu (al-Qasimiy, 1989:755 dan Masud, 1986:936). Dikatakan juga Menggambarkan baginya sesuatu: Iaitu memberi gambaran sebenar rupa dan bentuk sesuatu di dalam akal (al-Munjid, 1992:440).5

Seperti dikatakan yang bermaksud Menghadirkan rupa sesuatu di dalam akalnya (Madkur, 1990:373 dan al-Qasimiy, 1989:755).

2

Selain maksud tasawwur dalam penggunaan bahasa Arab di atas, dalam penggunaan lazim pula, tasawwur mempunyai beberapa pengertian. Misalnya, Sire (1988:17), Chapra (1992:1) dan Hamid (1999:1) mendefinisikan tasawwur sebagai satu tanggapan, andaian atau pandangan sama ada berbentuk implisit atau eksplisit tentang alam semesta dan kehidupan manusia. Philips & Brown (1991:29) pula mendefiniskan tasawwur sebagai satu penjelasan dan tafsiran tentang dunia, kemudian berusaha mengaplikasikannya dalam kehidupan. Manakala Walsh & Middleton (1984:32) memberikan definisi yang lebih khusus dari itu iaitu menyediakan satu pandangan dunia yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Semua pentakrifan lazim istilah tasawwur ini, jelas ia dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Barat (Siddiq Fadzil, 2009). Dari perspektif Islam, tasawwur bukanlah semata-mata pandangan terhadap alam fizikal atau kehidupan dunia. Jika digunakan pentakrifan tasawwur lazim yang terhad kepada makna pandangan alam fizikal ini, maka ia tidak tepat kerana mempamerkan seolah-olah tasawwur dari perspektif Islam hanyalah spekulasi falsafah yang berasaskan semata-mata kepada pengalaman inderawi dan perkara-perkara yang boleh dilihat. Padahal tasawwur dari perspektif Islam merentas alam fizikal, yakni meliputi alam-alam dunia dan akhirat (Syed Naquib alAttas,1995:1). Oleh sebab itu, Muhammad Naquib al-Attas (1995:1) dan Siddiq Fadzil (2009) mendefinisikan tasawwur dengan satu persepsi, perspektif, tanggapan atau gambaran realiti dan kebenaran tentang segala sesuatu, yakni tidak hanya terhad kepada ruang lingkup alam fizikal sahaja. Ini bersesuaian dengan Islam yang bersifat komprehensif. Berdasarkan kepada beberapa pengertian tasawwur di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa maksud istilah tasawwur yang diguna dalam kertas ini ialah gambaran atau penjelasan yang komprehensif dan hakiki mengenai sesuatu (Ramli Awang, 2002:6). Pengertian yang komprehensif ini merangkumi penjelasan yang sebenar dan lengkap tentang perkara yang dikaji (Haron Din, 1992:3). Apabila perkataan tasawwur itu digabungkan dengan perkataan Islam, maka ia membentuk tasawwur Islam yang bermaksud gambaran Islam yang hakiki. Hal ini menunjukkan tasawwur Islam bermaksud pengertian komprehensif atau hakiki mengenai Islam yang bertujuan memperjelaskan secara keseluruhan prinsip asas Islam secara benar dan menyeluruh sehingga menjadi asas kepada pandangan hidup dan bersebati dalam diri seseorang (Haron Din, 1992:3; Muhammad Syukri Salleh, 2003:21; dan Ramli Awang, 2006:6).6

6

Dalam sesetengah penulisan, perkataan tasawwur ini sering diterjemahkan dengan ungkapan yang berbeza-beza. Misalnya, Siddiq Fadzil (2009) menterjemahkannya dengan pandangan sarwa, pandangan dunia, pandangan alam dan pandangan hidup. Al-Buraey (1985:309), Chapra (1992:1), Mohd. Kamal Hassan (1993), Syed Muhammad Naquib al-Attas (1995), Mohamed Asri & Mohamed Fahmi (2003) dan Muzammil H. Siddiqi (2006) menterjemahkannya dengan worldview. Manakala Wan Mohd. Nor Wan Daud (1994:15) pula menterjemahkannya dengan weltanschauung. Walau bagaimanapun, menurut Haron Din (1992:2), semua istilah pandangan sarwa, pandangan dunia, pandangan alam, pandangan hidup, worldview dan weltanschauung ini kurang menepati maksud sebenar istilah tasawwur dari perspektif Islam. Justeru itu, beliau dan penulis-penulis lain seperti Ramlan Ahmad dan Nor Aishah Raduan (2002), Ahmad Mohd Salleh (2004:22) dan Ali Ahmad et. al. (2005:vi) mengekalkan penggunaan istilah tasawwur mengikut sebutan asal bahasa Arab yang maksudnya lebih tepat dan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam yang terkandung di dalamnya.

3

ASAS-ASAS TASAWWUR ISLAM MENURUT AL-QURAN Umumnya, al-Quran sama ada secara langsung mahupun tidak langsung telah menggambarkan terdapat tiga perkara asas dalam tasawwur Islam (Muhammad Syukri Salleh, 2003:21 dan Ramli Awang, 2008:16-54). Perkara-perkara asas berkenaan ialah: a. Allah s.w.t. Sebagai Pencipta

Allah s.w.t. dapat dikenali dengan tepat melalui maklumat wahyu. Islam meletakkan kuasa yang mutlak dalam kehidupan manusia di tangan Allah s.w.t., Tuhan yang mencipta alam dan manusia (al-Rahman, 55:3), binatang dan tumbuh-tumbuhan (Ghafir, 40:79 dan Nuh, 71:17), dan mencipta langit dan bumi serta segala isi kandungannya (al-Furqan, 25:59). Allah s.w.t. bersifat Esa dan semua makhluk amat memerlukan pertolongan-Nya. Tiada sesuatu pun yang dapat menyamai dan menyainginya (Abdul Halim El-Muhammady, 1992:5 dan Muhammad Nasri Md Hussain & Ab. Aziz Yusof, 2005:29). Semua ini merupakan hakikat ketuhanan yang wajib diimani oleh setiap insan. Menurut Nadiat Jamaluddin (1983), hakikat hubungan di antara manusia dengan Allah s.w.t. ini merupakan konsep rububiyyah7 dan uluhiyyah8 Allah s.w.t. Segala urusan diserah kepada Allah s.w.t. yang mencipta manusia dan alam semesta (dipetik daripada Ahmad Mohd Salleh, 2004:22). Sekiranya keimanan seseorang muslim kepada hakikat ketuhanan ini tidak menepati kehendak uluhiyyah, ia akan menjadi seperti akidah orang-orang kafir jahiliah. Golongan musyrikin tersebut beriman dengan rububiyyah Allah s.w.t. sepertimana yang diimani oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para pengikut baginda pada zamannya. Akan tetapi golongan musyrikin itu tidak beriman dari sudut uluhiyyah yakni mereka tidak mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. (Abdullah Yasin, 1990:87 dan Ramli Awang, 2008:16). Perihal tasawwur akidah kaum musyrikin terhadap Allah s.w.t. selaku pencipta telah dijelaskan di dalam al-Quran. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan sekiranya kamu bertanyakan kepada mereka itu (golongan musyrik): Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan? Tentu mereka akan menjawab: Allah (al-Ankabut, 29:61). Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan sekiranya kamu bertanyakan kepada mereka: Siapakah yang menurunkan air dari langit (hujan) lalu menghidupkan dengan air itu bumi

7

Ialah mengakui dengan sepenuh hati bahawa Allah s.w.t. merupakan Tuhan, Pencipta, Pemilik dan Pentadbir seluruh alam ini yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana tanpa ada satu pun kuasa yang dapat menandinginya (Abdullah Yasin, 1990:84; Ramlan Ahmad & Nor Aishah Raduan, 2002:2; dan Jihad, 2005:101-102).8

Ialah mengakui bahawa hanya Allah s.w.t. yang Esa yang layak disembah, ditaati dan dipatuhi secara mutlak. Paksi kepada tauhid uluhiyyah ini ialah dua kalimah syahadah (Abdullah Yasin, 1990:87; Ramlan Ahmad & Nor Aishah Raduan, 2002:2; dan Jihad, 2005:104).

4

sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab: Allah (al-Ankabut, 29:63).9 Meskipun dilihat kaum musyrikin mempercayai tentang kewujudan Allah s.w.t. dan meyakini bahawa Allah s.w.t. yang menjadikan alam seluruhnya, menurunkan hujan, memberikan rezeki kepada mereka, menghidupkan dan mematikan, namun mereka tetap dianggap kufur kerana tidak benar-benar meletakkan keimanan mereka menurut yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Mereka menggunakan perantaraan dalam menyembah Allah s.w.t. (Abdullah Yasin, 1990:87); peraturan dan pentadbiran mereka tidak diambil daripada hukum serta ketetapan Allah s.w.t.; nilai-nilai hidup, budaya, sosial, ekonomi dan sebagainya tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar; dan menjadikan nafsu sebagai ukuran dalam melakukan sesuatu perkara. Justeru, tasawwur akidah seseorang muslim terhadap Allah s.w.t. hendaklah merangkumi keduadua konsep ketuhanan, iaitu konsep rububiyyah dan uluhiyyah. Keimanan seseorang hamba itu tidak lengkap sekiranya tasawwur akidahnya terhadap Allah s.w.t. hanya sekadar beriman dengan konsep rububiyyah sahaja atau sebaliknya. Bertolak daripada asas keyakinan tauhid ini, manusia dapat membebaskan dirinya daripada tunduk dan patuh kepada sesuatu yang bercorak makhluk, sama ada dalam bentuk yang berjirim atau roh yang telah menguasai diri manusia (Abdul Halim El-Muhammady, 1992:5). Maka dengan keyakinan tauhid ini manusia meletakkan tempat pergantungan, perlindungan, penghormatan dan pengabdiannya hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata (al-Fatihah, 1:5). Justeru, ia bebas daripada belenggu dan konkongan kuasa alam ini, malah mereka dapat menguasai alam dengan kekuatan dan keyakinan ini. b. Manusia Sebagai Makhluk

Manusia adalah suatu kejadian yang unik jika dibandingkan dengan semua makhluk hidup yang lain. Ia diciptakan oleh Allah s.w.t. meliputi roh, jasad dan akal. Manusia berasal daripada Nabi Adam a.h. (al-Araf, 7:189) dan bukannya daripada binatang sebagaimana dakwaan Darwin 10. Dengan kemampuan akal dan roh ini, manusia dapat meningkatkan kualiti kehidupannya dan lebih baik daripada makhluk yang lain. Sebenarnya, manusia merupakan sebahagian daripada alam, tetapi alam dijadikan untuk kemudahan dan kemanfaatan manusia (al-Baqarah, 2:29; al-Araf, 7:26; dan al-Nahl, 16:5) supaya manusia dapat menggunakannya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Hubungan9

Perkara ini dijelaskan juga dalam Surah Yunus (10:31) yang bermaksud, Bertanyalah kepada mereka yang musyrik itu, siapakah yang memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup daripada yang mati, dan mengeluarkan makhluk yang mari daripada yang hidup? Dan siapakah yang mentadbirkan sekalian alam? (dengan pertanyaan-pertanyaan itu) mereka akan menjawab, Allah. Oleh itu, katakanlah mengapa kamu tidak mahu bertakwa; dan Surah al-Zukhruf (43:87) yang bermaksud, Dan sekiranya kamu bertanyakan mereka siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab, Allah.10

Pada kebelakangan ini teori evolusi Darwin ini banyak dikritik oleh para sarjana sains Barat. Untuk maklumat terperinci lihat, Critique of Evolution Theory (1987), karya Osman Bakar.

5

manusia dengan alam (hubungan mendatar) adalah dalam bentuk manusia sebagai tuan atau pelaku pembangunan, tetapi pada masa yang sama manusia mesti menunjukkan bahawa ia adalah hamba kepada Allah s.w.t. (hubungan menegak). Sebagai hamba, tugasnya ialah beribadat kepada Allah s.w.t. Hal ini bertepatan dengan tujuan asal manusia diciptakan oleh Allah s.w.t., iaitu untuk beribadat kepada-Nya (Ab. Aziz Mohd Zin, 1995:2001). Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri (beribadah) kepada-Ku (al-Zariyat, 51:56). Lantaran keistimewaan-keistimewaan yang ada pada manusia, Allah menentukan tugas yang besar ke atasnya iaitu sebagai khalifah di bumi (al-Baqarah, 2:30). Tugas ini merupakan satu amanah besar daripada Allah s.w.t. yang tidak sanggup dipikul oleh semua makhluk Allah s.w.t. yang lain (al-Ahzab, 33:72). Menurut Nadiat Jamaluddin (1983), manusia merupakan khalifah Allah s.w.t. yang ditugaskan untuk memakmurkan muka bumi ini (al-Anam, 6:165 dan Yunus, 10:14). Justeru, matlamat manusia lebih jauh, iaitu beribadat 11 dan mengesakan Allah s.w.t. Sekiranya manusia mengikuti jalan yang ditetapkan dengan menjauhi diri daripada mengikuti pemikiran yang sesat dan suasana persekitaran yang buruk, sesungguhnya ia telah mencapai ke tahap kebahagiaan yang tinggi. Selepas berpisahnya roh daripada jasad, ia akan ditempatkan ke alam akhirat yang dipenuhi dengan nikmat yang kekal abadi (dipetik daripada Ahmad Mohd. Salleh, 2004:23). c. Alam Semesta Juga Sebagai Makhluk

Alam yang terbentang luas dalam pelbagai bentuk dan rupa, serta penuh dengan keunikan kejadiannya adalah milik Allah s.w.t. (al-Nur, 24:42) yang menciptanya termasuk diri manusia sendiri. Di samping itu, ia juga merupakan salah satu daripada tanda kebesaran Allah s.w.t. Manusia akan mendapat tasawwur yang jelas tentang kewujudan Allah s.w.t. melalui pemerhatiannya terhadap alam. Menurut Ramli Awang (2008:43), kejadian alam semesta ini merupakan tanda terbesar rububiyyah Allah s.w.t. terhadap mahkluk. Kejadian alam itu saling berhubungan antara satu bahagian dengan bahagian alam yang lain. Bahkan antara bahagian alam itu saling tidak terpisah dalam rangka berkhidmat kepada yang lain. Oleh itu, manusia seharusnya melihat alam semesta ini sebagai hamba kepada Allah s.w.t. yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Dari situ tiada sebab mengapa manusia harus bermusuh dengan alam sekeliling yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan. Sewajarnya, manusia perlu mengenali alam semesta sebagai sahabatnya untuk ia mengenali dengan lebih lanjut mengenai dirinya dan peranannya terhadap makhluk lain yang diciptakan

11

Al-Quran menggariskan dua bentuk tasawwur mengenai ibadah. Pertama, ibadah ijabiyyah (positif) iaitu berupa suruhan atau perintah supaya manusia melakukannya, seperti perintah solat dan zakat (al-Baqarah, 2:110), haji (alBaqarah, 2:197), puasa (al-Baqarah, 2:183) dan bertaubat (Nuh, 71:10). Kedua, ibadah salbiyyah (negatif) iaitu berupa suruhan atau perintah supaya manusia meninggalkannya (tidak melakukan), seperti perintah menjaga pandangan dan kehormatan diri (al-Nur, 24:30) dan larangan minum arak, berjudi, bertilik nasib dan menyembah berhala (al-Maidah, 5:37).

6

oleh Allah s.w.t. Di samping itu, alam sebagai alat kepada manusia bagi membantunya dalam melaksanakan tugas sebagai hamba yang tunduk serta patuh kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dialah (Allah), yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan dia Maha mengetahui segala sesuatu (al-Baqarah, 2:29). Firman-Nya lagi yang bermaksud: Dan Dia telah menciptakan binatang-binatang ternakan untuk kamu; padanya ada (bulu) yang dapat memanaskan (tubuh daripada kesejukan) dan beberapa faedah yang lain dan daripadanya juga kamu makan (alNahl, 16:5). Allah s.w.t. tidak pernah memberi hak milik secara mutlak kepada manusia, tetapi yang diberiNya hanya untuk kemudahan mengguna dan memanfaatkan bahan-bahan ciptaan itu untuk faedah manusia (Abdul Halim El-Muhammady, 1992:5). Allah s.w.t. memberi kemudahan kepada manusia untuk meneroka dan menggunakan barang-barang ciptaan-Nya mengikut sempadan peraturan dan adab yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. (al-Jathiyah, 45:13). Dengan kemudahan yang diberikan oleh Allah s.w.t. itu akan menyedarkan manusia tentang kepentingan dan nikmat Allah s.w.t. untuk kehidupannya. Perkara besar yang menimbulkan masalah kepada kehidupan manusia sekarang ini ialah manusia merasakan bahawa dunia ini adalah miliknya secara mutlak. Justeru, mereka melakukan apa sahaja yang diingininya (Abdul Halim El-Muhammady, 1992:6). Berdasarkan konsep pemilikan nisbi yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada semua manusia, akan membuat mereka lebih berhati-hati dalam menggunakan sebarang perkara dan kuasa yang ada supaya tidak terkeluar daripada kehendak dan ketentuan Allah s.w.t. sebagai Pemilik mutlak terhadap sesuatu kuasa.

TASAWWUR ISLAM TULEN Tasawwur Islam amat penting difahami dengan betul oleh seluruh umat Islam. Pengertian tasawwur yang dijelaskan sebelum ini mempunyai bidang atau ruang lingkup yang amat luas. Ia merangkumi semua aspek kehidupan manusia dan meliputi keseluruhan Islam. Bermula dari tasawwur terhadap Pencipta (Allah s.w.t.), manusia, alam sekeliling sehinggalah kepada hubungan antarabangsa dan kehidupan selepas kematian. Tasawwur amat penting dalam kehidupan kerana ia yang mencorakkan segala kehidupan manusia. Tasawwur yang jelas tentang sesuatu akan memberi kesan yang besar terhadap tindakan. Dalam erti kata lain, segala sikap dan tindakan seseorang itu adalah lahir dari tasawwurnya terhadap kehidupan ini (Ramli Awang, 2008:6). Maka tasawwur yang tulen akan melahirkan tindakan yang betul, manakala tasawwur yang tidak benar pula akan melahirkan tindakan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam yang sebenar.

7

Menurut Ramli Awang (2008:6), tasawwur Islam tulen bermakna menggambarkan prinsipprinsip Islam yang sebenar dan seterusnya memahami dan menghayati Islam secara menyeluruh dalam kehidupan. Meletakkan Islam dalam tasawwurnya yang sebenar bermakna menjadikan Islam sahaja sebagai satu-satunya manhaj (jalan) kehidupan yang memerdekakan manusia daripada memperhambakan diri kepada sesama manusia. Jadi, umat Islam yang hidup beracuankan tasawwur Islam yang tulen akan tunduk dan patuh semata-mata kepada Allah s.w.t. sahaja (Ramli Awang, 2008:6). Apabila mereka mengasihi sesuatu, maka sifat kasihan belas itu semata-mata kerana Allah s.w.t.; dan apabila mereka mentaati sesuatu peraturan, maka ketaatan itu juga hanyalah kerana Allah s.w.t. Jelas di sini bahawa umat Islam yang berpegang kepada tasawwur Islam tulen, mereka benar-benar bebas daripada berubudiyyah kepada sesama manusia. Inilah perbezaan yang paling ketara antara tasawwur Islam dengan tasawwur bukan Islam. Tasawwur bukan Islam itu merupakan seluruh manhaj yang dijelmakan di dalamnya penyembahan serta pengabdian manusia kepada manusia. Setiap manhaj, prinsip, peraturan dan nilai perundangan yang dianuti adalah bersumberkan daripada manusia yang serupa dengan mereka (Faiz, 1975:15). Selagi seseorang itu tidak membebaskan dirinya dari ikatan tasawwur bukan Islam, selagi itulah ia terperangkap di dalam paradigma lazim. Selagi ia terperangkap di dalam cengkaman tasawwur bukan Islam, selagi itulah pembangunannya tidak boleh dikatakan pembangunan berteraskan Islam (Muhammad Syukri Salleh, 2003:21). Tasawwur Islam tulen bukanlah merupakan penyembahan kepada benda atau material yang mengasaskan kehidupan manusia kepada falsafah material yang mementingkan kebendaan dalam kehidupan mereka (Ramli Awang, 2008:8). Hal ini berbeza dengan tasawwur bukan Islam yang lebih bersifat materialistik. Apabila kehidupan manusia dikuasai oleh sifat material itu, maka skala waktu pembangunan mereka hanya terbatas kepada kehidupan dunia semata-mata. Justeru, mereka langsung tidak memperdulikan kehidupan akhirat yang kekal abadi dan seterusnya tidak meletakkan al-Falah (kejayaan) dan mardhatillah (keredhaan Allah) sebagai matlamat akhir kehidupan. Secara mudahnya, tasawwur mereka ialah ingin mendapatkan pulangan yang bersifat material. Senario kehidupan manusia yang tidak mempunyai tasawwur Islam tulen akan menghormati dan menyanjung tinggi manusia lain yang dapat memberikan kepada mereka harta benda serta kesenangan di dunia. Sebaliknya orang yang tidak dapat memberikan kebendaan kepada mereka ditolak, diingkari dan dicaci (Ramli Awang, 2008:8). Jelaslah bahawa tasawwur Islam tulen tidak melihat kepada ukuran status dan kedudukan berdasarkan nilai kebendaan. Lantaran itu amat perlu tasawwur yang benar terhadap Islam bagi membangunkan kehidupan manusia dari keduniaan para hamba kepada bentuk keduniaan ubudiyyah (memperhambakan diri) semata-mata kerana Allah s.w.t. tanpa sekutu bagi-Nya.

8

KONSEPSI PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM DARI PERSPEKTIF PEMIKIRAN ISLAM Berdasarkan tinjauan yang dibuat setakat ini, didapati terdapat beberapa definisi PBI. Antaranya ialah Surtahman Kastin Hasan (1990:87) dan Mohd. Kamal Hassan (1988:251), mendefinisikan PBI merangkumi aspek-aspek moral, kerohanian dan kebendaan. Ia menjadi suatu kegiatan yang berorientasikan nilai dan matlamat penyempurnaan kesejahteraan manusia dalam semua aspek itu. Aspek moral dan kebendaan, ekonomi dan sosial, kerohanian dan fizikal tidak boleh dipisahkan. Matlamatnya bukan sekadar mendapat kesejahteraan di dunia, malah ingin melihat kesejahteraan itu berterusan sehingga ke alam akhirat. Manakala Sadeq al-Mahdi (1996:25) pula, mendefinisikan PBI sebagai proses komprehensif yang melibatkan semua aspek kehidupan seseorang individu mahupun sesebuah komuniti dengan tujuan untuk memenuhi matlamat penciptaan manusia itu sendiri. Selain itu, menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (2001:21), beliau mencadangkan penggunaan istilah islah untuk menerangkan makna PBI yang sebenar.12 Berdasarkan makna yang terkandung dalam perkataan islah ini, Wan Mohd Nor Wan Daud (2002:21) menerangkan PBI sebagai menghasilkan kebaikan dari setiap segi dan dalam semua jenis kegiatan manusia serta menghapuskan fasad atau nilai-nilai negatif dari pelbagai sudut dan jenis kegiatan manusia. Adapun menurut Fathi Yakan (2002:47) pula, beliau menggunakan istilah al-Tanmiyyah (peningkatan dan pertambahan) untuk menerangkan erti PBI. Berdasarkan makna yang terkandung dalam istilah al-Tanmiyyah ini, Fathi Yakan (2002:47) menjelaskan PBI sebagai peningkatan dan pertambahan semua aspek kehidupan seperti peningkatan keimanan, keilmuan, beribadat, akhlak, dakwah, kebajikan dalam masyarakat, pengeluaran dan pengurusan kerana sifat kehidupan ini sentiasa berubah-ubah dan tidak berhenti-henti Dalam pada itu, Muhammad Syukri Salleh (2002:57) telah mengemukakan pengertian PBI yang lebih terperinci dan mendalam dari beberapa pengertian di atas. Menurut beliau, PBI merupakan satu sistem pembangunan yang berupaya mempertahankan status manusia sebagai khalifah Allah s.w.t. dalam perspektif perhubungan mendatarnya (habl min al-Nas) dan mempertahankan status sebagai hamba Allah s.w.t. dalam perspektif perhubungan menegaknya (habl min Allah). Oleh itu, menurut Muhammad Syukri Salleh (2002:57) lagi, pembangunan yang dimaksudkan mesti lahir daripada tasawwur Islam, manakala pelaksanaannya pula mesti berteraskan konsep ibadat menurut Islam. Berdasarkan konseptual PBI yang dikemukakan oleh para ilmuan Islam tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa PBI merupakan pembangunan yang holistik, bersifat komprehensif dan yang berpaksikan kepada ketauhidan kepada Allah s.w.t., berlandaskan tasawwur Islam dan

12

Pada pendapat Wan Mohd Nor Wan Daud, ketiadaan elemen penghapusan nilai-nilai negatif (fasad) di dalam maksud istilah pembangunan menjadikan pengislahan lebih bersifat komprehensif apabila menerangkan erti kata pembangunan berteraskan Islam. Penghujahan Wan Mohd Nor Wan Daud ini adalah berasaskan kepada maksud ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Baqarah (2:11-12 & 220) dan al-Araf (7:85). Untuk keterangan lanjut, lihat Wan Mohd Nor Wan Daud (2001:21-35).

9

bersumberkan epistemologi ilmu Islam13. Ia juga menyatupadukan kedua-dua dimensi perhubungan (menegak dan mendatar) dan kedua-dua aspek pembangunan (lahiriah dan rohaniah) di dalam semua kegiatan pembangunan.

HUBUNGAN TASAWWUR ISLAM DENGAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM Dalam PBI, tasawwur Islam merupakan acuan atau prinsip yang paling utama dalam pembentukannya (Muhammad Syukri Salleh, 2000:60-61 dan Muhammad Syukri Salleh, 2003:21). Oleh kerana ia berkedudukan sebagai acuan atau prinsip utama kepada PBI, maka tasawwur bagi PBI juga menuruti tasawwur Islam itu sendiri. Sebenarnya, dalam usaha Rasulullah s.a.w. membangunkan negara Islam pada suatu ketika dahulu, baginda menjadikan tasawwur Islam sebagai tapak atau asasnya (Khazalii, t.t). Justeru, untuk menuju ke arah PBI, maka setiap individu muslim dalam masyarakat Islam itu sendiri perlulah mendapat gambaran bentuk Islam yang hakiki dan memahami prinsip-prinsip asas Islam secara keseluruhan serta beramal dengannya. Jika setiap individu telah mendapat gambaran bentuk Islam yang hakiki, maka perhubungan dengan Pencipta; perhubungan sesama manusia; dan perhubungan dengan alam keseluruhannya akan menjadi baik. Dalam erti kata lain, ia dapat membawa manusia kepada kecemerlangan hidup di dunia (fi al-Dunya Hasanah) dan di akhirat (fi al-Akhirat Hasanah). Menurut Muhammad Syukri Salleh (2001:5), tasawwur Islam pada asasnya adalah tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia, manakala prinsip 14 PBI adalah tapak khusus bagi pembangunan. Sebenarnya, dari tasawwur Islam inilah lahirnya enam prinsip PBI yang lain. Misalnya, prinsip PBI yang kedua lahir dari tasawwur Islam yang meyakini bahawa manusia adalah makhluk Allah s.w.t. Prinsip PBI yang ketiga, keempat, kelima dan ketujuh pula berhubung rapat dengan tasawwur Islam yang meyakini bahawa Allah s.w.t. adalah Pencipta, manakala prinsip PBI yang keenam pula lahir dari tasawwur Islam yang meyakini bahawa alam semesta adalah makhluk Allah s.w.t. Oleh sebab tasawwur Islam yang mencorakkan segala kehidupan manusia, maka jelaslah bahawa tasawwur Islam mempunyai kedudukan yang paling penting dan utama dalam PBI. Selain dijadikan sebagai acuan atau prinsip utama, ia juga merupakan pengukur untuk menentukan sama ada sesuatu pembangunan yang dibina itu boleh dikatakan sebagai PBI atau tidak.

13

Epistemologi ilmu Islam berakar umbi dari empat sumber utama, iaitu al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas. Keempat-empat sumber ini membentuk satu tasawwur Islam yang jauh berbeza dari tasawwur Barat yang menjadi asas kepada pembentukan ilmu teori pembangunan lazim (Muhammad Syukri Salleh, 2003:21).14

Prinsip-prinsip PBI ini boleh dikumpulkan menjadi tujuh prinsip utama. Prinsip-prinsip utama itu ialah pertama, acuannya ialah tasawwur Islam; kedua, pelakunya ialah manusia hamba dan khalifah Allah s.w.t.; ketiga, skala waktunya meliputi alam roh, alam dunia dan alam akhirat; keempat, kerangkanya ialah ilmu fardhu 'ain (tauhid, fikah dan tasawuf); kelima, perkaedahannya ialah ibadah; keenam, peralatannya ialah sumber alam; dan ketujuh, matlamat akhirnya ialah keredaan Allah s.w.t. (mardatillah) (Muhammad Syukri Salleh, 2001:5 dan Muhammad Syukri Salleh, 2003:14).

10

GAMBARAN-GAMBARAN SALAH TERHADAP TASAWWUR ISLAM DAN IMPLIKASINYA TERHADAP PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM Sesungguhnya gambaran-gambaran yang salah terhadap tasawwur Islam boleh memberi kesan kepada usaha pembentukan dan pelaksanaan PBI. Di antara gambaran-gambaran salah ini ialah seperti mendakwa Islam adalah agama untuk individu sahaja dan tidak ada kena mengena dengan pembangunan masyarakat dan negara; Islam agama untuk akhirat sahaja; Islam tidak boleh dicampur adukkan dengan hal-hal keduniaan (Haron Din, 1992:22-23); dan mencampur adukkan antara tasawwur Islam dengan tasawwur bukan Islam dalam pembentukan dan pelaksanaan PBI (Muhammad Syukri Salleh, 1999:62). Disebabkan gambaran-gambaran dan tanggapan-tanggapan yang salah ini, kertas kerja ini berpendapat PBI sukar dilaksanakan secara komprehensif dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian, untuk memperbetulkan kembali fahaman-fahaman yang salah terhadap tasawwur Islam, maka ia perlu difahami, diterap dan dihidupkan semula di dalam pegangan dan keseluruhan kehidupan setiap muslim. Menurut Ramli Awang (2008:56-57), sekurang-kurangnya terdapat tiga asas penting yang seharusnya diberi perhatian dalam usaha untuk memahami dan mendapatkan tasawwur yang tepat terhadap Islam. Tiga asas penting tersebut ialah pertama, jiwa hendaklah diperbetulkan serta dibersihkan dengan tazkiyah dan tafsiyah (penyucian dan pembersihan jiwa); Kedua, masyarakat hendaklah diperbetulkan dengan konsep keadilan sejati menurut ketentuan Allah s.w.t.; dan Ketiga, pemerintahan hendaklah diperbetulkan dengan cara syura. Semua asas ini merupakan dasar pelaksanaan kepada mana-mana umat Islam di semua peringkat dan nadi kepada kepada kelangsungan hidup masyarakat Islam jika ia dapat dilaksanakan. Setiap individu hendaklah berperanan melaksanakannya semampu mungkin walaupun di mana sahaja dia berada sebagai umat Islam. Sebaliknya jika asas-asas ini diabaikan atau sengaja ditinggalkan, maka akan menjadi bencana dan fitnah kepada umat Islam. Hakikat ini jelas berlaku di dalam negara-negara umat Islam hari ini apabila tiga asas tersebut tidak dilaksanakan. Jiwa umat Islam yang sepatutnya ditazkiyah dan ditafsiyahkan dengan ajaran al-Quran dan hadis, telah ditukar kepada corak pemikiran manusia dalam pelbagai konsep, fahaman serta aliran. Konsep keadilan sejagat yang bersumberkan wahyu Allah s.w.t. pula telah ditukar dengan keadilan yang bersifat pilih kasih terhadap sesiapa yang tidak membantah kejahatan yang dilakukan. Begitulah juga dengan konsep syura yang sepatutnya menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan telah bertukar kepada sistem lain yang boleh mengorbankan kepentingan Islam berikutan kejahilan yang membelenggu (Ramli Awang, 2008:57). Akhirnya hal ini akan melahirkan negara umat Islam yang lemah dan hanya sekadar melaung-laungkan bahawa mereka umat terbaik yang telah dipilih oleh Allah s.w.t. Tidak mungkin mereka dapat bangun sedangkan tiada tempat asas untuk mereka berpijak (Ramli Awang, 2008:57). Adapun usaha untuk menerap dan menghidupkannya dalam kehidupan umat Islam pula ialah dengan melaksanakan pembangunan berteraskan Islam secara holistik. Dari sini akan lahirlah seseorang muslim yang sifat rohani dan jasmaninya dibentuk oleh ajaran Islam; beriman dengan Allah s.w.t. dan rasul-Nya; matlamat hidupnya tidak terhad untuk mendapat kesejahteraan hidup

11

di dunia sahaja, malah juga di akhirat; berjiwa bersih dari segala sifat mazmumah; dan menjadikan ajaran-ajaran Islam sebagai undang-undang kehidupan.

IMPLIKASI PEMBANGUNAN YANG TIDAK DIBINA BERACUANKAN TASAWWUR ISLAM TULEN Sebenarnya al-Quran secara tidak langsung telahpun menjelaskan implikasi pembangunan yang dibina tidak berasaskan tasawwur Islam. Misalnya peristiwa yang menimpa kerajaan Saba 15 pada tahun 120 sebelum masehi. Suatu projek besar iaitu Empangan Marib 16 telah didirikan oleh Kerajaan Saba dengan didokong oleh rakyatnya yang sangat kuat berusaha. Empangan ini mampu membekalkan air selama tiga bulan kepada penduduk Saba ketika musim kemarau. Air dari empangan ini dialirkan melalui saluran-saluran untuk mengairi daerah pertanian seluruh negeri Saba. Dengan terbinanya Empangan Marib ini, negeri Saba berjaya mencapai ke tahap kemakmuran yang paling tinggi. Demikianlah makmurnya negeri ini sehingga sempat pula selepas itu mereka membina dua buah taman tergantung yang cukup indah dan dibina dengan teknik tercanggih pada zaman itu 17 (Harun Yahya, 2004:118). Kemakmuran negeri Saba tidaklah kekal lama. Kemakmuran dan pembangunan yang dikecapi telah menyebabkan mereka lupa dan berpaling daripada mentauhidkan Allah s.w.t. Mereka tenggelam dalam kekufuran dan bermacam-macam kemewahan hidup dunia. Akhirnya Allah s.w.t. menghancurkan umat Saba. Keruntuhan Empangan Marib itu telah menyebabkan berlakunya sayl al-Arim (banjir al-Arim) dan menyebabkan kemusnahan yang amat besar. Kebun-kebun, taman-taman dan ladang-ladang pertanian yang diusahakan oleh kaum Saba sejak sekian lama telah musnah sama sekali (Saba, 34:16-17)18 (Ibn Kathir, 3:540 dan al-Zuhailiy, 1991:165-166). Masyarakat Saba juga telah menempuh tempoh kemelesetan dan kemunduran sebaik sahaja kejadian itu berlaku. Tempoh itu menjadi penghujung bagi negeri Saba (Harun Yahya, 2004:118).1915

Kerajaan Saba terletak di daerah Yaman dengan ibu kotanya Marib (Harun Yahya, 2004:118).

16

Ketinggiannya adalah 16 meter, lebar 60 meter dan panjangnya pula adalah 620 meter. Menurut perkiraan, jumlah kawasan pengairan yang dapat ditampung oleh empangan ini adalah 9,600 hektar; 5,300 hektar di lembah bahagian selatan dan bakinya bagi lembah di bahagian utara. Kedua-dua tempat ini telah direkodkan dalam penulisan Saba sebagai Marib dan Dua Lembahnya (Harun Yahya, 2004:118). Ungkapan dua taman di kanan dan di kiri di dalam al-Quran merujuk kepada taman-taman dan kebun-kebun anggur di kedua-dua lembah tersebut (lihat surah Saba, 34:15-16).17

Kisah Kaum Saba ini telah diceritakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran menerusi surah Saba (34), ayat 15 hingga 17.18

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.19

Selain kisah kerajaan Saba, al-Quran juga banyak menceritakan berkaitan program pembangunan fizikal di zaman lampau seperti semasa pemerintahan Firaun, kaum Ad dan Thamud untuk diambil pengajaran darinya oleh umat Islam khususnya.

12

Jika diteliti, pembangunan yang dibina oleh Kerajaan Saba ini jelas tidak langsung berakar umbi daripada ketiga-tiga asas tasawwur Islam yang dijelaskan sebelum ini. Pengutamaan keupayaan ekonomi seperti pemaksimum pengeluaran dan penggunaan oleh kaum Saba telah menafikan Allah s.w.t. sebagai Pencipta dan sekaligus menafikan bahawa keredaan-Nya (mardatillah) yang seharusnya dijadikan matlamat akhir. Selain itu, fungsi manusia di dalam pembangungan Kerajaan Saba juga turut bercanggah dengan asas tasawwur Islam yang kedua iaitu manusia sebagai makhluk Allah s.w.t. Bagi mereka manusia dianggap sebagai makhluk ekonomi yang fungsinya hanyalah untuk mengeluar dan mengguna semata-mata. Sedangkan berdasarkan kepada tasawwur Islam, manusia selaku makhluk Allah s.w.t., mempunyai fungsi yang lebih khusus daripada itu. Aktiviti pengeluaran dan penggunaan hanyalah sebahagian sahaja daripada alat untuk manusia menjalankan atau mempertahankan fungsi khusus yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka 20. Fungsi khusus manusia yang dimaksudkan ialah sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:31), dalam pembangunan berteraskan Islam, fungsi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. ini direalisasikan menerusi dua dimensi perhubungan. Fungsi manusia selaku hamba Allah direalisasi menerusi hubungan menegaknya dengan Allah s.w.t. (habl min Allah) selaku Pencipta. Manakala fungsi sebagai khalifah Allah s.w.t. direalisasi dalam hubungan mendatar sesama manusia dan sumber alam selaku makhlukmakhluk Allah s.w.t. (habl min al-Nas). Bukan sahaja pembangunan fizikal seperti yang dijelaskan di atas yang perlu dibina berdasarkan tasawwur Islam, malah demikian juga dalam pembangunan rohani. Implikasi pembangunan rohani yang tidak dibina atas acuan tasawwur Islam akan melahirkan manusia yang kufur, tidak mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., memperhambakan diri kepada harta benda dan memiliki sifat-sifat mazmumah (terkeji). Dalam erti kata lain, tidak wujud dua dimensi perhubungan (menegak dan mendatar) dalam kehidupan seseorang manusia itu. Berdasarkan sebab-sebab di atas, maka PBI mestilah dibina dan lahir dari acuannya sendiri, iaitu daripada akar umbi epistemologi dan tasawwur Islam. Sebenarnya Epistemologi ilmu Islam itu sendiri adalah berbeza dari epistemologi ilmu pembangunan bukan Islam. Epistemologi ilmu teori pembangunan bukan Islam berakar umbi dari pemikiran Barat, manakala epistemologi ilmu Islam berakar umbi dari empat sumber utama, yakni al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas ulama (Muhammad Syukri Salleh, 2003:20-21). Atas sebab itu jugalah tidak boleh ada sistem PBI yang lahir dari campur aduk antara epistemologi dan tasawwur Islam dengan epistemologi dan tasawwur bukan Islam. Dengan ini tidak boleh ada campur aduk antara isme-isme lain dalam Islam, seperti kapitalisme Islam atau20

Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:23), pertanggungjawaban fungsi manusia ini telah ditetapkan sebelum kelahiran seseorang manusia itu lagi yakni sewaktu di alam roh. Untuk ini, Muhammad Syukri Salleh merujuk ayat al-Quran yang bermaksud: Dan (ingatlah), ketika Tuhammu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan) (Surah al-Araf, 7:172).

13

sosialisme Islam. Hanya dengan epistemologi dan acuan tasawwur Islam sendiri sahajalah maka akan lahir PBI yang tulen (Muhammad Syukri Salleh, 2003:22).

KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa tasawwur Islam merupakan acuan atau prinsip paling utama dalam PBI. Dari tasawwur Islam inilah lahirnya keenam-enam prinsip PBI yang lain. Selain dijadikan sebagai acuan atau prinsip paling utama, ia juga merupakan pengukur untuk menentukan sama ada sesuatu pembangunan yang dibina itu boleh dikatakan PBI yang tulen atau tidak. Sebenarnya, pembangunan yang dibina berasaskan tasawwur Islam yang bercampur aduk dengan tasawwur bukan Islam bukanlah merupakan PBI yang tulen. Samalah juga dengan pembangunan yang dibina berasaskan tasawwur bukan Islam atau berasaskan ideologi-ideologi ciptaan manusia semata-mata. Hal ini kerana epistemologi dan tasawwur ilmu Islam itu sendiri adalah berbeza dari epistemologi dan tasawwur ilmu pembangunan bukan Islam.

14

RUJUKAN Ab. Aziz Mohd Zin (1995). Keagungan Pencipta. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Yasin (1990). Hakikat Dua Kalimah Syahadat. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Abdul Halim El-Muhammady (1992). Tasawwur Islam, dlm. Abdul Halim El-Muhammady, ed., Dinamika Dakwah Suatu Perspektif Dari Zaman Awal Islam Hingga Kini. Selangor: Budaya Ilmu Sdn.. Bhd. Al-Buraey, Muhammad. (1985). Administrative Development: An Islamic Perspective. London: Keagan Paul International. Al-Qasimiy, Ahmad Mokhtar bin Umar Muhyi al-Din Sobir bin Ali. (1989). Al-Mujam alArabi al-Asasi. Tunisia: Larousse. Al-Zuhailiy, Wahbah. (1991). Al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj, Jld. 22. Beirut: Dar al-Fikr al-Muasarah. Ali Ahmad, Siti Hajar Che Man & Jelani Harun (2005). Tasawwur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Ahmad Mohd. Salleh (2004). Pendidikan Islam Falsafah, Sejarah dan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Chapra, Umer. (1992). Islam and the Economic Challenge. Leicester, UK: The Islamic Foundation. Faiz, Ahmad. (1975). Tariq al-Dawah fi Zilal al-Quran, Jilid 2. Beirut: Muassasah al-Risalah. Fathi Yakan (2002). Api Kebangkitan Islam dan Cabaran Abad Ke-21, terj. Ibnu Ghazali. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. Hamid, A. H. (1999). Islam the Natural Way. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen. Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam: Pustaka Hizbi. Harun Yahya (2004). Kaum-Kaum Yang Pupus, terj.Rozalli Hashim. Kuala Lumpur: Saba Islamic Media Sdn. Bhd. Ibn Kathir, al-Hafiz Abi al-Fida Ismail. (1992). Tafsir al-Quran al-Azim, Jld. 3. Beirut: Dar al-Marifah. Ibn Manzur, Abi al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukram al-Afriqiy al-Misriy. (1990). Lisan al-Arab, Jil. 4. Beirut: Dar Sadir.

15

Ibn Manzur, Abi al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukram al-Afriqiy al-Misriy. (1993). Lisan al-Lisan Tahzib Lisan al-Arab, Jil. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jihad (2005). Tauhid Dalam Tasauf. Kuala Lumpur: Edaran Proaktif Sdn. Bhd. Khazalii (t.t.). Pembangunan Dalam Islam, http://khazalii.googlepages.com/7udi3052 pembangunandalamislam%28bab7%29, diakses pada 14 Ogos 2009. Madkur, Ali Ahmad. (2002). Manhaj al-Tarbiyyah fi al-Tasawwur al-Islamiy. Kaherah: Dar alFikr al-Arabiy. Mohd. Kamal Hassan (1993). The Islamic World-View, kertas kerja yang dibentangkan di Seminar On Islam and Its World-View: An American Perception, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan The Malaysian-American Commission On Education Exchange, di Hotel Pan Pasific, Kuala Lumpur, 19 Ogos. Mohd. Kamal Hassan (1988). Pendidikan dan Pembangunan Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise Mohamed Asri & Mohamed Fahmi (2003). Contribution of the Islamic Worldview Towards Corporate Governance. Diakses dari http://www.iiu.edu.my/iaw/Students%20Term%20 Papers_ files/Asri%20and%20Fahmi%20IslWWandCG.htm, pada 4 Oktober 2009. Muhammad Nasri Md Hussain dan Ab. Aziz Yusof (2005). Pengurusan Sumber Manusia Dari Perspektif Islam. Petaling Jaya: Pearson. Muhammad Syukri Salleh (1999). Acuan Pembangunan, Dewan Ekonomi, November, hal. 6263. Muhammad Syukri Salleh (2000). Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam, Dewan Ekonomi, Ogos, hal. 60-61. Muhammad Syukri Salleh (2001). Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, Pemikir, No. 26, Oktober-Disember. hal. 1-47. Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd. Muzammil H. Siddiqi (2006). Islamic Worldview. Diakses dari http://www.pakistan link.com/ Religion/2006/01272006.htm, pada 2 Oktober 2009. Philips, W. Gary & Brown, William E. (1991:29). Making Sense of Your World. Chicago: Moody Press. Ramlan Ahmad dan Nor Aishah Raduan (2002). Tasawwur Islam Tingkatan 4. Shah Alam: Cerdik Publications Sdn. Bhd.

16

Ramli Awang (2008). Tasawwur Rabbani Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication. Siddiq Fadzil (2009). Pandangan Sarwa Islami. Diakses dari http://drsiddiqfadzil.blogspot. com/2009 /08/pandangan-sarwa-islami -islamic.html, pada 2 Oktober 2009. Sire, James W. (1988:17). The Universe Next Door. Downers Grove III: Inter Varsity. Surtahman Kastin Hasan (1990). Ekonomi Islam. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. Syed Muhammad Naquib al-Attas, (1995). Prolegomena To the Metaphysics of Islam: An Exposition the Fundamental Elements of the World View of Islam. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Tanpa Pengarang (1992). Al-Munjid fi al-Lughah wa al-Alam. Beirut: Dar al-Masyriq. Wan Mohd Nor Wan Daud (1994). Budaya Ilmu: Konsep, Prasyarat dan Pelaksanaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Wan Mohd Nor Wan Daud (2001). Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Walsh, Brian J. & Middleton, J Richard. (1984). The Tranforming Vision. Downers Grove III: Inter Varsity.

17