unit 9 pjj sp
DESCRIPTION
bml 3083 - semantik dan pragmantik bahasa melayu -pjj sem 3TRANSCRIPT
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 199
UNIT 9
PRINSIP RETORIK TEKSTUAL
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat:
1. Mengenal pasti prinsip-prinsip retorik iaitu prinsip kemudahan, prinsip kemudahan, prinsip
kejelasan, prinsip ekonomi dan prinsip kegunaan.
2. Menghuraikan 6 maksim yang dapat membantu individu memahami sesuatu.
3. Membezakan maksim 1, 2, 3, 4, 5, dan 6.
9.0 Pengenalan
Retorik berasal daripada perkataan Yunani 'rethor' yang bermaksud pidato. Ia merujuk kepada seni
penggunaan bahasa di dalam pertuturan atau penulisan iaitu dengan tujuan memujuk, mempengaruhi dan
meyakinkan orang. Seni ini digunakan terutamanya di dalam karya prosa seperti jenis-jenis teks pidato.
Selain itu, retorik turut merangkumi seni memilih perkataan, memilih susunan ayat dan menggunakan
bunga-bunga bahasa. Tokoh-tokoh retorik klasik yang terkenal ialah Plato dan Aristotle. Aristotle
mendefinisikan retorik sebagai kebolehan mengenal pasti dan memperhatikan dalam suatu situasi yang
memberi penekanan dan pemujukan. Dalam konteks moden, retorik ialah seni penggunaan bahasa
persuratan mahupun lisan yang membabitkan penyampaian fakta dan idea dengan bahasa yang menarik
dan berkesan berdasarkan pengetahuan yang tersusun baik. Kemampuan dan kemahiran bahasa inilah
yang digunakan untuk menyampaikan fikiran dan gagasan idea, menerusi nahu dan gaya yang sesuai bagi
mempengaruhi sikap dan perasaan orang.
Menurut Kamus Dewan edisi ke-3 mendefinisikan retorik sebagai (1) kajian tentang teknik
pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan; (2) seni menggunakan atau
memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar, iaitu
suatu seni yang menggunakan bahasa lisan atau cara untuk berkomunikasi yang juga disebut sebagai seni
berpidato; (3) bahasa yang dibuat-buat atau di besar-besarkan, bahasa retorik.
Asmah (2007:163) mendefinisikan retorik sebagai keupayaan menggunakan bahasa secara berkesan, atau
juga ciri-ciri yang berkesan dalam bahasa. Leech (1993) mengatakan retorik adalah kajian tentang
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 200
penggunaan bahasa yang berkesan dalam komunikasi. Oleh itu, penutur harus mementingkan situasi
tuturan yang peka-matlamat. Penutur perlu menggunakan bahasanya untuk menghasilkan kesan tertentu
pada fikiran pendengar.
Pemikiran retorik juga diasaskan kepada pendapat yang dikongsi bersama dan bertujuan untuk
membentuk penghujahan sehingga kepada kesimpulan. Sekiranya sesuatu ungkapan itu tidak
mengandungi sebarang isi, maka timbullah ungkapan retorik kosong. Sehubungan dengan itu, retorik perlu
dipelajari oleh sesiapa sahaja yang ingin menggunakan bahasa dengan cara yang sebaik-baiknya, demi
mencapai tujuannya dalam berbahasa. Terdapat dua aspek penting yang perlu diketahui mengenai retorik,
iaitu pertama, pengetahuan mengenai bahasa dan penggunaan bahasa yang baik. Perkara ini telah
dipelajari dalam topik tatabahasa. Kedua. Pengetahuan mengenai objek tertentu yang akan disampaikan
dengan menggunakan bahasa.
9.1 Ciri-ciri umum retorik
1. Ia mestilah sebuah penulisan atau gaya lisan yang berkesan dan mempunyai bahasa, pemikiran
dan perasaan yang tepat dan baik.
2. Ia perlu ada kekemasan dan susunan wacana.
Untuk menghasilkan suatu retorik sebagai penulisan yang berkesan, ia seharusnya membabitkan salah
satu daripada empat corak wacana, iaitu pemerian, pendedahan, penghujahan dan penceritaan. Menurut
Umar Junus (1989), penggunaan retorik sebagai estetika yang saling berhubungan dengan keindahan.
Aspek yang diberikan kepada karya seni termasuk karya sastera. Ia juga lebih umum kepada bahasa,
berhubung penggunaan bahasa lebih menekankan kepada akibat dan tujuan. Seni pemakaian bahasa
dalam tulisan atau ucapan dikenali sebagai retorik, bertujuan untuk menyampaikan sesuatu maksud atau
tujuan dengan lebih berkesan. Melalui novel yang dikaji, dilihat penulis menerapkan kepelbagaian retorik
dalam penulisannya. Segala maksud dan penjelasan dalam karya dapat disampaikan dengan jelas dan
menarik kepada pembaca.
9.2 Lakuan Lisan (Retorik Interpersonal)
Retorik mengikut kamus dewan (1994: 1135), kajian tentang pemakaian bahasa secara berkesan dalam
penulisan atau pertuturan, seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 201
memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Kamus dewan (1994: 496) menyatakan, interpersonal
adalah berkenaan hubungan sesama manusia.
Menurut kamus dewan (1994: 749), lakuan merupakan laras (bahasa) yang mengkaji bentuk
bahasa yang diwujudkan dalam berbagai-bagai lakuan. Sementara itu, menurut kamus dewan (1994: 817),
lisan merupakan sesuatu yang diucapkan (tidak bertulis). Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa retorik
interpersonal (lakuan lisan), merupakan satu bentuk pemakaian bahasa dalam pertuturan dalam bentuk
komunikasi lisan. Tujuan retorik interpersonal ini adalah untuk mempengaruhi pendengar yang berkait
rapat dengan bidang pragmatik iaitu sesuatu ujaran haruslah mengambil kira konteks sosial.
9.3 Konteks Makna Dalam Retorik Interpersonal
Dalam hal komunikasi, konteks merupakan suatu faktor yang amat penting menurut Zulkifle Abd. Ghani
(2003: 3). Mengikut pengalaman bahasa ada banyak ketikanya kita merasa bingung akan makna dalam
sesuatu ujaran kerana kurangnya maklumat kontekstual. Dengan mengambil kira konteks, unsur
ketaksaan, makna yang pelbagai dapat dielakkan, walaupun ada pengguguran beberapa komponen dalam
ujaran kita. Contohnya dalam ujaran, “Kamal! Kambing!”, maknanya yang hendak disampaikan adalah
“Kamal, tolong halau kambing-kambing itu” yang mungkin mahu masuk ke dalam kebun, rumah atau
tempat, bergantung kepada tempat ujaran itu dilafazkan.
Konteks memainkan peranan untuk menghilangkan kekaburan dan ketidaktelapan makna. Konteks
juga berfungsi untuk menetapkan makna bagi perkataan dalam satu-satu ujaran. Contohnya, untuk
membezakan golongan kata dalam menentukan makna seperti dalam kata ‘bilas (basuh/cuci)’ sebagai kata
kerja dan ‘bilas (kabur)’ sebagai kata adjektif, konteks ujaran amat perlu. Konteks juga menjadi amat
mustahak dalam hal homonim. Umpamanya, untuk membezakan antara haus dan rasa dahaga atau
berkurangnya besar kerana bergosok, kita perlu lihat kepada konteks penggunaan ayat atau ujaran
tersebut. Mungkin, dalam ayat “kami semua rasa haus, selepas berjalan kaki ke rumah” maknanya adalah
rasa dahaga.
Dalam hal ini, Wittgenstein dalam bukunya Philosophical investigations (1953), menegaskan bahawa
makna kata tidak dapat diketahui kecuali dilihat dalam penggunaannya, atau dalam konteks
penggunaannya. Demikian juga Ullman berhujah bahawa makna perkataan hanya dapat ditentukan
berdasarkan penelitian terhadap penggunaannya. Oleh itu, makna kata tidak akan menjelma selain dalam
konteks penggunaan perkataan atau ayat dalam ujaran kata ‘cantik’, amat kabur maknanya kecuali
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 202
dinyatakan dalam satu konteks seperti diucapkan untuk memberitahu orang lain akan kecantikan
seseorang atau pandangan, benda dan sebagainya, atau untuk memberi penghargaan atau pujian
terhadap sesuatu perbuatan seperti menjaringkan gol dalam permainan bola sepak. Dalam kedua-dua
situasi tadi, kata ‘cantik’ memang tidaklah sama. Dengan yang demikian menjadi nyata bahawa perkataan
memperlihatkan makna yang berbeza-beza ketika digunakan dalam pelbagai situasi sosial oleh manusia.
9.4 Makna Dalam Konteks
Makna konteks ialah makna kata yang wujud dalam suatu konteks, dengan mengambil kira tempat, waktu,
dan ruang lingkup peristiwa. Contoh :
i) Rambut di kepalanya sudah putih
ii) Sultan ialah kepala negeri
Makna sesuatu perkataan yang diujarkan boleh diketahui dengan melihat konteks penggunaan perkataan
itu. Contoh :
i) Tapak kasut sudah haus. (haus bermakna berkurangan tebalnya kerana banyak dipakai)
ii) Saya berasa haus kerana cuaca panas. (haus bermaksud berasa kering tekak atau dahaga)
Hubungan Makna Dengan Retorik Kebudayaan
Penggunaan dan pemilihan perkataan juga berhubung dengan kebudayaan sesuatu masyarakat. Contoh :
Aku : Digunakan dalam hubungan yang rapat untuk menimbulkan kemesraan.
Saya : Digunakan dalam hubungan biasa.
Patik : Digunakan oleh orang biasa untuk merendah diri apabila berhubung dengan
golongan raja.
Beta : Khas untuk raja merujuk dirinya.
9.5 Konsep Implikatur (Retorik Interpersonal)
Istilah implikatur menjadi popular setelah diperkenalkan oleh Grice dan menurut beliau penutur
bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kehadiran implikatur perbualan mesti disedari oleh
pendengar dan mudah pula bagi pendengar menginterpretasikan nya. Menurut Nor Hashimah (2003: 66),
konsep implikatur yang dikemukakan Grice, sungguh ringkas tetapi konsep ini telah berjaya menarik minat
ramai ahli pragmatik untuk sama-sama membincangkan implikatur dengan lebih mendalam lagi. Implikatur
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 203
merupakan satu bentuk pro posisi yang diimplikasikan oleh ujaran bagi ayat yang berkonteks, walaupun
proposisi itu bukan merupakan sebahagian daripada atau pencakupan daripada apa yang diperkatakan.
Sementara itu Carston (1988) pula berpendapat, implikatur ialah mengenai mesej yang tersirat
yang cuba disampaikan dengan ujaran yang tersurat. Implikatur melibatkan apa-apa yang diujarkan secara
eksplisit dan juga apa-apa yang dilahirkan secara implisit. Implikatur ini kemudiannya boleh dipecahkan
kepada dua bahagian iaitu :
a) Implikatur Khusus
Ada faktor istimewa yang dimiliki dalam konteks ujaran dan selalunya tidak hadir secara terang
dalam ayat yang diujarkan. Contohnya :
A : Nak tengok wayang?
B : Ada kuliah.
Apa yang dimaksudkan atau diimplikasikan : tidak mahu.
b) Implikatur Umum
Penggunaan sesetengah perkataan dalam ujaran akan selalu (walaupun tanpa kehadiran
persekitaran yang istimewa) membawa implikatur tertentu atau jenis implikatur. Contohnya :
A : Ali bujang.
Menurut Carston lagi, jika satu-satu perkataan itu kabur dan maknanya hanya akan diketahui melalui
konteks, maka ayat itu juga dianggap sebagai implikatur, iaitu implikatur umum. Jadi, dalam hal ini, bujang
akan hanya diketahui maknanya secara tepat berdasarkan konteksnya sahaja. Contoh di bawah
menunjukkan bagaimana implikatur harus ditafsirkan:
A : Yang ini berapa?
B : Yang ini mahal sikit, 30 lebih sebab barang supermarket.
Mula-mula ayat yang diujarkan akan dianalisis di peringkat apa yang diperkatakan, iaitu di peringkat
semantik. Telah diketahui bahawa analisis makna di peringkat ini hanya terhad kepada bentuk-bentuk logik
sahaja. Contohnya :
Sebab barang supermarket.
Interpretasi semantik :
Sebab barang ____________________
[barang berharga tetap]
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 204
Jelas dilihat di peringkat apa-apa yang diperkatakan, hanya maklumat logik sahaja yang dapat dibekalkan
oleh ilmu semantik. Banyak lagi maklumat tambahan yang diperlukan untuk mengetahui maksud yang
cuba disampaikan dalam retorik interpersonal ini. Di sinilah munculnya peranan ilmu pragmatik. Di sini
jugalah terserlah peranan ilmu kognitif dan pembentukan psikologi untuk mentafsir makna yang cuba
disampaikan. Buktinya, di peringkat ini akan muncul proses pembentukan spekulasi terhadap andaian-
andaian yang munasabah bagi mesej yang diterima daripada pihak pendengar.
Penutur seharusnya memastikan bahawa pendengar mempunyai konteks yang mencukupi untuk
mentafsirkan perkataan supermarket itu sendiri. Apabila telah ditafsirkan perkataan supermarket,
pendengar akan mempunyai gambaran barang-barang yang mahal dan tidak boleh berlaku tawar-
menawar. Ini disebabkan barang-barang supermarket mempunyai harga tetap. Itu merupakan lapisan
pertama daripada tafsiran bagi ujaran di atas. Masalahnya sekarang, implikatur mempunyai mesej tersirat
yang hendak disampaikan. Ini bermakna ujaran B di atas memerlukan tafsiran lanjut. Tafsiran lapisan
kedua diperlukan kerana mesej implikatur adalah mesej yang terselindung. Pendengar tidak boleh berhenti
setakat lapisan eksplikatur sahaja, malah terus meneroka ke mesej sebenar yang hendak disampaikan.
Tafsiran seterusnya ialah apakah hubungan perkataan mahal dan supermarket dengan pertanyaan harga
oleh pembeli. Kenapa penjual terus memberikan alasan seperti dalam B yang nyatanya buka jawapan
langsung daripada soalan A.
Di sini muncullah peranan kognisi iaitu pendengar akan memproses perkataan tersebut berserta konteks
sekeliling. Pendengar akan menggunakan perkataan mahal dan supermarket yang digunakan dalam
premis, kemudian digabungkan premis-premis tersebut dengan andaian latar belakang (background
assumptions) yang ada padanya untuk membuat inferens dalam otaknya. Dengan itu, satu kesimpulan
boleh dibuat iaitu, oleh sebab barang yang dijual itu setaraf dengan barang supermarket, pembeli mestilah
akur dengan harga yang diletakkan pada barang itu. Dengan alasan ini, pendengar tidak akan mencuba
menawar harga yang rendah.
Satu soalan lagi yang menyusul, iaitu mengapa tidak terus sahaja disebut harganya. Mengapakah
harus diberikan jawapan yang memerlukan usaha memproses maklumat yang tinggi? Penjual memberikan
alasan sedemikian walaupun tidak diminta berbuat demikian dengan alasan ingin memberikan kewajaran
kepada pelanggannya mengapa harga barang tersebut mahal dan untuk meyakinkan pembelinya bahawa
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 205
barang itu berkualiti. Jawapan yang diberikan dalam B akan memastikan spekulasi bahawa kedainya suka
menjual barang dengan harga yang tinggi dan dia adalah penjual yang tidak boleh bertolak ansur.
Walaupun pada lahirnya ujaran tersebut memerlukan usaha memproses maklumat yang lebih
banyak, tetapi jawapan yang bakal diperoleh oleh pendengar benar-benar berpatutan dengan usaha yang
ditumpukan oleh pendengar. Pendengar akan mendapat jawapan bukan sahaja seperti “barang ini tidak
boleh dibeli dengan harga yang murah”, tetapi juga alasan mengapa pembeli tidak boleh “menawar nya
dengan harga yang rendah”. Perkataan mahal dan supermarket telah berjaya mengekalkan harga
barangnya, dan dalam masa yang sama, penjual berharap dapat meyakinkan dan melenyapkan spekulasi
daripada membeli.
Sebenarnya dalam retorik interpersonal (penglibatan komunikasi antara manusia), tanggungjawab
penutur lebih berat jika dibandingkan dengan tanggungjawab pendengar sendiri. Sebagai penutur,
seseorang itu perlu memastikan ujaran nya selari dengan konteks pendengar. Konteks boleh menjadi satu
pengalaman yang begitu luas. Maka, di sini perlu dihadkan pemilihan konteksnya agar pendengar dapat
memproses ujaran penutur dengan lebih mudah. Caranya adalah dengan memastikan perkataan yang
bakal dipilih akan membantu pendengar mengembangkan konteksnya supaya selari dengan apa yang
cuba disampaikan oleh penutur itu sendiri. Dalam kes ini, penutur mengharapkan perkataan supermarket
akan dapat mengehadkan pemilihan konteks pendengar dan seterusnya berjaya membantu pendengar
menginterpretasikan ujaran penutur dengan berkesan.
9.6 Tindak Balas Asertif Dalam Retorik Interpersonal
Menurut Zulkifli Yusof (2000: 23), kenyataan-kenyataan yang asertif hendaklah disebut dengan nada suara
yang betul. Suara anda hendaklah bersahaja, tegas tetapi ramah. Jika tidak, nada kita dianggap sebagai
agresif. Anda juga boleh melembutkan nada suara, tetapi masih dianggap asertif. Contohnya seperti dalam
dialog-dialog di bawah :
a) “Saya tahu Encik mungkin sibuk pada masa ini. Barang ini saya membelinya kelmarin, tetapi telah
pecah walaupun belum menggunanya. Kalau boleh saya mohon gantinya daripada encik.”
b) “Saya menghargai pendapat Tuan mengenai isu tersebut dan saya akan memberi perhatian.
Walau bagaimanapun, berilah peluang kepada saya untuk menghabiskan percakapan saya ini.”
c) “Mengapakah perkara seperti ini berlaku?”
d) “Saya kurang pasti mengenai keputusan anda. Boleh kita bincang semula?”
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 206
untuk menyatakan kenyataan yang berunsur asertif, tiga panduan berikut perlulah dipatuhi :
a) Tunjukkan kepada orang lain bahawa anda memahami sesuatu perkara mengikut sudut
pandangan mereka. Jangan kelirukan hal ini dengan mengatakan anda bersetuju dengan mereka.
Anda tidak semestinya setuju, untuk memahami anda memerlukan kesabaran mendengar dan
empati. Anda boleh memahami pendapat mereka walaupun tidak semestinya bersetuju.
b) Katakan apa yang anda fikir dan rasai secara tidak apologetik. Milikilah perasaan, pemikiran dan
persepsi anda sendiri dengan menggunakan ganti nama ‘saya’ semasa menyatakan sesuatu.
c) Katakan apa yang anda suka. Ini akan menjelaskan lagi apakah tindakan atau hasil akhir yang
anda ingini.
9.7 Mengesan makna tersirat dalam retorik interpersonal
Apabila anda mendengar, cubalah mendengar dan memahami erti di sebalik kata-kata yang diucapkan.
Apakah perasaan di sebalik kata-kata yang diucapkan. Menurut Jack G. McAauley (1988: 34), jika anda
dapat mengesan perasaan di sebalik kata-kata yang diucapkan, barulah orang lain menganggap anda
telah mendengarnya. Contohnya, adalah sukar untuk mendengar pelanggan yang membuat bantahan atau
sungutan secara agresif.
Reaksi kita secara semula jadi akan berbentuk defensif dan kita selalunya akan bertindak memujuknya
supaya bertenang. Sekiranya kita boleh memahami perasaannya di sebalik kata-kata yang diucapkan,
mungkin satu rangka rujukan yang lebih bekerjasama akan wujud. Contohnya dalam dialog di bawah :
Anda : “Kita memerlukan warna baru untuk produk ini.”
Rakan : “Saya cadangkan warna kuning, ia terang dan menarik apabila dilihat.”
Anda : “Ya, tetapi warna kuning senang nampak kotor dan pelanggan tidak
menyukainya.”
Rakan : Diam dan terus merajuk. Dia rasa ‘di hina’ kerana ideanya terus ditolak.
Anda boleh mencuba pendekatan seperti berikut :
Anda : Benar Ali, kita memerlukan warna yang terang dan menarik. Boleh Ali cadangkan satu
warna lain yang dapat mengatasi masalah senang nampak kotor seperti rungutan
pelanggan. Pelanggan nampaknya kurang menyukai warna kuning.”
Anda tidak semestinya mempersetujui isi-isi atau mesej yang disampaikan oleh orang lain, tetapi sekiranya
anda berkata, “saya tidak bersetuju” atau “anda salah”, peluang anda untuk didengari semakin kurang.
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 207
Anda hendaklah selalu menghargai atau menghormati perasaan orang lain. Anda boleh berkata, “saya
mengagumi pendapat anda yang teguh mengenai hal yang kita bincangkan ini, tetapi saya percaya anda
akan rasa berlainan setelah mendengar penerangan daripada saya nanti.” Perkataan-perkataan yang
halus, lembut dan berdiplomasi ini akan menyebabkan orang lain akan terus mendengar apa yang anda
cakapkan. Oleh itu adalah mudah untuk memujuk orang lain daripada tidak bersetuju kepada bersetuju.
Bina hubungan berasaskan apa yang anda bersetuju dahulu, kemudian perlahan-lahan masukkan atau
kemukakan cadangan-cadangan daripada anda pula.
9.8 Prinsip Kerjasama
Prinsip kerjasama (cooperative principle) adalah prinsip yang terjalin antara pembicara dan penerima
(pendengar atau pembaca) agar komunikasi dapat berjalan dengan baik. Ada beberapa aturan dalam
prinsip ini yang harus diperhatikan oleh pembicara agar apa yang disampaikan mendapat tanggapan
semestinya oleh penerima. Ia juga harus menjaga bagaimana tanggapan semestinya oleh penerima. Ia
juga harus menjaga bagaimana penerima tetap mahu bekerjasama dengan dirinya dalam komunikasi itu.
Dengan kata lain, terjadi pertukaran dua arah sehingga pembicaraan itu tidak menjadi sesuatu yang sia-
sia. Aturan-aturan itu diwujudkan dalam beberapa bidal yang disesuaikan dengan konteks pembicaraan.
Dalam hal ini, terdapat empat bidal : (1) bidal kuantitas; (2) bidal kualitas; (3) bidal relevan; dan (4) bidal
cara penyampaian.
Bidal-bidal dalam prinsip kerjasama ini dapat digunakan untuk menggambarkan bagaimana
peserta dalam suatu pembicaraan mendapatkan implikatur. Prinsip kerjasama berikut bidal-bidalnya sering
diacu dengan maksud bidal-bidal dan prinsip itu memberikan deskripsi yang jelas mengenai bagaimana
penerimanya dapat menyaring informasi dari sebuah kalimat yang disampaikan pembicara meskipun
informasi itu tidak disebutkan pada kalimat itu (Rankema, 1993 : 10). Di sinilah pentingnya meneliti
hubungan antara bentuk dan fungsi kalimat itu. Contohnya :
A : Saya lapar ni.
B : Sebentar lagi ada makanan di kedai depan.
Dengan jawapan yang disampaikan B, A menyimpulkan bahawa B bermaksud menginformasikan bahawa
ada kedai yang masih buka dan menjual nasi. Padahal B tidak menyebut hal itu. Ini pun harus digaris
bahawa A hanya dapat menggunakan asumsi-asumsi itu jika dia berasumsi bahawa B bertindak sesuai
dengan prinsip kerjasama dan patuh kepada bidal relevan. Bidal kuantiti sendiri adalah satu uturan
bertingkah laku secara sosial di mana pembicara diharapkan dapat berbicara seinformatif mungkin sesuai
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 208
yang diperlukan untuk tujuan pertukaran informasi pada waktu terjadinya komunikasi. Dengan kata lain,
informasi yang disampaikan tidak melebihi daripada yang diperlukan. Contoh :
A : Sampai tarikh berapa wang kuliah semester depan harus dibayarkan?
B : Agaknya sampai tarikh 29 Disember. Kalau lewat, kena denda nampaknya!
Maksudnya sekarang kita boleh bayar di Bank BNI mana-mana. Cuma kalau dengan cara didebitkan, biasa
dilakukan mulai pada 1-14 Disember. Lewat tarikh itu, kamu mesti bayar lewat Bank BNI kampus.
C : Setelah itu baru kamu boleh isi IRS dan boleh lihat keputusan kamu semester ini.
Jadi kamu boleh mendaftar berapa mata pelajaran yang boleh kamu ambil semester depan dengan
pensyarah pembimbing. Semua kamu uruskannya di Gedung E.A adalah seorang mahasiswa baru pindah
dari universiti yang lain. Jawapan B memberi informasi yang diperlukan oleh A, sementara jawapan C
melebihi daripada yang diperlukan A. Maksud B telah mematuhi bidal kuantiti, sementara C tidak mematuhi
bidal ini. Bidal ini tidak berlaku pada konteks berdebat dan pembicaraan ringan (small talk). Pada saat
berdebat, biasanya masing-masing peserta debat mempunyai sudut pandang yang berbeza mengenai
suatu objek sehingga mengharuskan masing-masing untuk memberikan informasi sebanyak mungkin yang
mendukung argumennya. Jika ia tidak melanggar bidal ini, maka sangat mingkin ia kalah dalam debatnya.
Dalam pembicaraan ringan ketika dipatuhi bidal kuantiti ini, maka akan terkesan menggurui lawan bicara
sehingga mengakibatkan lawan bicara tidak ingin menanggapi pembicaraan.
9.9 Kesimpulan
Kesimpulannya, retorik bermakna seni penggunaan bahasa yang indah dan menarik untuk memaklumkan,
memujuk dan mempengaruhi pemikiran pembaca atau pendengar. Pemikiran khalayak pembaca atau
pendengar berjaya dipujuk dan dipengaruhi apabila mereka bertindak mengikut apa-apa yang disarankan.
Retorik bermula dengan seni berbicara. Berbicara bererti mengucapkan kata atau kalimat kepada
seseorang atau orang ramai, untuk mencapai tujuan tertentu seperti memaklumkan sesuatu atau
memberikan motivasi. Retorik juga diertikan sebagai kesenian untuk berbicara dengan lancar, jelas,
singkat, padat dan mengesankan. Lancar dan jelas supaya mudah difahami, singkat dan padat supaya
tidak membazirkan waktu dan seterusnya dapat memberi kesan kepada pendengar.
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 209
Huraikan 6 maksim yang dapat membantu individu memahami sesuatu serta perbezaan
setiap maksim tersebut antara satu dengan yang lain?
Jelaskan prinsip-prinsip retorik iaitu prinsip kemudahan, prinsip kemudahan, prinsip
kejelasan, prinsip ekonomi dan prinsip ketepatgunaan?
KATA KUNCI
1. Retorik 6. Tidak balas asertif
2. Lakuan lisan 7. Makna tersirat
3. Konteks makna 8. Prinsip kerjasama
4. Retorik Interpersonal 9. bidal
5. Konsep implikatur 10. Kalimat
PENILAIAN KENDIRI
1. Huraikan tindak balas asertif dan berikan 2 contoh.
2. Jelaskan perbezaan bidal dan kalimat dan berikan 2 contoh.
3. Mengapakah konteks makna dalam retorik interpersonal penting dalam pembelajaran.
4. Jelaskan konsep implikatur dalam kehidupan.
P R I N S I P R E T O R I T E K S T U A L | 210
RUJUKAN
Abdullah Yusoff et. al., (2009), Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu, Pustaka Salam
Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (1994). Kamus Dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor Hashimah Hj. Jalaluddin. (2003). Satu Analisis Semantik Dan Pragmatik. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka
Wittgenstein, L. (1953).Philosophical Investigations, Oxford : Blackwell.