kkp_-_keciciran_di_sekolah
DESCRIPTION
moralTRANSCRIPT
1.0 HALAMAN PENGAKUAN
“Saya akui karya ini hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan, ringkasan dan maklumat-maklumat yang tiap-tiap satunya telah dijelaskan sumbernya”
TANDATANGAN : ....................................................................
NAMA : MUHAMMAD FADHLAN BIN ABD JALIL
TARIKH : 9 OGOS 2013
1
2.0 ISI KANDUNGAN MUKA SURAT
1.0 HALAMAN PENGAKUAN 1
2.0 ISI KANDUNGAN 2
3.0 PENDAHULUAN 3
4.0 ISU KAJIAN – MASALAH KECICIRAN DI SEKOLAH 5
4.1 Definisi Keciciran 5
4.2 Kajian Lepas Berkaitan Keciciran Di Sekolah 6
4.3 Analisis Isu Keciciran 8
4.3.1. Definisi Miskin 8
4.3.2. Punca Keciciran (Kaitan Kemiskinan dengan Keciciran) 10
4.3.3. Kepentingan Isu Keciciran 13
4.3.4. Langkah Mengatasi Masalah Keciciran 16
4.4 Ringkasan 20
4.5 Rumusan Isu Keciciran 22
5.0 PENGHARGAAN 23
6.0 REFLEKSI 24
7.0 BIBLIOGRAFI 26
8.0 LAMPIRAN 27
2
3.0 PENDAHULUAN
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan bagi meningkatkan pencapaian
akademik pelajar berteraskan konsep keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani, dan
intelek (JERI). Pendidikan merupakan suatu proses yang berterusan bagi mengembangkan
potensi individu ke arah kecemerlangan akademik serta mempunyai kepelbagaian
kemahiran secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan hasrat kerajaan bagi
melahirkan generasi yang berketerampilan dan berdaya saing di peringkat global. Hal ini
selaras dengan matlamat negara bagi melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan
terbilang di mata dunia (Rasidah Rashid, 2009).
Walaupun begitu, keciciran merupakan salah satu masalah utama yang berlaku di sekolah-
sekolah di Malaysia. Keciciran umumnya dikaitkan dengan pendidikan dan tahap
pencapaian akademik murid-murid di sekolah. Dr. Zakiah Jamaluddin (2011) mengatakan
keciciran dalam pendidikan bermaksud seseorang yang tidak dapat meneruskan
persekolahan. Fenomena keciciran dalam pendidikan sudah dibincangkan secara serius
sejak tahun 1960-an lagi sehingga membawa kepada pembentangan Laporan Murad 1972.
Menurut kajian, 40% pelajar sekolah di Malaysia mengalami keciciran. Manakala 35%
pelajar sekolah yang berada di antara Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga, tercicir dalam
persekolahan (Murad Mohd Noor, 1973).
Laporan ini menyimpulkan bahawa anak-anak yang berasal daripada keluarga yang
berpendapatan rendah sering tercicir dalam pelajaran kerana ibu bapa tidak mampu untuk
menyekolahkan anak-anak mereka. Taraf kelulusan ibu bapa yang rendah turut
mempengaruhi kesedaran mereka mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan anak-
anak. Berdasarkan Laporan Murad, antara faktor keciciran dalam pendidikan ialah status
sosio ekonomi (taraf pekerjaan ibu bapa dan taraf kelulusan ibu bapa), pendidikan dan
pekerjaan, sikap guru terhadap pelajar, sikap pelajar terhadap subjek di sekolah
terutamanya subjek sains dan jarak dari rumah pelajar ke sekolah.
Masalah keciciran sering dikaitkan dengan perbezaan kualiti dan kemudahan pendidikan
antara bandar dan luar bandar. Sementara kemiskinan pula dikatakan sebagai punca utama
berlakunya keciciran di kalangan para pelajar (Umar Bakhy bin Ghazali, 2009). Kajian-kajian
kemiskinan dan pembangunan desa sering menunjukkan tahap pendidikan keluarga miskin
adalah rendah (Fong Chan Onn dalam INTAN 1991; Unit Penyelidikan Sosioekonomi
Rakyat, 1990). Contohnya, Kajian Sosioekonomi Rakyat Termiskin (Chamhuri, 2001)
mendapati tahap pendidikan keluarga termiskin adalah lebih rendah berbanding bukan
miskin iaitu antara 65-92 peratus.
3
Ketua rumah termiskin cuma tamat sekolah rendah dan hanya 1-16 peratus tamat sekolah
menengah rendah. Ahli isi rumah termiskin juga mempunyai tahap pendidikan yang rendah
iaitu antara 29-77 peratus tamat sekolah rendah.
Berdasarkan hujah-hujah di atas, keciciran kerap berlaku terhadap anak-anak yang datang
daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Kemiskinan menjadi punca utama kepada
keciciran kerana kemiskinan merupakan ibu kepada pelbagai lagi masalah lain yang mana
semuanya menyumbang kepada masalah keciciran dalam pembelajaran.
4
4.0 ISU KAJIAN – MASALAH KECICIRAN DI SEKOLAH
4.1 Definisi Keciciran
Menurut Nor Aziah Alias, Haziah Jamaludin dan Salemah Ismail (2001), keciciran dalam
konteks pendidikan ditakrifkan sebagai kesukaran yang dihadapi sehingga berlaku salah
satu atau lebih daripada fenomena berikut, iaitu gagal dalam mata pelajaran, menggugurkan
mata pelajaran, tidak hadir peperiksaan atau berhenti.
Menurut Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dalam Penyata Rasmi Parlimen ketika menjadi
Menteri Pendidikan pada tahun 1988 dahulu, beliau mendefinisikan istilah keciciran sebagai
pelajar-pelajar yang terkeluar daripada sistem formal walaupun diakui sebahagian daripada
pelajar-pelajar itu akan meneruskan pendidikan mereka di sekolah-sekolah atau maktab
swasta.
Ketinggalan dalam proses kemajuan seperti proses pendidikan yang disebabkan oleh
pelbagai aspek. (Laporan Murad, 1973).
Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh di atas, dapatlah disimpulkan bahawa keciciran
bermaksud kegagalan murid untuk berada dan bersaing dalam arus perdana disebabkan
pelbagai masalah dan kekangan yang perlu dihadapi.
5
4.2 Kajian Lepas Berkaitan Keciciran Di Sekolah
Menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Penyata Rasmi Parlimen (1988), beliau
membahagikan kadar keciciran kepada empat bahagian iaitu kadar keciciran bagi peringkat:
Pendidikan Rendah
Rendah sehingga ke peringkat Menengah Rendah
Menengah Rendah ke peringkat Menengah Atas
Universiti.
Dapatan kajian keciciran ini dijalankan antara tahun 1982 hingga 1986. Berikut merupakan
dapatan kajian yang dijalankan dan dibentangkan dalam Penyata Rasmi Parlimen 1988:
Peringkat Pendidikan Rendah
1982.. .. .. .. 4.83%
1983 .. .. .. .. 4.50%
1984 .. .. .. .. 3.89%
1985 .. .. .. .. 3.64%
1986 .. .. .. .. 3.01%
Peringkat Pendidikan Rendah sehingga ke peringkat Menengah Rendah
1982 .. .. .. .. 11.2%
1983 .. .. .. .. .9.8%
1984 .. .. .. .. 9.3%
1985 .. .. .. .. 9.9%
1986 .. .. .. .. 9.9%
6
Peringkat Pendidikan Menengah Rendah sehingga ke peringkat Menengah Atas
1982 .. .. .. .. 37.1%
1983 .. .. .. .. 33.2%
1984 .. .. .. .. 33.4%
1985.. .. .. .. 34.8%
1986 .. .. .. .. 32.4%
Bagi pendidikan di peringkat universiti pula, secara keseluruhannya jumlah pelajar yang
tercicir adalah kecil bilangannya dan ini merupakan suatu fenomena biasa di setiap
universiti. Sebab-sebab berlakunya keciciran adalah satu perkara normal iaitu kerana gagal
di dalam peperiksaan. Kebanyakan keciciran berlaku pada kursus-kursus tertentu sahaja
seperti Kejuruteraan, Perakaunan, Perubatan, Pergigian dan Undang-undang. Secara
keseluruhan, kadar keciciran bagi Fakulti Kejuruteraan, Perakaunan, Perubatan, Pergigian
dan Undang-undang adalah kurang dari 10% daripada jumlah calon yang menduduki
peperiksaan.
Umar Bakhy bin Ghazali dalam kajiannya pada 2009 yang bertajuk ‘Keciciran, Apa
Puncanya’ menyatakan bilangan pelajar sekolah menengah yang gagal menamatkan
pengajian sehingga ke tingkatan lima mencecah 242,195 atau 3.8 peratus daripada
keseluruhan 6.3 juta orang pada tahun 2006.
Berdasarkan maklumat-maklumat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa peratusan kadar
keciciran semakin menurun mengikut tahun. Walaupun terdapat juga tahun yang lebih tinggi
atau sama kadar kecicirannya apabila dibandingkan dengan tahun sebelumnya, namun kes
seperti ini agak jarang berlaku.
Kadar keciciran makin menurun mungkin disebabkan usaha-usaha pelbagai pihak yang
membantu memperbaiki sistem pembelajaran dan memudahkan pelajar-pelajar untuk
belajar dengan pelbagai jalan dan kaedah. Usaha-usaha ini boleh dikatakan berjaya dan
patut dihargai kerana mampu mengurangkan kadar peratusan keciciran dalam kalangan
pelajar sekolah di Malaysia.
7
4.3 Analisis Isu Keciciran
Sepertimana yang dibincangkan di atas iaitu di bahagian pendahuluan, punca utama
keciciran berlaku dalam kalangan pelajar ialah kemiskinan dari sudut harta benda. Oleh itu,
kupasan ini akan memfokus kepada kemiskinan keluarga pelajar, iaitu bagaimana
kemiskinan boleh mempengaruhi keciciran pelajar di sekolah berdasarkan pandangan dan
kajian tokoh-tokoh pengkaji yang mengkaji masalah ini.
4.3.1. Definisi Miskin
Sebagai permulaan, istilah kemiskinan haruslah dibincangkan maksudnya terlebih dahulu
agar isu ini dapat dilihat dengan lebih jelas, tersusun dan menjawab tanda tanya yang
bermain di fikiran.
Kemiskinan ialah satu keadaan di mana seseorang itu kekurangan keperluan asas dalam
kehidupan. Dalam masyarakat moden, kemiskinan biasanya disamakan dengan masalah
kekurangan wang (Dr. Zakiah Jamaludin, 2011).
Menurut Ungku Aziz (1964), miskin bermaksud tidak memperolehi pendapatan yang dapat
memenuhi keperluan asas yang utama, atau tidak mendapat makanan yang mempunyai zat
yang diperlukan untuk kesihatan badan serta tidak dapat memenuhi dan mengekalkan
kecekapan fizikal.
Booth (dalam Holman, 1978) menyatakan miskin boleh dihuraikan sebagai seseorang yang
hidup dalam keadaan yang susah untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang
mencukupi. Rowntree (dalam Holman, 1978) pula menjelaskan bahawa kemiskinan sebagai
ketidakcukupan untuk memenuhi keperluan asas di peringkat secukup hidup untuk
mempertahankan kecekapan fizikal.
Syed Husin Ali (1978) pula menyatakan kemiskinan bererti satu keadaan kekurangan yang
merangkumi kekurangan daripada mendapatkan beberapa keperluan hidup iaitu keperluan
asasi (makanan, tempat tinggal dan pakaian) serta keperluan sosial (seperti pendidikan,
perubatan, bekalan api dan air serta kenderaan). Beliau juga menjelaskan bahawa golongan
miskin ialah mereka yang tidak mampu atau tidak berkebolehan mendapatkan seluruh
keperluan tersebut. Manakala golongan miskin kronik ialah golongan yang tidak mampu
untuk mendapatkan keperluan asasi.
8
Ishak Shari (1996) mendefinisikan kemiskinan sebagai satu keadaan apabila sesebuah isi
rumah tidak memperolehi pendapatan yang cukup bagi menampung sejumlah perbelanjaan
untuk keperluan asas yang minimum seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan
keperluan asas bukan makanan.
Bank Dunia pula menganggap kemiskinan sebagai peminggiran dari kesempurnaan hidup
(World Bank, 2008). Ia merupakan peminggiran material yang berkait rapat dengan
kekurangan pendapatan dan kekurangan penggunaan (low consumption) di mana kedua-
dua faktor ini selari dengan kekurangan zat makanan dan keadaan hidup yang daif. Bank
Dunia berpendapat bahawa definisi kemiskinan yang lebih tepat dan diterima ramai adalah
kemiskinan yang berkait dengan kemiskinan kemanusiaan yang disebabkan oleh tahap
kesihatan dan pendidikan yang rendah (faktor dan akibat).
Bank Dunia (World Bank, 2008) mentakrifkan kemiskinan sebagai penghidupan dengan
perbelanjaan kurang daripada US$2 (RM6) sehari. Manakala bagi mereka yang hidup
dengan perbelanjaan kurang daripada US$ 1.25 (RM3.75) sehari, dianggap menghadapi
kemiskinan yang keterlaluan. Bagi garis kemiskinan $1.25 (RM3.75) sehari, mendapati
bahawa 1.4 juta penduduk dunia berada di garis kemiskinan ini atau di bawah garis
kemiskinan. Jumlah ini lebih banyak berbanding kira-kira 984 juta penduduk dengan ukuran
$1 (RM3) sehari pada tahun 2004.
Kemiskinan di Malaysia seringkali didefinisikan sebagai miskin dari segi pendapatan dan
diukur melalui Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi membezakan antara golongan
miskin dengan yang tidak miskin. PGK merujuk kepada suatu jumlah pendapatan minimum
untuk membolehkan isi rumah secara purata menikmati makanan berzat yang mencukupi
bagi menjalankan aktiviti harian dan membuat perbelanjaan lain untuk mengekalkan suatu
tingkat hidup yang selesa (Rancangan Malaysia Kelapan, 2001; Ragayah Mat Zin, 2007).
Terlalu banyak definisi yang diberi oleh pelbagai pihak sama ada secara tokoh individu
mahupun organisasi seperti Bank Dunia. Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh ini, dapatlah
disimpulkan bahawa kemiskinan terbahagi kepada pelbagai dimensi dan sudut dan
bukanlah daripada sudut harta benda / ekonomi sahaja. Walau bagaimanapun, fokus
kemiskinan yang ingin diketengahkan ialah kemiskinan dari sudut harta benda.
Kemiskinan daripada sudut harta benda / ekonomi boleh disimpulkan sebagai kekurangan
atau ketidakcukupan wang bagi membolehkan seseorang itu mendapatkan keperluan asas
daripada segi makanan dan bukan makanan untuk hidup dengan baik dan selesa.
9
Keperluan asas daripada segi makanan merupakan makanan yang mengandungi nutrien
yang lengkap bagi membantu memperbaiki dan mengekalkan kesihatan seseorang individu
manakala daripada segi bukan makanan terbahagi kepada pelbagai bahagian seperti
pendidikan, bekalan air, elektrik dan sebagainya yang asas untuk kelangsungan hidup.
4.3.2. Punca Keciciran (Kaitan Kemiskinan dengan Keciciran)
Kajian yang dijalankan oleh Dr. Zakiyah Jamaludin (2011) mendapati bahawa kesemua klien
/ subjek kajiannya memiliki rumah yang agak kecil dengan ruang yang agak sempit. Hal ini
menyebabkan anak-anak mereka terpaksa belajar di ruang tamu. Namun demikian, ruang
tamu itu juga digunakan untuk menjalankan pelbagai aktiviti harian sepanjang hari. Keadaan
di dalam rumah yang panas, atap rumah yang bocor dan sesetengah papan telahpun reput
dan dimakan anai-anai, menyebabkan anak-anak klien tidak dapat belajar dengan selesa.
Kemiskinan juga menyekat keupayaan mereka untuk membeli, menyimpan dan membaca
buku. Ibu bapa tidak dapat menyediakan buku latihan tambahan untuk anak-anak
mengulangkaji. Mereka hanya bergantung kepada pemberian buku teks oleh pihak sekolah.
Peralatan sekolah seperti alat tulis juga tidak dapat disediakan dengan sempurna.
Kebiasaannya juga anak-anak akan menggunakan kemudahan yang terdapat di sekolah
seperti perpustakaan dan makmal komputer. Hal ini berkait rapat dengan faktor bahawa
kanak-kanak dalam kalangan isi rumah yang miskin umumnya mempunyai tahap
pencapaian yang rendah.
Antara cabaran yang menghalang kanak-kanak daripada isi rumah ini untuk menyertai
sistem pendidikan dengan berkesan termasuklah tahap pendapatan keluarga yang rendah,
persekitaran di rumah yang tidak kondusif untuk pembelajaran dan kekurangan sumber
kewangan untuk membeli peralatan sekolah. Selain itu, kesukaran dalam menyediakan
perkhidmatan pendidikan yang berkualiti di kawasan pendalaman yang mana terdapat
bilangan pelajar yang kecil dan cabaran untuk mengekalkan guru telah mengekang kapasiti
kanak-kanak untuk meningkatkan prestasi pendidikan mereka (Rancangan Malaysia
Kesepuluh, 2010).
Masyarakat umum melabelkan ibu bapa dengan status sosioekonomi rendah tidak
mempunyai cita-cita yang tinggi terhadap pencapaian anak-anak mereka di sekolah. Situasi
ini berlaku kerana ibubapa tidak menggalakkan cita-cita mereka dengan tidak menghiraukan
pelajaran mereka.
10
Walaupun kanak-kanak ini mempunyai cita-cita untuk berjaya tetapi gagal mencapai cita-cita
tersebut kerana tidak mendapat dorongan dan sokongan sewajarnya daripada ibu bapa
sendiri. Alasan yang sering diberi oleh ibu bapa ialah dengan menyatakan bahawa mereka
tidak memiliki kelayakan akademik dan tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk
membantu anak-anak di dalam pelajaran (Mohamad Johdi Salleh, Che Noraini Hashim,
Ismael Hassanaen dan Amir Hasan Dawi, 2009).
Sepertimana yang dijelaskan di atas, kemiskinan merupakan ibu kepada masalah keciciran
yang berlaku dalam kalangan pelajar. Contohnya hubungan kemiskinan dengan pencapaian
dikaitkan juga dengan kesan negatif terhadap perkembangan minda.
Kesan ini termasuk food deprivation yang mempengaruhi konsentrasi dan pembelajaran
harian, kekurangan nutrien yang mempengaruhi tumbesaran, kekurangan pengawasan oleh
orang dewasa dan penjagaan anak yang akan menghadkan pembelajaran, kekurangan
stimulasi (rangsangan) yang mengakibatkan kekurangan motivasi untuk belajar dan
melambatkan perkembangan kognitif, tingkah laku yang bermasalah, sikap kendiri yang
rendah, buta huruf dan pencapaian rendah, gangguan kepada kehadiran ke sekolah dan
tercicir dari sekolah dan kekurangan kemasukan ke universiti (Mohamad Johdi Salleh, Che
Noraini Hashim, Ismael Hassanaen dan Amir Hasan Dawi, 2009).
Amy J. Orr (2003) mengatakan kekayaan boleh mempengaruhi pencapaian akademik
secara positif. Perbezaan pencapaian pelajaran bukan sahaja antara etnik kerana
perbezaan kekayaan tetapi juga dalam sesama etnik sendiri juga begitu. Ibu bapa yang
mempunyai pendapatan kukuh kurang mendapat masalah dalam melancarkan anak-anak
mencapai pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Murid daripada status sosioekonomi
tinggi mendapat pencapaian akademik yang lebih baik berbanding dengan murid daripada
status sosioekonomi rendah dan sederhana. Keluarga yang berada mempunyai peluang-
peluang yang lebih untuk membeli bahan pendidikan atau mengadakan kelas bimbingan
tambahan. Persekitaran pembelajaran yang lebih baik boleh diadakan apabila pendapatan
keluarga tinggi.
Sejak dilahirkan pembentukan sahsiah, sikap serta persepsi seseorang individu terhadap
kehidupan akan datang banyak dipengaruhi oleh keluarganya. Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud, “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan yang suci (fitrah), ibu
bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim). Latar belakang keluarga seperti status ekonomi, pegangan agama, budaya
keluarga, sikap ibu bapa terhadap nilai pendidikan akan menjadi asas pembentukan identiti
individu pelajar. Pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di rumah serta sokongan
11
dan dorongan keluarga akan menjadi asas kepada kejayaan pelajar pada peringkat
persekolahan seterusnya.
Sehingga kini, masih terdapat jurang yang nyata dalam pencapaian akademik antara pelajar
Bumiputera dan bukan Bumiputera (BPPDP, 2001). Pelajar Bumiputera masih belum
setanding dengan pelajar bukan Bumiputera, khususnya kaum Cina, sama ada dari segi
kuantiti mahupun kualiti. Salah satu faktor utama yang dikenal pasti adalah perkaitan antara
kemiskinan dengan pendidikan. Ketidakseimbangan sosioekonomi dan wujudnya golongan
miskin mempengaruhi perbezaan pencapaian akademik di kalangan pelajar mengikut kaum
dan lokasi.
Faktor kemiskinan, keluarga, pelajar, sekolah, dan persekitaran banyak mempengaruhi
kelemahan pelajar Bumiputera khususnya pelajar Melayu dalam akademik terutamanya
dalam aspek bahasa, angka, pembelajaran, dan perkembangan minda (Dr. Faridah bt Abu
Hassan, Dr. Naimah bt Ishak, Dr. Hamidah bt Yusof dan Dr. Habibah bt Abdul Rahim, 2005).
Kemiskinan dan persekitaran menyebabkan pencapaian pendidikan yang rendah dan
seterusnya mencambahkan kemiskinan. Kajian-kajian kemiskinan dan pembangunan desa
sering menunjukkan tahap pendidikan keluarga miskin adalah rendah (Fong Chan Onn
dalam INTAN 1991). Rata-rata, pencapaian akademik pelajar Melayu di desa dan bandar
lebih rendah berbanding pelajar bukan Melayu pada setiap peringkat pendidikan dan kadar
keciciran adalah tinggi di kawasan desa. Masalah kemiskinan, kesempitan hidup, dan
kewangan menyebabkan ibu bapa tidak mampu untuk menampung perbelanjaan sekolah
anak-anak. Pelajar yang miskin didapati bekerja untuk membantu menyara keluarga,
membantu ibu bapa bekerja di sawah, ladang, kebun, laut atau mengusahakan perniagaan
keluarga dan membantu kerja rumah serta menjaga adik-adik ketika ibu bapa bekerja.
Wahid Hashim (2006) mengatakan kemiskinan bukanlah satu-satunya punca yang
menyebabkan pelajar tercicir. Mengikut Bahagian Sekolah, KPM punca lain ialah tidak
menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira sejak di bangku sekolah rendah,
faktor pengangkutan atau perhubungan, faktor keluarga dan pengaruh rakan sebaya.
Pengurusan yang lemah di peringkat sekolah juga mungkin menjadi faktor kepada kadar
keciciran yang tinggi. Pentadbir di sekolah kurang ilmu pentadbiran atau kurang minat
dengan tempat mereka mengajar menyebabkan mereka tidak begitu mempedulikan nasib
anak bangsa.
12
Daripada kajian-kajian yang dijalankan, jelaslah kemiskinan merupakan punca utama
kepada masalah keciciran pelajar sekolah dalam bidang akademik. Daripada masalah
kemiskinan ini, timbullah pelbagai lagi masalah lain yang menghalang pelajar-pelajar untuk
belajar dengan baik dan berkesan. Adakah isu ini menjadi satu masalah besar yang mampu
menimbulkan kegelisahan dan rasa tidak senang terhadap masyarakat dan negara? Marilah
kita bersama-sama mengupas dan membincangkan persoalan ini.
4.3.3. Kepentingan Isu Keciciran
Kajian Sosioekonomi Rakyat Termiskin (Chamhuri, 2001) mendapati tahap pendidikan
keluarga termiskin adalah lebih rendah berbanding bukan miskin iaitu antara 65-92 peratus.
Ketua rumah dalam kategori termiskin tamat sekolah rendah dan hanya 1-16 peratus tamat
sekolah menengah rendah. Ahli isi rumah termiskin juga mempunyai tahap pendidikan yang
rendah iaitu antara 29-77 peratus tamat sekolah pada peringkat sekolah rendah.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Dr. Zakiyah Jamaludin (2011), beliau mendapati masalah
ini akan berlarutan sekiranya tidak dibendung dan dicegah. Ikuti kajian-kajian yang beliau
jalankan terhadap beberapa keluarga miskin yang mengalami masalah keciciran dalam
pelajaran di sekolah.
Subjek kajian pertama iaitu Encik Ahmad, berusia 45 tahun, tinggal di sebuah kampung di
Changlun. Bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan.
Namun demikian, pendapatan ini dibahagi dua dengan tuan tanah. Bagi menampung
keluarganya yang terdiri dari seorang isteri dengan tiga orang anak, beliau bekerja
sampingan memotong rumput dan diberi upah di antara RM10-RM15 untuk sekali
perkhidmatan. Di samping itu beliau juga membantu jirannya memelihara kambing. Encik
Ahmad pernah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara tahun 2002
sehingga awal 2003 sebanyak RM50 sebulan. Encik Ahmad dan isteri mempunyai taraf
pendidikan sehingga darjah enam sahaja.
Anak perempuan sulung Encik Ahmad berusia 27 tahun, hanya bersekolah setakat
Tingkatan Tiga sahaja, telah berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Anak
perempuan kedua pula berkelulusan SPM dan bekerja sebagai juruwang di sebuah pusat
membeli belah di Changlun. Manakala anak ketiga, 12 tahun, adalah termasuk dalam
kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami sindrom down. Anak bongsunya
mendapat bantuan JKM sebanyak RM150 sebulan. Beliau mula bersekolah pada usia
sembilan tahun.
13
Hasil pendidikan yang diterima di PDK, anak bongsunya mula sudah semakin berdikari dan
pandai bergaul. Keadaan kemiskinan juga menyukarkan mereka untuk meneruskan
pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Anak keduanya pernah memasuki
Tingkatan Enam, namun akibat tidak mendapat biasiswa, beliau berhenti sekolah enam
bulan setelah memasuki Tingkatan Enam.
Subjek kajian kedua ialah Encik Razie, 42 tahun, tinggal di Kodiang dan dikurniakan lima
orang anak. Beliau bekerja sebagai buruh kasar di sebuah kilang papan dengan pendapatan
sebanyak RM400 sebulan. Encik Razie dan isteri berkelulusan SRP. Sebelum ini, Encik
Razie telah mendapat bantuan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT)
dan menetap di situ selama 17 tahun. Namun setelah ibu Encik Razie meninggal dunia,
mereka menetap di rumah pusaka arwah ibunya dan memberikan rumah PPRT tersebut
kepada sepupunya. Mereka juga pernah mendapat bantuan daripada JKM sebanyak RM200
sebulan yang diterima sejak tahun 2009 hingga 2010.
Anak kedua Encik Razie berhenti sekolah semasa di Tingkatan Empat. Anak pertama dan
kedua Encik Razie mengambil inisiatif membantu bapa mereka mencari wang tambahan
bagi menampung perbelanjaan seharian dan persekolahan adik-adik mereka. Anak
sulungnya bekerja sebagai pelayan di sebuah gerai berdekatan dengan rumah. Manakala
anak kedua membantu jiran menjual kuih apam balik di pasar malam. Anak ketiga (15
tahun), yang merupakan anak perempuan juga tidak berminat ke sekolah akibat malu
dengan perbuatannya yang suka mengambil barangan orang. Walaupun Encik Razie dan
isteri memarahi dan menasihati anak-anak mereka agar meneruskan persekolahan, namun
mereka enggan menyambung pelajaran. Apa yang membimbangkan Encik Razie dan isteri
ialah anak keempatnya (11 tahun) juga menunjukkan ciri-ciri tidak berminat ke sekolah.
Sementara klien seterusnya iaitu Puan Manis ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai
tiga orang anak dan menetap di Changlun. Berpendidikan setakat darjah dua, beliau tidak
bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan daripada JKM sebanyak RM200 sebulan.
Beliau sebelum ini pernah bekerja di kantin sekolah dan kadangkala mengambil upah
menyapu sampah, namun ketiadaan pengangkutan menyebabkan beliau memilih untuk
berhenti kerja. Pn Manis sekeluarga mendiami rumah PPRT sejak tahun 2003.
Anak-anak Puan Manis turut bekerja bagi menampung keperluan harian. Anak sulungnya
(29 tahun) telah berhenti sekolah pada umur 13 tahun. Masalah kewangan dan
pengangkutan merupakan antara faktor mengapa anak Puan Manis berhenti sekolah.
Setelah berhenti sekolah, beliau bekerja di salah sebuah kafe di kolej kediaman pelajar di
salah sebuah IPTA selama 15 tahun. Selepas itu beliau bekerja di sebuah kedai mencuci
kereta di Changlun dan kini bekerja sebagai pembantu kedai di Pulau Pinang.
14
Anak keduanya juga berhenti sekolah semasa di Tingkatan Dua dan berkahwin selepas
berhenti sekolah. Beliau kini sudahpun bercerai dengan suaminya dan mempunyai seorang
anak. Mereka tinggal bersama dengan Puan Manis dan anak bongsunya. Anak bongsunya
masih bersekolah di Tingkatan Dua. Beliau sepatutnya berada di Tingkatan Tiga, namun
kerana tidak mendaftar pada awal sesi persekolahan, maka dia terpaksa memasuki
Tingkatan Dua pada usia 15 tahun. Anak bongsunya ini mengambil upah mengasuh anak
jiran selepas waktu sekolah bagi menampung perbelanjaan persekolahannya.
Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan, jelas bahawa hal ini merupakan satu isu yang
serius dan perlu diambil perhatian. Kesemua subjek kajian terdiri daripada keluarga miskin
yang tidak mempunyai tahap ilmu dan kelulusan yang tinggi. Akibatnya, mereka sentiasa
hidup dalam keadaan susah dan serba kekurangan. Sebagai seorang manusia yang prihatin
dan mempunyai sifat belas kasihan dan ihsan, khabar ini sudah pasti menyebabkan kita
berasa sedih dan terganggu sekiranya tidak mampu berbuat apa-apa atau memberi
sebarang sumbangan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan ini.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
�ِح�ُّب� ُي َم�ا �ِخ�يِه� َأِل� �ِح�ُّب� ُي �ى َّت َح� �ْم� �َح�ُد�ُك َأ �ْؤ�َم�ُن� ُي اَل� َق�اَل� �ْم� َّل َو�َس� �ِه� �ي َع�َّل �ِه� الَّل َص�َّل�ى �ِّي# �ِب الَّن َع�ُن� �ِه� َع�َّن �ِه� الَّل ِض�ِّي� َر� �ٍس( �َن َأ َع�ُن�
( َوَمسَّلْم. ( الِبخاَري ِه� �ْف�س� �َّن ل
Dari Anas R.A., dari Nabi S.A.W., sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu
sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka
mendapatnya.” (Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan apa yang dibincangkan di atas, jelas kemiskinan menjadi punca utama
keciciran. Daripada kemiskinan, lahirlah pelbagai masalah lain. Antara masalah lain yang
timbul ialah ibu bapa tidak melihat pendidikan sebagai sesuatu yang penting, ibu bapa tidak
menggalakkan anak-anak untuk belajar, anak-anak dipaksa atau secara suka rela berhenti
sekolah dan bekerja demi membantu keluarga, anak-anak tidak dapat belajar dengan baik,
anank-anak tidak berminat untuk belajar dan sebagainya.
Setelah mengetahui dan mengenal pasti punca masalah, perbincangan dan kupasan
seterusnya akan berfokus kepada cara untuk mengatasi masalah keciciran ini. Hal ini
kerana, sekiranya masalah ini tidak diatasi, masalah ini akan berterusan tanpa ada
penyelesaiannya. Semua pihak haruslah memainkan peranan dan melibatkan diri bagi
membantu mengatasi masalah ini.
15
4.3.4. Langkah Mengatasi Masalah Keciciran
Pekerja sosial mempunyai peranan dan fungsinya yang tersendiri. Antara peranan yang
boleh dimainkan oleh pekerja sosial apabila bekerja dengan klien dalam konteks komuniti
ialah berperanan sebagai pendidik (educator), penghubung (broker) dan pemudahcara
(facilitator). Ia dapat menghubungkan klien dengan sumber-sumber yang dapat
meningkatkan kefungsian sosial mereka serta memberi pendedahan dalam mendapatkan
maklumat (Zastrow & Kirst-Ashman, 2010).
Pada dasarnya, semua bentuk pertukaran maklumat merupakan bentuk pendidikan. Pekerja
sosial dapat berperanan sebagai pendidik (educator) apabila terlibat dalam sesuatu proses
aktiviti dan hasil kepada sesuatu aktiviti. Pendidikan adalah bentuk kerjasama antara
pekerja sosial dengan klien. Dalam konteks memberi pendidikan, klien mempunyai potensi
dan sumber yang dapat digunakan dalam proses pembelajaran. Secara tidak langsung akan
berlaku saling pergantungan di antara pekerja sosial dengan klien semasa proses
pembelajaran berlaku (Dr. Zakiyah Jamaludin, 2011).
Pekerja sosial berperanan sebagai penghubung (broker) dengan membantu
menghubungkan klien dengan sesebuah organisasi atau perkhidmatan. Selain itu,
seseorang penghubung juga membantu meletakkan kepelbagaian segmen dalam sesuatu
perhubungan di antara individu dengan komuniti yang lain bagi meningkatkan pertukaran
pendapat, keperluan atau minat masing-masing. Contohnya, seorang penghubung boleh
membantu klien mendapatkan makanan atau perlindungan semasa kecemasan, atau
membantu warga emas mendapatkan perlindungan atau rumah untuk warga tua.
Sebagai pemudahcara (facilitator) pula, pekerja sosial misalnya dapat menentukan motivasi
dan persiapan klien untuk berubah. Pemudahcara dan klien sama-sama harus mengetahui
dengan jelas tentang harapan, perspektif dan perhubungan secara timbal balas. Seterusnya
menstabilkan perubahan-perubahan yang telah dicapai melalui sokongan, dorongan,
kekuatan dan ketetapan.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Dr. Faridah bt Abu Hassan, Dr. Naimah bt Ishak,
Dr. Hamidah bt Yusof dan Dr. Habibah bt Abdul Rahim (2005), mereka mendapati pelajar
Melayu merupakan golongan terbesar yang keciciran dalam pelajaran. Sebenarnya hal ini
merupakan satu kenyataan kerana sepertimana contoh yang diberi, kebanyakannya adalah
terdiri daripada kaum Melayu dan Bumiputera. Faktor yang mempengaruhi kelemahan
16
pelajar Melayu, khususnya pelajar miskin dan di luar bandar, berkait rapat dengan budaya
belajar pelajar.
Dr. Faridah bt Abu Hassan, Dr. Naimah bt Ishak, Dr. Hamidah bt Yusof dan Dr. Habibah bt
Abdul Rahim telah menjalankan kajian berkaitan isu ini pada tahun 2005. Mereka telah
mengatur dan mencadangkan strategi bagi meningkatkan pencapaian pelajar Melayu yang
keciciran terutama yang miskin. Para pengkaji ini telah memperkenalkan konsep ‘4 Celik’ ke
dalam persekitaran budaya belajar pelajar. Strategi 4 Celik merujuk kepada Celik Bahasa,
Celik Angka, Celik Pembelajaran dan Celik Minda.
Penguasaan 4 Celik ini dijangka dapat menyelesaikan atau mengurangkan akar umbi
masalah (the root of the problem) iaitu daripada buta huruf kepada celik huruf, daripada buta
angka kepada celik angka, daripada buta belajar kepada celik belajar, dan daripada buta
hati kepada celik minda. Strategi penguasaan 4 Celik ini menjurus kepada menangani punca
yang menjadi sebab penyebab kelemahan atau kurangnya budaya belajar pelajar. Strategi
ini penting dan dilihat mampu menangani masalah keciciran kerana pelajar yang keciciran
sememangnya buta dalam keempat-empat aspek ini.
Berikut merupakan cadangan langkah mengatasi isu keciciran yang dikemukakan oleh Dr.
Faridah bt Abu Hassan, Dr. Naimah bt Ishak, Dr. Hamidah bt Yusof dan Dr. Habibah bt
Abdul Rahim dalam kajiannya:
Pihak pertama yang perlu memainkan peranan bagi mangatasi masalah ini ialah ibu bapa
pelajar yang keciciran itu sendiri. Persekitaran keluarga termiskin tidak menyediakan
peluang yang mencukupi dan suasana yang kondusif bagi perkembangan maksimum aspek
motor, kognitif, dan sosioemosi anak-anak sejak dari kecil. Ibu bapa perlu berusaha
menyediakan peluang dan suasana pembelajaran yang mencakupi aspek-aspek berikut iaitu
perkembangan kognitif (melalui permainan dan kemahiran bahasa, pemilihan program
televisyen, aktiviti membaca kepada anak-anak dan komunikasi dengan anak serta latihan
kemahiran hidup), kebersihan dan perkembangan fizikal, perkembangan sosioemosi
(perkembangan hubungan, tingkah laku sosial, dan kawalan kendiri), amalan nilai budaya
dan agama serta pendidikan literasi keluarga.
Ibu bapa miskin amnya tidak mempunyai kemahiran keibubapaan. Parent outreach perlu
dijadikan satu program utama komuniti dan melibatkan semua agensi berkaitan. Program ini
perlu mengelola topik kemahiran keibubapaan seperti disiplin, proses mendidik dan
membesarkan anak-anak, aktiviti menyediakan bahan permainan, pembelajaran dan
kemudahan untuk belajar, hinggalah kepada kaedah penyelesaian masalah kendiri dan
17
menyemai rasa empati dalam diri anak-anak. Ibu bapa perlulah menyertai program dan
aktiviti yang dikelolakan untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu ini.
Umumnya, ibu bapa miskin tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Program literasi
perlu disediakan dan mencakup aspek-aspek berikut, iaitu bentuk pengajaran untuk ibu
bapa itu sendiri, bentuk pengajaran yang dirancang untuk anak jenis sokongan yang
disediakan untuk ibu bapa, dan menyediakan program yang membolehkan ibu bapa
berinteraksi dengan anak secara langsung.
Ibu bapa dan sekolah tidak menjalin hubungan yang erat untuk membentuk sahsiah pelajar.
Peranan ibu bapa dan sekolah (homeschool liaison) perlu dijalin ke arah membentuk
sahsiah seseorang pelajar. Antara program yang boleh dijalankan ialah pusat sumber ibu
bapa, school-van house call, dan ibu bapa melibatkan diri di sekolah.
Faktor guru dan sekolah sebagai indikator penting keberkesanan sekolah dan pencapaian
pelajar. Bagi memastikan peranan guru yang berkesan, latihan perguruan perlu
memperkukuhkan kualiti guru dari segi kualiti verbal, ilmu, metodologi pengajaran,
kemahiran pemilihan bahan pengajaran, pembelajaran profesional kendiri, minat belajar dan
kemahiran menyoal. Sekolah dan guru dapat membantu membina daya ketahanan pelajar
seperti wawasan, sifat berdikari, perhubungan, inisiatif, kreatif, humor, dan bermoral.
Komuniti perlu meluangkan masa untuk hadir ke sekolah dan membaca serta melibatkan diri
dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Sebagai contoh, dalam program Everybody Wins! di Amerika
Syarikat, pada masa makan tengah hari, ahli profesional daripada Kongres, ahli perniagaan,
dan kumpulan tidak berkeuntungan akan bertindak sebagai mentor dan membaca kepada
pelajar kurang beruntung dan kurang mahir membaca. Program ini bertujuan untuk
melahirkan rasa cintakan buku dan belajar dan menanam sikap positif kepada membaca.
“Mengutamakan anak-anak” perlu menjadi pegangan hidup masyarakat kita. Seseorang
anak bersifat timbal balik dalam hubungan dengan ibu bapa. Sungguhpun kanak-kanak
berada dalam lingkungan keluarga mereka yang bertanggungjawab kepada pembesaran
mereka daripada kanak-kanak sehingga dewasa, namun institusi keluarga terletak dalam
lingkungan yang lebih besar meliputi jiran, sekolah, masjid, tempat kerja, komuniti, budaya,
ekonomi, masyarakat, negara, dan dunia yang mempengaruhi kanak-kanak secara
langsung atau melalui kesejahteraan keluarga mereka.
Kerajaan serta jentera pertubuhan / kesatuan / badan bukan kerajaan perlu bekerjasama
melaksanakan strategi bukan sahaja membasmi kemiskinan tetapi juga memperkasakan
18
masyarakat. Kemiskinan melemahkan badan kerana kekurangan zat makanan. Kemiskinan
adalah satu malapetaka yang memerlukan perang yang hebat untuk membasminya.
Pelajar harus dibantu bukan sahaja dengan memberi biasiswa kepada yang layak, tetapi
juga memastikan mereka mempunyai kesihatan yang baik daripada pemakanan yang
berkhasiat dan mencukupi. Bantuan makanan tambahan, pemberian vitamin, program susu,
program kesihatan gigi dan sebagainya adalah antara pelan tindakan yang baik dan perlu
dilaksanakan secara berterusan.
Usaha kerajaan yang menyediakan pinjaman buku teks, perkhidmatan kesihatan secara
percuma kepada pelajar di klinik-klinik kerajaan dan perintah mewajibkan setiap anak-anak
untuk bersekolah sehingga tamat Tingkatan 5 merupakan satu usaha yang amat baik dan
terpuji.
Walau bagaimanapun, setiap usaha ini akan gagal sekiranya pelajar sendiri tidak menyedari
akan kewajipan dan tugasnya sebagai pelajar. Oleh itu, pelajar sendiri perlu berubah ke
arah kecemerlangan kendiri bagi memastikan kejayaan mereka. Hal ini boleh dilakukan
sekiranya pelajar menyedari peranan utama sendiri dalam penguasaan ilmu. Untuk itu,
pelajar perlu mengulang kaji sebelum dan selepas pelajaran, memberi tumpuan dan
konsentrasi penuh semasa belajar, menghampiri dan membina hubungan positif dengan ibu
bapa dan guru mereka dan cuba menarik perhatian ibu bapa mereka terhadap pelajaran
mereka di sekolah. Pelajar juga perlu mempunyai sifat malu untuk melakukan perkara
negatif seperti malas, ponteng kelas / sekolah, tidak pentingkan masa, melakukan aktiviti
yang tidak berfaedah, tidak menghormati guru dan lain-lain perbuatan yang tidak bermoral.
19
4.4 Ringkasan
Senarai nama penyelidik / tokoh, kajian / tajuk dan tahun
Penyelidik / Tokoh Kajian / Tajuk Tahun
Rasidah Rashid Jurnal Pendidikan 2009
Nor Aziah Alias, Haziah
Jamaludin dan Salemah Ismail
Kajian Keciciran di Kalangan Pelajar
Sarjana Muda yang Mengikuti Program
Pendidikan Secara Jarak Jauh (PJJ) Dan
Pendidikan Fleksibel (FLP)
2001
Dr. Zakiah Jamaluddin Jurnal Kebajikan Masyarakat 2011
Murad Mohd Noor Laporan Murad dalam Jurnal Kebajikan
Masyarakat
1973
Umar Bakhy bin Ghazali Keciciran, Apa Puncanya 2009
Dr. Faridah bt Abu Hassan, Dr.
Naimah bt Ishak, Dr. Hamidah bt
Yusof dan Dr. Habibah bt Abdul
Rahim
Jurnal Penyelidikan Pendidikan 2005
Mohamad Johdi Salleh,
Che Noraini Hashim,
Ismael Hassanaen dan Amir
Hasan Dawi
Status Sosio Ekonomi Dan Komitmen Ibu
Bapa Terhadap Pencapaian Pelajar Dalam
Penilaian Menengah Rendah
Malaysia
2009
Fong Chan Onn Tahap Pendidikan Keluarga Miskin dalam
INTAN
1991
Chamhuri Kajian Sosioekonomi Rakyat Termiskin 2001
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim Penyata Rasmi Parlimen 1988 1988
Ungku Aziz Definisi Kemiskinan dalam Jurnal Kebajikan
Masyarakat
1964
Booth Definisi Kemiskinan dalam Holman 1978
Rowntree Definisi Kemiskinan dalam Holman 1978
Syed Husin Ali Definisi Kemiskinan dalam Jurnal Kebajikan 1978
20
Masyarakat
Ishak Shari Definisi Kemiskinan dalam Jurnal Kebajikan
Masyarakat
1996
Bank Dunia Definisi Kemiskinan dalam Jurnal Kebajikan
Masyarakat
2008
Rancangan Malaysia Kelapan Definisi Kemiskinan dalam Jurnal Kebajikan
Masyarakat
2001
Ragayah Mat Zin Definisi Kemiskinan dalam Jurnal Kebajikan
Masyarakat
2007
Amy J. Orr Pengaruh Kekayaan dalam Pembelajaran 2003
Wahid Hashim Dalam ‘Keciciran, Apa Puncanya” 2006
Zastrow & Kirst-Ashman Peranan Pekerja Sosial bagi Mengatasi
Masalah Keciciran dalam Kalangan Pelajar
dalam Jurnal Kebajikan Masyarakat
2010
21
4.5 Rumusan Isu Keciciran
Isu keciciran bukanlah satu isu baru sebaliknya telah wujud sejak dahulu lagi. Sejak
pendidikan dan sekolah mula diperkenalkan secara rasmi sebelum merdeka sehinggalah
sekarang, masalah ini terus berlaku dan masih belum selesai.
Keciciran dalam pelajaran berlaku disebabkan banyak faktor. Secara ringkasnya, punca
utama keciciran adalah kemiskinan yang melanda pelajar dan keluarga mereka. Daripada
kemiskinan, lahirlah pelbagai lagi halangan dan sekatan kepada pelajar untuk belajar
dengan baik. Antara halangan lain yang timbul kesan daripada kemiskinan ialah
ketidakmampuan keluarga menyediakan kelengkapan untuk belajar seperti buku teks, buku
rujukan, buku latihan, alat tulis yang mencukupi, ruang dan kawasan yang selesa dan
kondusif untuk belajar, kemudahan tuisyen dan sebagainya. Malah, lebih teruk lagi apabila
pelajar-pelajar terpaksa bekerja untuk membantu keadaan ekonomi keluarga atau menjaga
adik-adik mereka yang pastinya menyebabkan mereka tidak dapat mengulangkaji dan
menyelesaikan tugasan dan kerja-kerja sekolah. Keluarga yang miskin juga tidak
memandang pendidikan sebagai sesuatu yang penting dan tidak menggalakkan anak-anak
untuk belajar sehingga ke peringkat yang tinggi.
Isu keciciran dalam pendidikan ini bukanlah isu remeh yang boleh dipandang dengan
sebelah mata sahaja. Hal ini kerana, pelajar yang ketinggalan biasanya datang daripada
keluarga miskin yang ibu bapanya juga merupakan golongan yang tidak berpendidikan atau
keciciran dalam pelajaran. Mereka terus-terusan hidup dalam keadaan susah dan serba
kekurangan, ketinggalan dalam banyak perkara, dipandang hina oleh masyarakat dan
terpaksa menerima pelbagai cemuhan, kritikan dan layanan negatif masyarakat terhadap
mereka. Mereka juga mudah ditipu kerana tidak berilmu dan mudah untuk terjebak dalam
jenayah kerana cuba membebaskan diri daripada kemelut kemiskinan dan kesusahan hidup.
Isu ini perlu diatasi kerana mereka juga berhak untuk menikmati hidup dengan baik dan
mendapat peluang pendidikan bagi mengubah nasib mereka dan berdikari sendiri. Bagi
mengatasi masalah ini, semua pihak perlu mengambil bahagian dan memainkan peranan.
Pihak kerajaan boleh mengubal dasar-dasar baru untuk membantu mereka dan
menyediakan pelbagai kemudahan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan dan badan-
badan bukan kerajaan. Masyarakat, sekolah dan ibu bapa perlu bergabung tenaga bagi
mengawal dan menjadi panduan kepada pelajar-pelajar agar mereka tidak terpengaruh
22
dengan unsur-unsur negatif. Pelajar-pelajar juga perlu menyedari akan kepentingan
pendidikan dan berusaha sedaya-upaya untuk mendalami ilmu serta memperbaiki diri dan
sahsiah mereka.
5.0 PENGHARGAAN
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya dapat juga saya siapkan
tugasan Kerja Projek bagi Kursus Isu-Isu Moral dan Cabaran Penghayatan Nilai-Nilai Murni
(ELM 3104) dalam masa yang ditetapkan.
Terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada pensyarah pembimbing iaitu Ustaz
Ahmad Shidki bin Mat Yusoff dan Ustaz Mohamad Kamil bin Jaafar di atas bimbingan dan
tunjuk ajar mereka dalam proses menyiapkan tugasan ini.
Tidak lupa juga kepada ahli keluarga yang banyak memberi dorongan dan sokongan
sepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang
banyak membantu dalam mencari dan mengumpulkan maklumat berkaitan dengan tugasan
ini serta perbincangan yang dilakukan bagi mencambahkan idea menyempurnakan tugasan
ini.
Akhir kata, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak sama
ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha saya menyiapkan
tugasan ini dengan jayanya.
Sekian Terima Kasih
23
6.0 REFLEKSI
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan izin-Nya, dapat juga saya
siapkan tugasan ini dalam masa yang ditetapkan. Sesungguhnya, tanpa kudrat yang
dipinjamkan oleh-Nya, tiadalah saya mampu melakukan apa-apa sama ada untuk kebaikan
mahupun kemudaratan walaupun kepada diri sendiri.
"Tidak ada daya upaya dan kekuatan (untuk melakukan sesuatu) kecuali dengan izin dan
pertolongan Allah."
Apabila mendapat tugasan ini, saya berasa kurang bersemangat untuk menyiapkannya
disebabkan tempoh praktikum fasa dua yang akan bermula tidak lama selepas tugasan ini
diberi iaitu dalam masa dua minggu. Di tambah lagi dengan bulan Ramadhan yang akan
menjelang tiba beberapa hari sebelum praktikum bermula. Semangat saya berkurang dan
hal ini menyebabkan kebimbangan kepada saya kerana terpaksa menjalani praktikum
sewaktu berpuasa. Selain itu, saya juga perlu menyiapkan pelbagai tugasan lain seperti
pembentangan untuk kursus PJM 3114 iaitu Pendidikan Jasmani Suaian, tugasan program
Bina Insan Guru, tugasan berkaitan praktikum dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, berkat bulan yang paling mulia iaitu Bulan Ramadhan, semangat
saya untuk membuat tugasan ini kembali membara. Selain itu, apabila saya mengkaji
semula soalan tugasan ini, tugasan ini pada saya mempunyai dua unsur penting iaitu
mencabar dan menarik kerana banyak melibatkan kajian dan ilmiah. Keberkatan bulan
Ramadhan menjadikan saya lebih sabar, tabah dan tidak cepat merungut. Walaupun saya
terpaksa mengorbankan masa untuk melakukan ibadah khusus demi menyiapkan tugasan
ini, saya rela melakukannya dan berniat menyiapkan tugasan ini sebagai ibadah. Saya
berharap niat dan usaha saya akan diterima oleh Allah SWT. Bagi menampung kekurangan
masa untuk beribadah dan menyiapkan tugasan, saya mencuri-curi masa untuk melakukan
ibadah dan membuat tugasan dengan mengorbankan masa tidur, rehat, masa bermain,
bersosial dan menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk keperluan saya. Saya juga
24
berazam untuk menggantikan masa ini dengan menumpukan sepenuh tenaga dan
keupayaan pada sembilan hari terakhir Ramadhan nanti.
Saya amat bersyukur kerana mendapat dua orang pensyarah yang mempunyai ilmu
pengetahuan yang luas dan mendalam berkaitan kursus dan tugasan saya ini. Kedua-dua
pensyarah juga tidak kedekut ilmu untuk berkongsi dan memberi panduan kepada saya.
Setelah diberi tajuk, saya segera bertanyakan pensyarah bagaimana untuk membuat
tugasan dan apa yang perlu dilakukan. Dengan mudahnya, beliau menerangkan kepada
saya berkenaan tugasan dengan baik dan jelas. Penjelasan yang diberikan menjawab
pertanyaan saya. Ustaz Ahmad Shidki juga memberi panduan dan susunan tugasan kepada
saya dan semua rakan agar kerja kami tersusun dan kemas. Beliau juga memberi
kemudahan kepada kami untuk berkolaborasi melalui alam maya iaitu melalui blog peribadi
beliau.
Dalam proses menyiapkan tugasan ini, satu kejadian sedih menimpa Ustaz Ahmad Shidki
iaitu kepulangan ayah baginda ke Rahmatullah. Hal ini turut memberi kesan kepada saya
kerana saya juga pernah merasai kehilangan ayah tersayang. Walaupun saya ingin pergi
berjumpa beliau, namun saya tahankan niat saya kerana saya tidak mahu memberi tekanan
dan menyusahkan beliau. Sewaktu arwah ayah saya meninggal pada bulan Syawal tahun
lepas, saya tidak mahu berjumpa sesiapa dan tidak mahu membincangkan berkenaan
tugasan. Saya berpendapat Ustaz turut mengalami keadaan yang sama seperti saya.
Tugasan ini menyedarkan saya akan realiti yang berlaku dunia pendidikan. Pelajar-pelajar
yang miskin dan lemah dari segi pelajaran sering tercicir dan disisihkan. Malah, realitinya,
terdapat juga guru yang bersifat pilih kasih dan hanya mengutamakan pelajar yang pandai
sahaja kerana mampu menaikkan nama sekolah dan mudah diajar bagi membolehkan
sukatan pelajaran dihabiskan dengan cepat dan lancar. Tugasan ini pada bulan mulia ini
memberi kesedaran kepada saya supaya lebih bertimbang rasa, prihatin dan berbelas
kasihan kepada insan-insan yang memerlukan kerana setiap pelajar adalah permata negara
yag bernilai. Mereka juga tidak mahu dan tidak meminta untuk jadi pelajar yang bermasalah
dan lemah dalam pelajaran. Mereka pastinya mahu mengubah nasib dan hidup mereka.
Mereka hanya memerlukan ruang, peluang, sokongan, dorongan dan panduan untuk maju.
Melalui tugasan projek ini, saya mendapat gambaran bagaimana untuk berhadapan dengan
murid yang keciciran dalam pelajaran. Tugasan ini memberi ruang, peluang dan
25
kesempatan kepada saya untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam pengajaran saya
nanti bagi memastikan pengajaran saya menarik, sesuai dan mampu diikuti oleh semua
murid-murid saya nanti agar masalah keciciran dapat diatasi.
7.0 BIBLIOGRAFI
Dr. Faridah bt Abu Hassan, Dr. Naimah bt Ishak, Dr. Hamidah bt Yusof dan Dr. Habibah bt
Abdul Rahim. (2005). Jurnal Penyelidikan Pendidikan. Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia.
http://myais.fsktm.um.edu.my/2595/1/J_Peny_Pen.pdf. Akses pada 6 Julai 2013.
Dr. Zakiah Jamaluddin. (2011). Jurnal Kebajikan Masyarakat. Jabatan Kebajikan
Masyarakat. http://jkm.pahang.gov.my/index.php/berita-2/arkib/keratan-akhbar/210-
penerbitan/413-jurnal-kebajikan-masyarakat-vol-37-jun-2011. Akses pada 5 Julai 2013.
Mohamad Johdi Salleh, Che Noraini Hashim, Ismael Hassanaen dan Amir Hasan Dawi.
(2009). Status Sosio Ekonomi Dan Komitmen Ibu Bapa Terhadap Pencapaian Pelajar
Dalam Penilaian Menengah Rendah Malaysia. 14th International Conference on Education.
Theme: Bridging Words: Making Connections in Education. 21th – 24th May 2009. By Sultan
Hassanal Bolkiah Institute of Education Universiti Brunei Darussalam.
http://irep.iium.edu.my/13004/1/Procedng_-_SES_Ibubapa_%26_Pencapaian_PMR_-
_14th_ICE_Brunei_2009.pdf. Akses pada 7 Julai 2013.
Nor Aziah Alias, Haziah Jamaludin dan Salemah Ismail. (2001). Kajian Keciciran di
Kalangan Pelajar Sarjana Muda yang Mengikuti Program Pendidikan Secara Jarak Jauh
(PJJ) Dan Pendidikan Fleksibel (FLP). Universiti Teknologi Mara.
http://eprints.uitm.edu.my/3770/1/LP_NOR_AZIAH_ALIAS_01_24.pdf. Akses pada 9 Julai
2013.
Rasidah Rashid. (2009). Jurnal Pendidikan.
http://eprints.utm.my/6527/4/RasidahRashidMFPCHAP1.pdf. Akses pada 19 Julai 2013.
Tidak diterbitkan.
Umar Bakhy bin Ghazali. (2009). Keciciran, Apa Puncanya.
http://www.kedah.edu.my/sahc/esei_karya/Microsoft%20Word%20-%20keciciran.pdf. Akses
pada 18 Julai 2013. Tidak diterbitkan.
26