sulalatus salatin
DESCRIPTION
SULALATUS SALATINTRANSCRIPT
SULALATUS SALATIN "RELEVANKAH DINILAI SEBAGAI SEJARAH?"
by Dr_Hamzani_Salleh
“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI
PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”
Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa
menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh
Orang Kaya Suguh.Mengapa Sengaja Portugis Memulangkan Semula
Naskah ini?Adakah Semua fakta Masih asli atau telah diubah?
“RELEVANKAH SULALATUS SALATIN DINILAI BERDASARKAN CIRI
PENSEJARAHAN MODEN. BINCANGKAN.”
1.0 PENDAHULUAN:
Kajian kali ini adalah berkaitan dengan teks Salalatus Salatin atau juga
dikenali sebagai Sejarah Melayu. Saya akan mendiskusikan teks ini dalam
kadar yang serelevan mungkin. Bagi mencapai maksud itu, saya akan
membuat penilaian dan kajian terhadap teks ini berdasarkan pelbagai
aspek. Aspek yang akan ditekankan dalam kajian teks ini adalah berkaitan
dengan penggunaan pandangan dan kaedah pensejarahan barat terhadap
teks Salalatus Salatin ini. Persoalannya kini, layakkah karya pensejarahan
tradisional umumnya dan Salalatus Salatin khususnya dinilai dan dikaji
dengan mengaplikasikan teori-teori dan kaedah-kaedah yang
dikemukakan oleh para sarjana barat. Oleh yang demikian, kajian ini akan
mengupas perihal ini dengan lebih lanjut untuk mencapai solusi yang
bernas dalam menjawab persaolan ini.
2.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN MODEN:
Penggunaan konsep pensejarahan yang lebih saintifik dilihat bermula
hasil daripada cetusan idea yang dicanang-canangkan oleh Bapa
Pensejarahan Moden iaitu Leopold von Ranke pada abad ke-19.[1] Konsep
yang agak sinonim dengan diri beliau dalam dunia pensejarahan ialah
konsep yang berbunyi “Saya hanyalah berhajat semata-mata untuk
memperlihatkan bagaimana keadaannya yang sebenar” (wie es eigentlich
gewesen).[2] Menurut Profesor Leonard Krieger, Ranke merupakan
seorang yang memulakan sains tentang sejarah yang berdasarkan kajian
yang lebih kritikal terhadap sumber-sumber. Beliau juga telah
memperkenalkan beberapa lagi konsep pengkajian sejarah. Antaranya
ialah konsep “Historicism” dan “Quellinkritik”.[3]
Selain itu, sejarah yang dikatakan sebagai suatu displin ilmu yang ilmiah
menurut pandangan R.G.Collingwood haruslah mempunyai empat ciri.
Pertama, sejarah yang bersifat ilmiah ialah sejarah yang bersifat saintifik
iaitu bermula dengan mengemukakan pelbagai persoalan. Persoalan-
persoalan yang dikemukakan oleh ahli sejarah adalah bertujuan mencari
jawapan terhadap setiap perkara yang dikaji oleh mereka. Kedua, sejarah
juga perlulah merupakan suatu bidang tentang kemanusiaan iaitu
mengemukakan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada
waktu-waktu tertentu pada masa lalu. Ketiga, sejarah perlulah merupakan
suatu bidang kajian yang rasional dan memerlukan bukti-bukti tertentu
dalam penyelidikannya. Akhirnya, sejarah juga perlulah bersifat
menjelaskan diri iaitu dapat memberi pengetauhan dan penerangan
tentang sesuatu perkara yang telah berlaku dan mungkin berlaku.
Selanjutnya, sejarah sebagai sains juga memperlu mempunyai empat ciri
yang tertentu iaitu berdasarkan penyelidikan, menunjukkan kebenaran,
membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat objektif.[4]Selain
itu juga, isu pengadilan moral juga ditekankan dalam bidang
pensejarahan moden. Menurut Kasim Ahmad, pengadilan moral ialah
perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun mengenakan penilaian
tertentu kepada peristiwa sejarah atau kepada seorang pelaku dalam
sejarah.[5] Semua teori dan kaedah ini diaplikasikan dalam bidang
pensejarahan bertujuan memastikan sejarah yang ditulis itu benar-benar
objektif dan berdasarkan konsep saintifik. Perkara inilah yang
mencetuskan sedikit permasalahan dalam mengkaji karya pensejarahan
tradisional di negara ini. Hal ini kerana, kebanyakan isi kandungan yang
tersurat dalam teks-teks ini sememangnya mempunyai percanggahan
yang agak lebar umpama “langit dan bumi”. Justeru itu, timbullah
persoalan iaitu adakah layak karya-karya pensejarahan tradisional Melayu
dinilai dan dikaji berdasarkan teori-teori dan kaedah-kaedah ini.
3.0 CIRI-CIRI PENSEJARAHAN TRADISIONAL:
Terdapat beberapa ciri khusus dalam karya pensejarahan tradisional.
Kebanyakan ciri yang terkandung dalam karya pensejarahan tradisional
kelihatannya begitu bertentangan dengan ciri-ciri pensejarahan moden.
Menurut Ismail Hussein, pensejarahan tradisional ialah sejarah atau
historiografi yang berdasarkan dakyah politik untuk diperturunkan kepada
generasi akan datang dan mengandungi unsur-unsur kesusasteraan.
Unsur-unsur sasteranya dilihat dalam bentuk puisi, syair, mitos, lagenda
dan sebagainya.[6] Selain itu, pensejarahan tradisonal juga dipengaruhi
oleh unsur penaungan iaitu kebanyakan penulisnya menulis dalam
keadaan yang tidak bebas kerana dikongkong oleh kuasa pemerintah. Ciri
lain pula ialah terdapatnya unsur anakronistik iaitu kesilapan atau
percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan tempat
pada zaman yang sebenarnya.[7] Seterusnya, unsur mitos, lagenda,
dongeng merupakan unsur yang kerapkali mewarnai karya-karya
pensejarahan tradisional yang akhirnya menyebabkan karya-karya ini
dihurungi pelbagai konterversi jika dilihat berdasarkan konsep
pensejarahan moden.
4.0 KELEMAHAN SULALATUS SALATIN UNTUK BERDIRI SEBAGAI
SUMBER SEJARAH:
Antara faktor yang menyukarkan karya Salalatus Salatin untuk berdiri
sebagai sumber sejarah ialah kerana karya ini tidak mempunyai ciri-ciri
sebuah hasil penulisan yang bercorak sejarah. Menurut R.G. Collingwood,
sebuah hasil penulisan sejarah perlu merangkumi empat ciri iaitu bersifat
saintifik, bersifat kemanusiaan atau mengemukakan perkara-perkara
yang tertentu pada masa yang lalu, bersifat rasional dengan berdasarkan
kepada bukti yang sahih dan perlu bersifat menjelaskan diri.[8]
Kaedah penulisannya yang dikatakan tidak rasional adalah disebabkan
pengarangnya mengaplikasikan pelbagai unsur magis yang bercorak
mitos, dongeng dan lagenda dalam karyanya. Hal ini berlaku kerana
pengarangnya menulis bukan atas maksud untuk menghasilkan karya
yang bersifat ilmiah bahkan hanya untuk menyukakan kuasa sang
pemerintah. Hal ini dapat difahami berdasarkan petikan ini:
“Setelah fakir allazi murakabun ‘ala jahili (mendengar titah yang Maha
Mulia itu), maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia,
syahdan memohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani’il alam, dan
minta huruf kepada Nabi sayyidil-anam, dan minta ampun kepada
sahabat yang akram; maka fakir karanglah hikayat ini, kama sami’tuhu
min jaadi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka
fakir namai hikayat ini “Sulalatus Salatin”, yakni pertuturan segala raja-
raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal, inilah mutiara segala ceritera dan
cahaya segala peri umpamanya. Maka barang siapa membaca dia, jangan
dibicarakan dengan sempurna bicara….”[9]
Berdasarkan wacana ini, “sudah terang lagi bersuluh” bahawa motif
utama penulisan Tun Seri Lanang adalah semata-mata untuk menyukakan
hati pemerintah Johor yang pada ketika itu di bawah pimpinan Sultan
Alauddin Riayat Syah. Memang bangsa Melayu pada ketika itu sangat
berpegang kuat pada konsep taat, setia dan patuh kepada segenap
suruhan pemerintah. Hal ini diwarnai lagi dengan pengamalan konsep
daulat dan tulah dalam suasana persekitaran masyarakat Melayu lama.
Selain itu, antara isu yang mencetuskan konterversi terhadap karya ini
adalah disebabkan penggunaan kaedah pensejarahan yang dipraktikkan
oleh penulisnya. Persoalannya kini, adakah Tun Seri Lanang
mengaplikasikan lunas-lunas kaedah pensejarahan seperti yang
kebanyakan sejarahwan fahami masa kini?. Ternyata Tun Seri Lanang
hanya menggunakan sumber bertulis dan sumber lisan dalam skop
penulisannya. Antara sumber bertulis paling pokok yang digunakan ialah
teks Sejarah Melayu induk sendiri yang dibawa dari Goa. Hikayat ini
kemudiannya diperbaiki dan disunting semula sehingga akhirnya teks ini
dinamakan dengan istilah ‘Sulalatus Salatin”.[10] Sumber lain yang
digunkan ialah Hikayat Iskandar Dzulkarnain yang berkaitan tentang
tradisi dan naratif Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hmazah yang
mengisahkan Raja Suran yang mendirikan negeri di benua Keling dan
Hikayat Raja-Raja Pasai tentang kerajaan tua Pasai. Selain sumber ini,
pengarang juga menggunakan kaedah sumber lisan. Penggunaan kaedah
ini sememangnya popular pada abad ke-16 dan abad ke-17.
[11] Penggunaan sumber lisan ini ternyata mempunyai pelbagai
kelemahan kerana kaedah ini secara lazimnya mudah dicemari dengan
unsur-unsur tokok-tambah yang akhirnya mencemarkan sifat sejarahnya.
Hal inilah yang menyukarkan karya ini untuk layak berdiri sebagai sumber
sejarah. Sedangkan “Bapa Sejarah Dunia” iaitu Herodotus juga seringkali
dikecam oleh beberapa sarjana tentang gelarannya sebagai pelopor
sejarah dunia walaupun beliau telah menjalankan beberapa kaedah
penyelidikan iaitu kaedah temuduga dan pemerhatian dalam penghasilan
karya beliau yang berjudul “Sejarah Perang Parsi”.[12] Selanjutnya,
persoalan mungkin boleh ditimbulkan dalam nada yang berbunyi adakah
Tun Seri Lanang membuat kaedah kritikan luaran dan kritikan dalaman
sewaktu penghasilan penulisan beliau. Jika beliau dikatakan ada
mengaplikasikan kaedah tersebut, sudah sepastinya unsur-unsur yang
berbentuk magis dan anankronistik tidak akan wujud dalam karya
tersebut. Disamping itu, untuk sesuatu sumber itu diiktiraf sebagai
sumber sejarah perlulah dijalankan aktiviti penafsiran sumber
berdasarkan logik akal bagi menentukan kewarasan sumber tersebut.
Sementelahan itu, Salalatus Salatin juga dilihat hanya mampu berdiri
sebagai sebuah karya sastera. Salalatus Salatin adalah sebuah hasil
sastera sejarah iaitu sebuah karya ciptaan berjasadkan sejarah. “Sejarah”
yang dipaparkan dibentuk oleh matlamat-matlamat di luar sejarah dan
dibungai dengan pelbagai gejala yang mencairkan sifat kesejarahannya.
[13] Menurut Ahmad Mahmood Musanif, Salalatus Salatin hanya layak
dilihat sebagai hasil sastera sejarah. Hal ini dapat difahami berdasarkan
petikan ini.
“Sejarah Melayu hanya lebih sesuai diklafikasikan dalam kategori hasil
sastera sejarah kerana karya ini hanya mengambil bahan-bahannya dari
peristiwa-peristiwa sejarah, baik sejarah mengenai sebuah negeri maupun
sejarah mengenai seseorang pahlawan atau raja serta kandungannya pula
dipenuhi oleh unsur dongeng dan puisi yang indah.”[14]
Kelihatannya, faktor utama yang menyebabkan sesetengah sarjana agak
sukar untuk mengiktiraf Sulalatus Salatin sebagai sumber penulisan
sejarah adalah disebabkan isi kandungannya yang lebih kerap
menampilkan elemen-elemen kesuasasteraan seperti puisi yang bercorak
pantun, gurindam dan syair. Kandungan Sulalatus Salatin mempunyai
pengaruh sastera dan budaya asing iaitu Hindu dan Islam. Pengarang
Sulalatus Salatin telah memperpadukan kedua-dua unsur seperti unsur
emas dan unsur perak yang merupakan unsur Hindu dengan unsur
tempatan iaitu padi.[15] Keadaan sama juga muncul pada nama-nama
tempat dan watak yang digunakan seperti Malini dalam bahasa Sanskrit
yang berertti mengulungkan bunga.[16] Selain itu, Bat dalam tradisi
agama Hindu merujuk kepada suatu upacara mensucian seseorang
Brahmin.[17] Namun terdapat perubahan yang ditonjolkan dalam teks
Salalatus Salatin iaitu Bat digamnbarkan sebagai seorang manusia suci
yang lahir daripada muntah lembu putih untuk memahkotakan kelahiran
Parameswara. Walaupun terdapat perubahan yang ditonjolkan, namun
konsep yang digunapakai masih lagi sama. Selain itu, contoh lain yang
adalah seperti penggunaan konsep devaraja. Penggunaan konsep
devaraja telah diubahsuai dan digantikan dengan penggunaan konsep
khalifah.[18] Dengan cara ini, Tun Seri Lanang telah mengambarkan
unsur-unsur keislaman dalam karya beliau. Bukan itu sahaja, pemaparan
upacara waadat sememangnya mempunyai serba sedikit persamaan
dengan konsep baiah dalam ajaran Islam. Baiah dalam Islam diaplikasikan
sewaktu perlantikan seseorang khalifah. Maka mungkin kerana ini
terdapat sesetengah sarjana yang lebih berpendapat bahawa Sulalatus
Salatin yang bermaksud Salasilah Raja-Raja atau Jurai Keturunan Raja-
Raja lebih layak untuk dilabelkan sebagai Kisah Raja-Raja Melayu seperti
Kisah Raja-Raja Pasai. [19]
Seterusnya, sebab utama yang menyebabkan karya ini kurang layak
untuk berdiri sebagai sumber sejarah adalah kerana isi kandungannya
yang lebih banyak mengandungi percampuran unsur-unsur mitos,
lagenda, khayalan dan hiburan. Menurut R.O.Winstedt, Wilkinson, John
Crowfort mengatakan: “Sejarah Melayu adalah karya dimana
pengarangnya telah mengkahwinkan keadaan semasa dengan dongeng-
dongeng dan legenda-legenda yang terdapat dalam cerita dewa-dewi”.
[20] Manakala J.C.Bottom pula mengatakan, “…history as the Malay has
seen it – a mixture of truth and legend, fantasy and fact, entertainment
and instruction.”[21] J.C.Bottom menyatakan bahawa sejarah bagi orang
Melayu bukanlah sains atau kesenian tetapi adalah hiburan oleh penulis
sastera yang berbentuk sejarah yang tidak mengutamakan penyusunan
fakta dan konkrit.[22] Ternyata, pandangan ini mempunyai
kerelevanannya yang tersendiri. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan
petikan ini: “… a demon with eyes as red as flame, with creel- like matted
hair and a beard down to his waist”.[23] Petikan memaparkan bahawa
Badang telah berdepan dengan sejenis makhluk yang mempunyai paras
rupa yang menakutkan. Persoalannya, adakah benar-benar wujud
makhluk yang sedemikian rupa atau hanya sekadar tokok-tambah
daripada sang penulis.
Selain itu, tiada konsep pentarikhan yang tepat dalam teks Salalatus
Salatin. Ada yang berpendapat bahawa Salalatus Salatin dikarang pada
hari Khamis iaitu yang terdapat dalam pendahuluan hikayat yang
berbunyi “…seribu dua puluh satu tahun kepada tahun Dal, pada dua
belas haribulan Rabi’ul Awal kepada hari Khamis…” iaitu bersamaan 13hb
Mei 1612.[24] Tetapi ada juga tokoh yang mengatakan Salalatus Salatin
dikarang pada hari Ahad. Selain itu juga, sesuatu peristiwa yang berlaku
mestilah mengikut kronologi. Namun begitu, dalam teks ini, perkara yang
mengikut kronologinya adalah sesuatu peristiwa yang berlaku tetapi masa
dan juga tahun sesuatu peristiwa yang berlaku tidak dapat diperoleh.
Kronologi sejarah juga dikaitkan dengan rentetan peristiwa yang teratur
mengikut urutan masa dari awal hingga yang terakhir.[25] Misalnya
seperti kisah pelayaran Sri Tri Buana dari Bentan ke Temasik yang
tarikhnya tidak dicatatkan. Maka tanpa kewujudan tarikh dalam peristiwa,
sesuatu peristiwa itu sukar untuk dianggap sebagai sumber sejarah. Teks
Salalatus Salatin juga mengandungi unsur anankronistik iaitu kesilapan
atau percanggahan untuk menempatkan sesuatu peristiwa, tokoh dan
tempat pada zaman yang sebenarnya.[26]
5.0 KEBENARAN DAN KEUNIKAN YANG TERSELINDUNG DISEBALIK
SULALATUS SALATIN:
Sulalatus Salatin walaubagaimanapun menyemat 1001 macam kebenaran
dan keunikannya yang tersendiri. Kebenaran dan keunikannya perlu dikaji
dan diselidiki dalam pelbagai aspek yang meluas dan universal. Hal ini
kerana, keunikan dan kebenarannya terselindung disebalik isinya yang
tersurat. Antara peranan penting yang dimainkan oleh karya ini adalah
bertindak sebagai salah satu rujukan penting dalam mengkaji perihal
suasana kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu terutamanya pada
abad ke-14 dan ke-15. Hal ini kerana, jika menulis berkaitan dengan
kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu berdasarkan sumber barat
terutamanya sumber yang dihasilkan oleh sarjana kolonial seperti
R.O.Winstedt, Frank Swettenhem dan lain-lain lagi sepastinya akan
menimbulkan masalah. Hal ini kerana, kebanyakan tafsiran ataupun
interpretasi yang dikemukakan oleh sarjana ini lazimnya berdasarkan
kaca mata barat. Kebanyakan mereka dilihat memanipulasikan soal
entosentrisme. Entnosentrisme secara mudahnya ialah kepercayaan
bahawa kebudayaan sendiri lebih unggul, tinggi nilainya dari kebudayaan
lain.[27] Konsep ini juga mendorong kepada menilai kebudayaan lain
berdasarkan kepada standard kebudayaan sendiri. Contohnya, seperti
orang Eropah yang melihat masyarakat Asia dengan persepsi yang ganjil
apabila masyarakat Asia makan dengan menggunakan tangan dan
memasuki rumah mereka tanpa alas kaki sedangkan kebanyakan
masyarakat Eropah makan dengan menggunakan sudu dan garpu serta
memasuki rumah mereka dengan menggunakan alas kaki. Oleh sebab
itulah, terdapat sarjana seperti Zainal Abidin Wahid yang menekankan
pensejarahan peribumi ditulis oleh penulis peribuminya kerana hanya
masyarakat peribumi itu sahaja yang dapat memahami suasana
kehidupan masyarakatnya. Hal inilah yang membawa kepada kemunculan
konsep Malaysia-sentrik iaitu karya sejarah atau apa-apa karya yang
mempunyai nilai sejarah tentang negara ini atau satu bahagian yang
dahulunya terangkum dalam entiti Melayu. Berdasarkan konsep ini, hanya
sarjana tempatan sahaja dilihat lebih layak menulis tentang sejarah
Malaysia. Menurut Zainal Abidin Wahid lagi :
“Sejarah Melayu benar-benar merupakan satu sumber terpenting bagi
pengkajian Sejarah Alam Melayu umumnya dan Melaka khususnya pada
zaman sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Tidak ada buku
atau manuskrip lain yang boleh menggambarkan masyarakat Melaka
dengan cara yang lebih baik dan jelas dari Sejarah Melayu”.[28]
Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan
bahasa dalam penghasilannya. Kita dapat melihat bagaimana bangsa
Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam
dalam bahasanya sendiri.[29]Mereka mampu berfikir melalui bahasa
figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui
fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif. Jikalau kita belajar
daripada sejarah budaya dan tamadun bangsa Melayu itu, kita akan
dapati bahawa tiga akar tunjang iaitu bahasa Melayu, budaya Melayu dan
agama Islam itulah “model” yang membentuk pandangan dan jati diri
atau identiti Melayu sebagai suatu bangsa yang bebas, berdaulat,
bermaruah, berakal budi, bijaksana dan bermoral tinggi sepanjang zaman.
Selama lebih 430 tahun dunia Melayu-Indonesia berada dalam zaman
globalisasi penjajahan yang dibawa oleh tiga kuasa Barat, Portugis,
Belanda dan Inggeris. Hal yang sangat menakjubkan ialah bangsa Melayu
itu masih mengekalkan kedaulatan bangsanya kekal hingga hari ini. Kita
tidak menjadi suku kaum yang lemah seperti suku kaum peribumi di
Amerika yang tamadun mereka, budaya mereka dan bahasa mereka
dimusnahkan oleh kuasa penjajah dari Eropah. Orang Melayu terus dapat
berkembang menjadi bangsa atau nation yang mempunyai kerajaan,
agama, budaya dan kesusasteraan yang tinggi.
Sementelahan itu, kajian terhadap karya pensejarahan tradisional perlu
dilihat berdasarkan kajian yang tersirat. Kajiannya tidak boleh dilihat
secara mata kasar sahaja kerana kebenarannya tersirat disebalik yang
tersurat. Contohnya seperti membincangkan tentang faktor yang
memudahkan masyarakat Tanah Melayu memeluk Islam walaupun
kepercayaan Hindu-Buddha telah lama menapak dalam hati dan sanubari
mereka. Dalam isu ini, kita dapat melihat bahawa betapa terbukanya
minda Melayu.[30] Kita melihat apabila budaya Hinduisme dan Islam yang
datang secara aman, tidak melalui paksaan, tidak melalui pedang dan
peperangan, maka budaya dan kepercayaan ini mudah berkembang di
rantau ini. Keterbukaan orang Melayu dapat dilihat apabila orang Melayu
sanggup melakukan suatu proses tranformasi budaya, tamadun dan
pemikiran yang cukup revolusioner. Namun, apabila budaya atau
tamadun dari luar itu cuba dipaksakan kepada orang Melayu melalui
keganasan, peperangan dan penjajahan, maka mereka akan menolaknya.
Orang Melayu menolak budaya Portugis kerana bangsa Eropah datang
secara agresif; mereka memerangi orang Melayu dan merampas kerajaan
Melayu Melaka pada tahun 1511. Itulah sebabnya mengapa orang Melayu
“tidak masuk Kristian” dan tidak menerima bahasa Portugis dan budaya
mereka, padahal Portugis memerintah di Melaka selama lebih seratus
tahun (hingga tahun 1641).
Selanjutnya, kita juga akan melihat bahawa lokasi-lokasi yang dinyatakan
dalam teks Sulalatus Salatin seperti Temasik atau Singapura, Palembang,
Pulau Bentan, Tanjung Bemban, Minangkabau, Tanjung Pura, Srivijaya,
Majapahit, Siam dan lain-lain lagi masih wujud sehingga kini. Berdasarkan
hujah ini, ternyata menilai karya pensejarahan tradisional Melayu
berdasarkan kaca mata barat adalah suatu kesilapan. Hal ini didorong
oleh beberapa faktor seperti faktor perbezaan budaya, tujuan penulisan
teks dan kaedah penulisan. Pensejarahan moden yang menggunakan
rujukan atau sumber barat tidak sesuai untuk menilai karya pensejarahan
tradisional. Hal ini hanya mendorong kepada isu berat sebelah dan
akhirnya pensejarahan baratlah yang akan mendominasi pensejarahan
tradisional. Selain itu, perbezaan tujuan penulisan yang berbeza juga
menyebabkan pensejarahan tradisional tidak relevan dinilai berdasarkan
kaca mata barat. Karya pensejarahan tradisional lazimnya bertujuan
memaparkan sejarah keagungan negara,pemerintah dan bangsanya
sedangkan pensejarahan moden ditulis dengan tujuan untuk memaparkan
penulisan sejarah yang bersifat saintifik. Seterusnya, kaedah dan gaya
penulisan juga berbeza. Kebanyakan karya pensejarahan tradisional
diwarnai dengan unsur-unsur kesusasteraan seperti sajak,puisi,gurindam
dan mitos.[31] Unsur-unsur ini diaplikasikan untuk memenuhi sifat
masyarakat yang menyanjung raja. Unsur-unsur tersebut juga penting
sebagai hiburan atau penarik serta kritikan terhadap pihak tertentu
secara sinis, halus tetapi penuh simbolik. Namun, jika isu ini dilihat
berdasarkan sudut pandangan barat, ternayta ia sungguh bercanggah
sekali. Menurut Leopold von Ranke, sejarah mestilah berlandaskan bukti
sahih dan buannya daya imaginasi semata-mata seperti mana yang
dilakukan oleh penulis-penulis beraliran sastera.[32] Seterusnya,
penulisan sejarah pada hari ini yang dianggap moden dan saintifik
mungkin juga akan dianggap sebagi ketinggalan zaman dan tidak saintifik
pada masa akan datang.
6.0 KESIMPULAN:
Jelasnya, karya pensejarahan tradisional umunya dan karya Sulalatus
Salatin khususnya tidak layak untuk diukur atau dinilai berdasarkan kaca
mata barat. Hal ini kerana, terdapat perbezaan yang amat ketara antara
pensejarahan tradisional dengan pensejarahan moden yang dibentuk
barat. Justeru itu, karya pensejarahan tradisional sememangnya layak
untuk dijadikan sumber dalam penulisan sejarah kerana kandungannya
yang lebih memaparkan dan memahami suasana kehidupan masyarakat
peribumi pada masa silam berbanding dengan sumber asing yang
kebanyakannya ditulis oleh para sarjana kolonial. Hal ini kerana,
kebanyakan para sarjana kolonial menulis dengan persepsi yang kurang
menyenangkan terhadap suasana kehidupan masyarakat peribumi pada
masa silam dan akhirnya hal ini membawa kepada unsur berat sebelah
kepada sejarah masyarkat peribumi. Jelasnya, untuk mengenepikan karya
pensejarahan tradisional sebagai rujukan sejarah adalah suatu perkara
yang tidak relevan walaupun kebanyakannya isi kandungannya
bercanggah dengan konsep dan teori pensejarahan moden.
BIBLIOGRAFI.
BUKU:
Ahmad Mahmood Musanif. 1992. Pemahaman dan Penghayatan Sejarah
Melayu.
Selangor: Masa Enterprise.
Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arbai'yah Mohd Noor.2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan.Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Brown, C.C. 1970. Sejarah Melayu or Malay Annals (terj.). London: Oxford
University Press.
Flaron bin Daud. 1985. Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari Aspek
Pensejarahan Budaya. Bangi: Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhd. Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian
Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah
Terpilih Sejarah Melayu. Singapura: Gaints Prints Sdn. Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarahwan dan
Pensejarahan: Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Sheikh Othman bin Sheikh Salim (eds.). 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan kepada Sejarah. Kuala Lumpur:
Marican.
Suntharalingam, R. 1987. Pensejarahan Barat. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
The Colombia Encyclopedia, 6th Edition. 2001. Colombia: University Press.
Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh. 1978. Sejarah Melayu: Satu
Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heineman
Educational Book (Asia) Ltd.
ARTIKEL:
Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. "Sejarah Melatyu: Antara dan Dakyah".
Kajian Malaysia, Jilid III, NO.2.
Bottom, J.C. 1962. "Malay Historical Works" dalam K.G.Tregonning (ed.).
Singapore: Malaysian Historical Sources.
Hassan Ahmad. 2007. "Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu
Terhadap Dirinya", dalam Dewan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Thilagavathi Gunalan, V. 2005. "Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan:
Parameswara dalam teks Sejarah Melayu" dalam Prof.Emeritus Dato’Dr.
Mohd Yusoff Hashim (penyt.), Parameswara Pengasas Empayar Melaka.
Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)
GRAHA IKSEP.
Yusoff Iskandar. 1986. "Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah",
dalam Zahrah Ibrahim (penyt.), Sastera Sejarah: Interpretasi dan
Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[1] (t.p.), The Colombia Encyclopedia, 6th Edition, Colombia: University
Press, 2001, hlm. 2.
[2] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarahwan dan
Pensejarahwan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1988, hlm. 286.
[3] Ibid., hlm. 286.
[4] Ibid., hlm. 287.
[5] R. Sutharalingam, Pengenalan kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Marican,
1985, hlm. 90.
[6] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm.17.
[7] Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 10.
[8] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarahwan dan
Pensejarahwan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1988, hlm. 287.
[9] Ibid., hlm. 227.
[10] Ibid., hlm. 228.
[11] Muhd. Yusoff Hashim, Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian
Mengenai Sumber, Penghayatan Masalah dan Tafsiran Naskah-Naskah
Terpilih Sejarah Melayu, Singapura: Gaints Prints Sdn. Bhd.
[12] R. Suntharalingam, Pensejarahan Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti,
1987, hlm. 19.
[13] Abdul Rahman Haji Ismail, “Sejarah Melayu: Antara Sejarah dan
Dakyah”, Kajian Malaysia, Jilid III, No.2, 1985, hlm. 25.
[14] Ahmad Mahmood Musanif, Pemahaman dan Penghayatan Sejarah
Melayu, Selangor: Masa Enterprise, 1992, hlm.1.
[15] Yusoff Iskandar, “Sejarah Melayu Sastera yang Bercorak Sejarah”,
dalam Zahrah Ibrahim (penyt.), Sastera Sejarah: Interprestasi dan
Penilaian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 120 dan
123.
[16] Ibid., hlm. 123.
[17] V. Thilagavathi Gunalan, “Dari Bukit SiGuntang ke Bukit Larangan:
Parameswara dalam teks Sejarah Melayu”, Parameswara Pembina
Empayar Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP)
GRAHA IKSEP, 2005, hlm. 71.
[18] Ibid., hlm. 71.
[19] Abdul Rahman Haji Ismail, “Sejarah Melayu: Antara Sejarah dan
Dakyah”, Kajian Malaysia, Jilid III, No.2, 1985, hlm. 31.
[20] Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, Sejarah Melayu: Satu
Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang, Kuala Lumpur: Heineman
Educational Book (Asia) Ltd, 1978, hlm.18.
[21] J.C. Bottom, “Malay Historical Works”, dalam K.G.Tregonning (ed.),
Singapore: Malaysian Historical Sources, 1962, hlm. 38.
[22] Ibid., hlm. 38.
[23] C.C. Brown, Sejarah Melayu or Malay Annals. (terj.), London: Oxford
University Press, 1970, hlm. 25.
[24] Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, Sejarah Melayu: Satu
Perbicaraan Kritis Dari Pelbagai Bidang, Kuala Lumpur: Heineman
Educational Book (Asia) Ltd, 1978, hlm.14.
[25] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 27.
[26] Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 10.
[27] Sheikh Othman bin Seikh Salim (eds.), Kamus Dewan Edisi Ketiga,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 345.
[28] Flaron bin Daun, Sejarah Melayu: Satu Kajian Dari Aspek
Pensejarahan Budaya, Bangi: Institusi Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1985, hlm. 5.
[29] Hassan Ahmad, “Makna Sebuah Kedaulatan: Pandangan Melayu
Terhadap Dirinya”, dalam Dewan Budaya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2007, hlm. 14.
[30] Ibid., hlm. 10.
[31] Ali Ahmad, Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, hlm. 11.