individu
DESCRIPTION
s8TRANSCRIPT
Pengenalan
Malaysia adalah salah sebuah negara yang memberi perhatian utama dalam
pembangunan pendidikan dengan memberi kepekaan kepada pengurusan
pendidikan yang berkesan serta kualiti dan profesionalisme guru. Guru merupakan
pendidik dan pembimbing kepada pelajar supaya mereka boleh mengembangkan
potensi diri dan menjaga perilaku yang menjadikan guru sebagai “role model”. Kod
Etika Profesion Keguruan Malaysia amat penting untuk dijadikan panduan
kepada semua guru di Malaysia. Sebagai seorang guru, beliau perlulah
mengetahui mengenai semua perkara dan juga perlu menjalankan
tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sebaiknya. Demi
menjamin martabat profesion perguruan dipandang mulia oleh setiap lapisan
masyarakat, semua guru perlulah mengetahui kod etika profesion keguruan dan
mematuhinya terutamanya kepada bakal-bakal guru.
Mengikut kamus dewan edisi ketiga, etika membawa maksud satu sistem
dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Profesion pula bermaksud
pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang
khas misalnya dalam bidang undang-undang, seni bina, perubatan, perakaunan dan
lain-lain. Dengan erti kata yang lain, Kod Etika Profesion Keguruan Malaysia
bermaksud peraturan untuk membantu guru yang profesional mematuhi prinsip-
prinsip yang termaktub demi menjaga imej profesion keguruan itu sendiri.
Kod Etika Profesion ini mempunyai tiga fungsi utama yang bertindak seperti
satu “alat kawalan” sosial yang digunakan sebagai panduan mengawal selia
tingkahlaku ahli sesuatu profesion. Pertama ialah Kod Etika Profesion ini
memberikan pedoman kepada setiap ahli mengenai prinsip profesionalisme yang
telah dirangka. Keduanya ialah Kod Etika Profesion merupakan kawalan sosial untuk
masyarakat atas profesion yang berkaitan. Ketiga ialah berfungsi sebagai pencegah
campur tangan pihak luar organisasi tentang hubungan etika dalam keanggotaan
profesion.
Oleh itu, Kod Etika Profesion Keguruan Malaysia ini perlulah diamati dan
dijadikan pedoman oleh setiap guru mahupun bakal guru. Hal ini adalah kerana bagi
usaha untuk mencapai cita-cita yang terdapat di dalam “Ikrar” kod etika, guru
haruslah menerima apa-apa sahaja tatsusila yang telah terkandung sebagai
panduan untuk membolehkan guru memartabatkan profesion mereka ini.
1 | P a g e
Kod Etika Profesion Keguruan Malaysia: Ikrar
”... guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha
menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, taat setia,
bertanggungjawab dan berkebolehan ... Melalui pendidikan, masyarakat dapat
membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolehi
pengetahuan... dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa
hadapan... menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda
untuk mencapai kemajuan... kami menerima tatasusila berikut ...untuk membolehkan
kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.”
Soalan
Bincangkan sejauhmanakah tanggungjawab yang tertera dalam Kod Etika Profesion
Keguruan Malaysia telah dilaksanakan secara berkesan oleh guru-guru di sekolah.
Perbincangan hendaklan disertakan dengan contoh-contoh yang relevan
berdasarkan pengalaman anda semasa menjalani praktikum.
1.1 Tanggungjawab Guru Terhadap Pelajar
Tanggungjawab guru terhadap pelajar bermaksud sesuatu yang mesti
dilakukan dan dipikul oleh setiap guru di Malaysia bagi memastikan pelajar mereka
mendapat apa yang sepatutnya seperti apa yang tertakluk di dalam Kod Etika
Profesion Keguruan Malaysia. Terdapat pelbagai aspek yang boleh dibincangkan
mengenai tanggungjawab seorang guru terhadap pelajarnya.
Pertama sekali ialah guru tersebut mestilah bersikap adil dan saksama
terhadap pelajarnya tanpa mengira faktor jasmani, rohani, keturunan, agama,
bangsa, politik dan sebagainya. Di Malaysia, sekolah kebangsaan terbuka kepada
semua pelajar tidak mengira bangsa, agama mahupun keturunan. Seseorang guru
itu perlulah bersikap sama rata terhadap semua pelajarnya di sekolah lebih-lebih lagi
pelajar kelasnya. Ruang kelas bagi seorang guru adalah bagai wilayah kekuasaan.
Di dalam ruang kelas seorang guru menentukan bagaimana suasana kelas yang
perlu ada. Pelbagai perkara yang boleh berlaku di dalam kelas dengan sedar atau
tanpa sedar. Antaranya ialah guru suka memilih pelajar yang pandai atau yang rapat
sahaja untuk mewakili sesuatu acara di dalam atau di luar sekolah. Guru tersebut
mungkin tidak menyedari bahawa dia telah bersikap pilih kasih terhadap pelajar-
pelajarnya. Hal inilah mungkin menjadi penghalang kepada tercapainya cita-cita
2 | P a g e
negara untuk melahirkan generasi muda yang berpotensi dalam segala bidang
selaras dengan tujuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan juga seperti yang
tertulis di dalam ikrar Kod Etika Profesion Keguruan Malaysia.
Selain itu, guru haruslah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan
pelajarnya daripada hal-hal lain. Kebajikan dan keselamatan di sini adalah
merangkumi pelbagai aspek antaranya adalah melindungi pelajar dari ancaman luar
samada dari segi fizikal mahupun mental. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh
oleh semua guru kerana faktor kebajikan dan juga keselamatan ini perlu dipenuhi
sebelum pelajar-pelajar mereka dapat menerima segala ilmu yang diajar. Menurut
Maslow (1943 dalam Noriati, Boon, &Sharifah, 2012), keperluan fisiologi dan
keperluan psikologi perlu dipenuhi agar seseorang itu bermotivasi untuk
mengembangkan potensi diri, belajar perkara baru, memanipulasi keupayaan diri
sepenuhnya serta berjaya mencabar diri untuk melakukan yang terbaik. Jika kita
merujuk kepada carta Hierraki Maslow, keperluan kekurangan terbahagi kepada
empat jenis iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang
dan keperluan penghargaan. Keperluan kasih sayang dan keperluan penghargaan
ini mungkin antara keperluan-keperluan pelajar yang guru boleh kawal, akan tetapi
keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan selalunya diluar kawalan guru.
Sebagai contoh persekitaran sekolah yang bising, udara yang tidak berkualiti dan
juga bunyi bising sekeliling. Perkara-perkara seperti ini sudah tentu tidak dapat
dikawal oleh guru itu sendiri dan menyebabkan murid berasa tertekan dan tidak
dapat belajar dengan baik.
Di samping itu juga, tanggungjawab guru terhadap pelajarnya termasuklah
merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka
yang berhak mengetahuinya. Perkara ini adalah bagi melindungi maklumat sulit
pelajar dari pihak lain yang tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan
berlakunya perkara yang tidak diingini seperti penculikan. Oleh itu bagi mengelakkan
pelbagai perkara yang tidak diingini dari berlaku, kerahsiaan maklumat mengenai
pelajar perlulah dipatuhi tanpa sebarang keraguan.
Tambahan dari itu, guru seharusnya membimbing atau mengajar pelajarnya
dalam bilik darjah sendiri atau dalam mana-mana mata pelajaran yang diajar di bilik
darjah tanpa sebarang bayaran. Ini bermaksud guru tidak boleh meminta sebarang
upah dari segi wang mahupun barangan-barangan lain. Sebagai contoh seorang
guru sekolah meminta atau menyuruh pelajarnya untuk menghadiri kelas tuisyen
beliau di luar kawasan sekolah dengan bayaran-bayaran tertentu. Selalunya guru ini
3 | P a g e
menawarkan ilmu yang lebih di pusat tuisyennya jika dibandingkan dengan apa yang
diberikan olehnya di dalam kelas di sekolah. Perkara ini sudah tentu telah melanggar
kod etika keguruan di Malaysia yang boleh mengakibatkan profesion keguruan
dipandang serong oleh pelbagai pihak. Hal ini juga boleh menyebabkan pelajar-
pelajarn tidak menghormati gurunya oleh kerana sikap negatif guru itu sendiri.
Tidak lupa juga, guru mestilah menjadi suri teladan kepada murid dari segi
cara pemakaian, cara pertuturan dan tingkahlaku. Guru memainkan peranan yang
penting dalam membentuk watak, sahsiah dan modal murid. Menurut Abdul Shukor
(1999 dalam Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010), asuhan guru yang berkesan
meninggalkan ingatan dan menjadi amalan berpanjangan kepada setiap murid.
Sepanjang hayat, mereka akan ingat bagaimana guru-guru menerap ilmu
pengetahuan budaya dan semangat ketahanan, nilai-nilai murni dan jati diri sehingga
sebati dalam jiwa. Menurut Lee (2013 dalam Norizan, 2013), guru berperanan
menerapkan nilai murni yang berkaitan intergriti supaya budaya yang mulia ini
tersemai dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi. Walaupun begitu, sering kali
terdapat isu-isu di mana guru menunjukkan sikap yang kurang baik terhadap pelajar-
pelajarnya seperti isu guru bergaduh. Pada tahun 2012 terdapat satu kes di mana
guru besar dan guru kelas di sebuah sekolah di Malaysia bergaduh oleh kerana
berselisihan faham dan perasaan tidak puas hati. Pergaduhan ini tercetus di dalam
kelas di mana dapat ditonton oleh semua pelajar kelasnya sendiri.
Mesti diingatkan bahawa semua tanggungjawab guru terhadap pelajar seperti
di atas tidak akan terhasil dengan hanya satu pihak yang mencuba dan berusaha ke
arah kebaikan. Hal ini dapat digambar dengan satu rangkap pantun:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Secara tersiratnya, pantun ini memperlihatkan betapa pentingnya guru dalam
memberi tunjuk ajar kepada pelajar manakala di pihak pelajar pula, mereka mesti
belajar dengan bersungguh-sungguh kerana jika belajar alang kepalang, ilmu yang
dicurahkan oleh guru tidak dapat diterima sepenuhnya.
4 | P a g e
1.2 Tanggungjawab Guru Terhadap Ibu Bapa
Mesti diingat bahawa pengemblengan usaha semua pihak diperlukan untuk
menghasilkan modal insan yang berkualiti untuk masa hadapan. Tanpa penglibatan
dari pihak ibu bapa pelajar itu sendiri, sudah tentu segala cita-cita negara tidak dapat
tercapai kerana perkara ini tidak dapat diperoleh dengan hanya bercakap di mulut
tanpa menzahirkannya dengan perbuatan. Oleh itu setiap warga pendidik perlulah
berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi
pendidikan dengan rumahtangga. Hubungan yang baik diantara guru dan juga ibu
bapa ini amatlah penting sehinggakan jika terdapat percanggahan kedua-dua belah
pihak, pelajarlah yang terkena tempiasnya. Hal ini boleh menyebabkan pelbagai
kesan negatif terhadap diri pelajar itu sendiri.
Selain itu, seseorang guru itu perlulah mengelakkan diri daripada
menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa
pelajar. Perkara ini bermaksud mana-mana guru sekolah tidak bolehlah
menggunakan atau dipergunakan oleh faktor pengaruh ibu bapa pelajar. Sebagai
contoh jika waris pelajar ini adalah seorang yang ternama dan berpengaruh, guru
tersebut tidak boleh memihak kepada waris pelajar tersebut. Hal sebegini sering kali
terjadi di mana guru mungkin takut dengan jawatan ataupun pengaruh ibu bapa
menyebabkan guru itu terpaksa memihak kepada sebelah pihak sahaja apabila
berlaku masalah di sekolah yang melibatkan lebih dari satu pihak ibu bapa. Rasuah
juga berpotensi berlaku ika melibatkan kes-kes besar. Pelanggaran kod etika
keguruan ini boleh menyumbang kepada terencatnya perkembangan sistem
pendidikan di negara kita. Oleh itu, setiap guru perlulah menghindari dari segala
gejala-gejala seperti di atas bagi memastikan sistem pendidikan negara berada di
landasan yang betul, ke arah pendidikan yang bertaraf dunia.
1.3 Tanggungjawab Guru Terhadap Masyarakat dan Negara
Berdasarkan Kod Etika Profesion Keguruan Malaysia, guru bukan sahaja
bertanggungjawab terhadap pelajar dan juga ibu bapa, malahan kepada masyarakat
serta negara. Tanggungjawab ini perlulah dipikul oleh setiap guru di Malaysia bagi
memastikan tiada isu-isu yang kurang enak didengari dari berlaku seterusnya
mencetuskan kontroversi-kontroversi yang boleh menjatuhkan profesion keguruan di
Malaysia. Antara tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara ialah guru
5 | P a g e
janganlah menyebar sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar,
masyarakat atau negara ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Guru
perlulah menjaga keamanan negara kita yang berbilang kaum ini dengan memupuk
nilai-nilai murni seperti nilai semangat cintakan negara, semangat kerjasama dan
lain-lain. Nilai yang dipupuk dapat membentuk pelajar-pelajar menjadi insan yang
berguna kepada diri sendiri, masyarakat dan juga negara. Jika setiap guru di
Malaysia mengamati setiap bait-bait di dalam Rukun Negara, sudah tentu perkara-
perkara seperti perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia dapat
dipertahankan. Malahan bukan itu sahaja, budaya turun-temurun juga dapat
dikekalkan.
Guru adalah tunjang utama dalam memperkasa dan memajukan bidang
pendidikan di negara ini. Perkara ini sudah tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan
peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu,
jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak dunia, pembangun sahsiah malah
juga sebagai agen perubahan. Selaras dengan tema hari guru tahun ini, “ Guru
Penjana Transformasi Pendidikan Negara”, menunjukkan betapa besarnya insan
yang digelar guru.
Walaubagaimanapun, pelbagai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi
oleh guru dalam merealisasikan hasrat negara di atas. Dalam melahirkan modal
insan yang cintakan akan negaranya bukanlah semudah yang dikata. Hal ini kerana
terdapat pelbagai faktor luar yang lain yang boleh menyumbangkan kepada
pepecahan masyarakat di Malaysia, antaranya ialah salahguna media massa. Media
massa memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat pada era
globalisasi ini. Tidak dapat dinafikan bahawa media massa juga membantu dalam
membangunkan sesebuah negara. Walaupun begitu, segala maklumat di media
massa ini tiada terhadnya, sehinggakan pelbagai perkara yang tidak benar mudah
tersebar. Maklumat-maklumat yang tidak tepat yang diviralkan ini boleh menggugat
kesejahteraan negara kita. Oleh itu, jika setiap guru di Malaysia menjalankan
tanggungjawab mereka dengan baik sekalipun, ini tidak menjanjikan pelajar-
pelajarnya menjadi rakyat Malaysia yang patriotik, cintakan negara.
1.4 Tanggungjawab Guru Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan
Antara tanggungjawab guru terhadap profesion keguruan ialah guru mestilah
mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh
mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau
6 | P a g e
menbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Profesion
keguruan adalah umpama satu organisasi yang besar yang mempunyai tujuan yang
sama iaitu merealisasikan segala yang tertulis dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Sebagai contoh, jika kita lihat di sesetengah sekolah di Malaysia, di mana terdapat
guru-guru yang mempunyai “klik-klik” tertentu. Mereka sering berkumpul di satu
tempat yang berbeza untuk menghabiskan masa lapang masing-masing di sekolah.
Jika sewaktu seseorang guru ini sedang bercerita buruk tentang guru lain kepada
rakan-rakannya di situ, terdapat pelajar yang menyedari akan perbuatan itu. Perkara
ini sudah tentu telah mencalarkan maruah guru tersebut sekaligus menjatuhkan
martabat profesion keguruan yang dianggap mulia di mata pelajar-pelajar mereka
dan juga masyarakat.
Sebagai seorang yang professional, maka sudah tentulah seseorang guru
perlu menjaga profesion perguruan dan maruah seseorang guru. Menurut Mohd
Najib (1996 dalam Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010), untuk mencapai hasrat kita ke
arah mewujudkan ‘world class education’ dan seterusnya ‘world class nation’, kita
memerlukan gabungan tenaga, pemikiran dan daya kreatif dari setiap warga
kementerian. Oleh itu, dalam usaha untuk memelihara etika keguruan ini, semua
guru seharusnya tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan
kecekapan tugas sebagai guru.
Selain itu juga, tanggungjawab guru terhadap rakan sejawat pula adalah
seperti sentiasa bersedia membantu rakan sejawatnya terutamanya mereka yang
baru menceburkan diri dalam profesion keguruan. Bagi mereka yang baru sahaja
menceburi profesion keguruan ini sudah tentu masih lagi tidak dapat menjalankan
tugas dengan baik oleh kerana kekok dan juga kurang kemahiran. Oleh itu, guru
yang sudah berpengalaman sepatutnya membantu mereka yang masih mentah bagi
mengharungi arus pendidikan di negara kita yang begitu mencabar ini. Bukan sahaja
terhadap rakan sejawat yang baru menjawat jawatan sebagai guru, tetapi seseorang
guru haruslah bersedia menggantikan rakan sejawat dari segi membantu menanda
kertas ujian sewaktu rakannya cuti sakit ataupun cuti bersalin.
Sungguhpun begitu, sudah tentu tanggungjawab-tanggungjawab seperti yang
diperkatakan di atas bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai kekangan yang
dihadapi oleh guru-guru di Malaysia ini. Seperti yang kita tahu, kerja guru bukan
sahaja sekadar mengajar di dalam kelas, malahan kerja guru merangkumi tugas-
tugas pengkeranian. Oleh kerana kekangan masa dan juga beban kerja yang terlalu
banyak, mungkin tanggungjawab ini sukar untuk direalisasikan secara maksimum.
7 | P a g e
8 | P a g e
2. Rumusan
Secara keseluruhannya, terdapat empat tanggungjawab guru mengikut Kod
Etika Profesion Keguruan Malaysia iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, ibu bapa,
masyarakat dan negara, dan rakan sejawat dan profesion keguruan. Disamping
kekangan yang dihadapi oleh guru, tangungjawab-tanggungjawab ini perlu dipatuhi
bagi melahirkan modal insan yang berkualiti untuk masa hadapan selain dari
memartabatkan sistem pendidikan Malaysia ke arah mencapai pendidikan bertaraf
dunia dan kelas pertama. Kesimpulannya, setiap guru perlu berusaha untuk
mematuhi Kod Etika Profesion Keguruan Malaysia bagi meningkatkan profesion
keguruan di Malaysia.
9 | P a g e
Rujukan
Noriati Rashid, Boon, P. Y. & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2012). Siri pendidikan
guru: Murid dan alam belajar. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Syed Ismail Syed Mustafa, Ahmad Subki Miskon. (2010). Guru dan Cabaran
Semasa. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.
Norizan Abdul Muhid. (2013, April 29). Terap budaya intergriti dalam P&P. Utusan
Online. Diperoleh dari
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130429/pe_01/Terap-budaya-
integriti-dalam-P&P.
10 | P a g e